JOHOR BAHRU: Dian Lee Cheng Ling tidak mahu karier politiknya yang baru bermula dibayangi aura bapanya, Tan Sri Lee Kim Yew, seorang taikun hartanah.
Wanita berusia 38 tahun dan ahli perniagaan serta aktivis tidak kisah untuk bermula dari bawah dan mempelajari selok-belok arena politik bagi membina namanya yang belum dikenali.
Ibu kepada tiga anak itu sedar bahawa tidak ada jalan pintas untuk berjaya dalam politik kerana ia perlu bermula dengan menyantuni masyarakat secara tidak langsung memperkenalkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di mata rakyat di negeri ini.
“Setiap kali saya ingin lakukan sesuatu sepanjang hidup saya, mesti orang akan kaitkan saya dengan bapa saya.
“Saya harap dengan pembabitan dalam politik, masyarakat dapat menilai saya secara peribadi yang saya boleh berdikari dan tidak dibayangi aura bapa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Graduan Royal Melbourne Institute of Technologies (RMIT) University Melbourne itu mula menyertai Muda pada 23 Disember lalu dan kini Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) parti terbabit.
Bagaimanapun, pembabitannya dalam Muda menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan warganet sama ada yang menafsirkannya sebagai sesuatu yang baik atau bakal mengundang masalah kepada Muda.
Ada juga yang menimbulkan persoalan bahawa Muda memberikan perhatian kepada Dian Lee kerana statusnya anak kepada jutawan dan berpengaruh.
Enggan mengambil pusing soal itu, beliau ingin fokus kepada arena politik dan mahu membawa perubahan terhadap pembangunan di seluruh Johor khususnya membawakan isu berkaitan kanak-kanak.
Katanya, dia ‘terpikat’ dengan Muda kerana perjuangan parti yang dinaungi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu selari dengan pendiriannya yang mahu membawa pembaharuan kepada politik negara ini.
“Saya sangat bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan isu kanak-kanak ini yang tak seharusnya dipandang mudah. Daripada kita berhabis duit untuk membina bangunan pencakar langit, lebih baik kita sediakan generasi akan datang demi kepentingan negara,” ujarnya.
Mengenai spekulasi sama ada beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Dian Lee enggan mengulas dan menyerahkan perkara itu kepada pimpinan pusat Muda untuk membuat keputusan.
“Ini bukan keputusan saya. Tujuan saya sertai Muda untuk berkhidmat kepada rakyat dan bangunkan parti ini. Kita tunggu Muda buat pengumuman,” jelasnya.- UTUSAN











