Sekat monopoli bawa masuk pekerja Bangladesh - Utusan Malaysia

Sekat monopoli bawa masuk pekerja Bangladesh

Kemudahan Multiple Entry Visa (MEV) mula diberikan kepada pekerja asing warganegara Bangladesh berkuat kuasa hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan digesa ti­dak mengehadkan jumlah syarikat yang dibenar membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh bagi mengelak monopoli kum­­pulan tersebut seperti pernah berlaku beberapa tahun lalu.

Ini kerana terdapat pihak tertentu didakwa sedang melobi untuk meminta kerajaan membenarkan ha­­nya 25 syarikat sahaja membawa masuk tenaga pekerja asing dari negara itu.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. N. Sukumaran ber­­kata, tuntutan itu masih digerakkan pihak tertentu dari Malaysia dan Bangladesh.

Mereka berkomplot untuk me­monopoli kemasukan pekerja dari Bangladesh selepas kerajaan mula membenarkan pe­ngambilan sumber manusia dari luar negara untuk mengisi kekosongan sektor tertentu.

Beliau berkata, tuntutan itu dikatakan bakal dibawa ke Ja­watankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing agar kerajaan meluluskan hanya 25 syarikat itu terlibat selepas ‘usaha’ mempe­ngaruhi kerajaan Bangladesh untuk memberi kebenaran sama tidak berjaya.

Jelas beliau, tuntutan sin­diket tersebut dikatakan di luar daripada apa yang dipersetujui menerusi memorandum persefahaman (MoU) pengambilan pekerja Bangladesh untuk berkhidmat di negara ini yang ditandatangani kedua-dua negara.

“Semua 25 syarikat itu me­rupakan sindiket bagi membolot kemasukan pekerja asing­ Bangladesh. Sedangkan 14 negara sumber lain tidak ada isu mengehadkan sejumlah syarikat sahaja terlibat untuk kemasukan pekerja asing.

“Jika kegiatan ini dibiarkan tanpa campur tangan kerajaan, ia boleh menjejaskan nama baik Malaysia apatah lagi Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) ketika ini sedang me­lawan habis-habisan bagi memastikan tiada sindiket terlibat dalam penghantaran tenaga kerja ke Malaysia,” katanya di sini kelmarin.

Sukumaran berkata, pi­haknya mahu Kementerian Sumber Manusia mendedahkan intipati MoU itu kepada umum kerana ia boleh mencetuskan spekulasi sekiranya terus dibiarkan berstatus rahsia kerana boleh mengundang isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Lebih memburukkan, kata beliau, kegiatan sindiket seumpama itu boleh mewujudkan elemen pemerdagangan manusia apabila pekerja asing­ yang dibawa masuk tidak melalui proses dan prosedur sah kerana setiap pekerja yang mahu masuk ke negara ini perlu membayar sejumlah wang.

Sedangkan, kata beliau, segala kos kemasukan setiap pekerja asing perlu dibayar oleh majikan dan bukannya pekerja itu sendiri yang terpedaya dengan sindiket tersebut.

“Kewujudan sindiket sebegini secara jelas melanggar syarat Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), menyalahi Akta Persaingan 2010 di kedua-dua negara sedangkan kita mempunyai 1,053 syarikat berdaftar, manakala 1,400 syarikat pengambilan asing di Bangladesh tetapi amat pelik kalau kita hanya memilih 25 syarikat ini sahaja.

“Sebelum ini BAIRA menulis surat kepada Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina pada 13 Januari lalu bagi menggesa beliau menghalang pembentukan sindiket menghantar rakyat negara itu ke negara ini kerana boleh mengakibatkan pekerja jadi mangsa eksploitasi,” katanya.

Beliau berkata, pihak BAIRA juga mengadakan sidang akhbar di Dhaka mendesak ke­dua-dua negara tidak memberi kelulusan 25 syarikat itu sekali gus melumpuhkan komplot individu tertentu di Malaysia dan Bangladesh untuk memono­poli perkhidmatan membawa masuk pekerja asing.

Malah, katanya, usaha kemasukan pekerja asing perlu telus dan beretika tanpa me­nerima kutipan wang daripada bakal pekerja selain wajib mematuhi peraturan ILO.

“Persatuan pengambilan pekerja asing di kedua-dua negara mahu kerajaan telus terhadap setiap intipati yang tercatat dalam MoU dan ia perlu didedahkan supaya semua tahu apa yang tersirat dalam MoU sekali gus mengesahkan kedua-dua kerajaan tidak terlibat dalam kegiatan sindiket ini,” katanya.

Terdahulu, dalam kenya­taan akhbar kelmarin, Transparency International Bangladesh (TIB) dan Transparency International Malaysia (TIM) menggesa pendedahan umum kandungan MoU tersebut.

Mereka menggesa kedua-dua kerajaan mengambil langkah pencegahan rasuah dalam proses pengambilan termasuk kawalan sindiket yang berpotensi supaya kepentingan pekerja Bangladesh dan majikan di Malaysia dilindungi.

TIB dan TIM bimbang jika kedua-dua negaras gagal mendedahkan terma dan syarat yang telah mereka persetujui antara negara mengenai perkara yang mempunyai kepentingan awam secara langsung.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×