Pejuang tidak tergesa-gesa umum calon PRN Johor

Pejuang tidak tergesa-gesa umum calon PRN Johor

Calon PRN Johor yang akan diperkenalkan nanti mestilah calon bersih, cekap dan amanah. - Mukhriz Mahathir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hanya akan mendedahkan nama-nama calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dua hari sebelum penamaan calon.

Dalam sidang media, Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjelaskan beliau tidak mahu mendedahkan nama calon terlalu awal malah akan mengadakan satu majlis untuk pengenalan calon.

“Kita akan umum dua hari sebelum penamaan calon, akan ada majlis pengenalan calon dan kita akan dapat lihat nisbah lelaki, wanita, orang lama atau muda.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Yang pastinya, calon yang akan diperkenalkan nanti mestilah calon bersih, cekap dan amanah.

“Mereka ini juga akan menjalani ujian psikometrik bagi menunjukkan kesungguhan untuk menampilkan calon terbaik dan berintegriti,” katanya dalam Majlis Pelancaran Jentera bagi Menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor di Taman Universiti.

PRN Johor akan menjadi medan untuk penampilan sulung Pejuang selepas memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRN Melaka pada November lalu kerana berpendirian itu bukan masa sesuai untuk mengadakan sebarang pilihan raya kerana negara masih lagi berdepan dengan risiko penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Mukhriz turut mengesahkan parti mempunyai keyakinan dan akan bertanding bagi 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Mukhriz yang juga merupakan Ahli Parlimen Jerlun mengatakan Pejuang perlu melangkah dengan yakin walaupun parti baharu itu sedikit terkebelakang malah berjuang secara solo.

“Dalam waktu yang sama, ada sejumlah pengundi yang masih di atas pagar, jadi kalau kita berjaya untuk meyakinkan mereka, saya rasa ada peluang,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Pejuang tidak akan meletakan calon mereka di bawah lambang Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor serta tidak akan menubuhkan sebarang gabungan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×