KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil menafikan berlaku keretakan antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fahmi berkata, ketiadaan wakil PKR pada mesyuarat yang dihadiri DAP, Amanah dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi membincangkan pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah hak parti masing-masing untuk berunding.
“Kalau ada keretakan, Majlis Presiden yang bermesyuarat malam tadi tidak akan keluarkan kenyataan bersama semalam. Saya hadir mesyuarat malam tadi pun keadaan tenang, fokus ke arah beberapa isu yang terkandung.
“Jadi saya lihat semangat setiakawan masih utuh dan beberapa perkara terus dibincang untuk diputuskan bersama termasuk isu tawaran kerusi PRN Johor. Kita fokus kepada kempen sekarang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Bagaimanapun, Fahmi mengakui terdapat beberapa isu yang menimbulkan sedikit ketegangan, namun dianggap rasmi dalam mana-mana parti.
“Kalau ada pun, ia melibatkan isu agihan kerusi, tetapi ia asam garam dalam mana-mana parti sekalipun.
“Cuma ia bukanlah sebab tidak ada wakil PKR yang datang mesyuarat dengan Muda,” jelasnya lagi.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan satu mesyuarat tertutup diadakan antara DAP, Amanah dan Muda namun tanpa kehadiran PKR.
Mesyuarat tersebut bermula jam 1 petang dan berakhir pada pukul 4 petang bagi membincangkan mengenai strategi menghadapi PRN Johor.
Antara pimpinan yang hadir pada pertemuan itu ialah Lim Guan Eng, Khalid Samad, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, strategi PH sebelum ini, mana-mana kerusi yang diserahkan kepada parti, mereka boleh bincang dengan parti lain.
“Secara taktikalnya, ia terpulang kepada masing-masing,” katanya lagi.- UTUSAN











