SADIO Mane antara bintang bola sepak yang lahir dalam keluarga susah.
Dia membesar di sebuah perkampungan kecil di Bambali yang mempunyai 24,213 penduduk atau lima peratus daripada populasi Liverpool.
“Ibu bapa saya tiada wang untuk menghantar saya ke sekolah. Setiap pagi dan petang saya akan bermain bola dengan kawan-kawan di jalanan.
“Ketika remaja, saya hanya tahu Liga Perdana Inggeris dan menontonnya di televisyen.
“Saya sering memasang impian untuk beraksi di sana suatu hari nanti,” cerita bintang Liverpool itu.
BIAODATA SADIO MANE

Menurut Mane, ketika 15 tahun, dia hanya menyepak bola dengan kaki yang diselaputi debu dan tidak faham tentang permainan bola sepak sebenar.
Begitupun, impian untuk bergelar pemain bola sepak semakin berkobar pada Piala Dunia 2002 apabila negaranya mara ke suku akhir dalam penampilan pertama.
Sejak itu, Mane semakin teruja bercerita mengenai bola sepak, malah bersama kawan-kawannya dia mula mengadakan pertandingan di kampung mereka.
“Ketika itu semua orang beritahu saya pemain terbaik di kampung tetapi keluarga saya tidak minat bola sepak.
“Mereka amat mementingkan agama dan mahu sesuatu yang berbeza daripada saya.
“Saya mula memujuk mereka, terutama bapa saudara agar memberi kebenaran pergi ke bandar untuk belajar bermain bola sepak.
“Pada mulanya mereka tidak mengizinkan namun saya terus memujuk dan tunjuk betapa tinggi kemahuan ini, akhirnya mereka akur.
“Keluarga saya menjual semua hasil tanaman untuk menampung perbelanjaan saya,” jelasnya.

PENDUDUK KAMPUNG SUMBANG WANG
Berita dia mahu ke bandar belajar bermain bola sepak tersebar di seluruh kampung dan ramai penduduk turut memberi sumbangan wang.
“Apabila berpindah ke Dakar, saya tinggal bersama keluarga yang tidak dikenali. Saya hanya menawarkan mereka sedikit wang dan jelaskan tujuan sebelum dibenarkan tinggal di situ,” katanya.
Di Dakar, Mane berpeluang melawat kelab bola sepak popular di pusat bandar.
“Saya lihat ramai kanak-kanak lelaki diuji sebelum diserap ke dalam pasukan. Saya tidak akan lupa satu insiden apabila seorang lelaki dewasa memandang seperti saya tersalah tempat.
“Dia tanya adakah kamu datang ke sini untuk ujian? Layanannya sangat teruk dan dia tanya lagi, dengan seluar pendek itu? Kamu tidak ada pakaian lengkap?
“Saya beritahu saya datang dengan apa yang ada sahaja dan hanya mahu bermain, buktikan diri. Apabila saya masuk ke padang, mukanya sangat terkejut.
“Dia datang kepada saya dan berkata, ‘Saya pilih kamu’. Kamu akan bermain dengan pasukan saya,” jelasnya.
Bakat Mane terus berkembang dan ketika berusia 19 tahun dia terpilih menyertai kelab Perancis, Metz, di mana bintang seperti Rigobert Song, Louis Saha, Papiss Cisse, Emmanuel Adebayor dan Robert Pires dilahirkan.

RAHSIAKAN PEMERGIAN KE PERANCIS
Ketika itu Mane tidak memberitahu ibu bapanya dia akan ke Perancis kerana bimbang tidak mendapat restu.
“Saya masih ingat pertama kali ke Perancis, saya tidak ada kredit telefon untuk hubungi ibu tapi keesokannya rakan-rakan belikan kad prabayar.
“Hello Mama, saya di Perancis. Dia tanya, di mana Perancis. Saya beritahu di Eropah tetapi dia tidak percaya dan fikir saya masih di Senegal namun selepas melihat aksi saya di televisyen barulah dia percaya,” jelasnya.
Selepas setahun bersama Metz, Mane beraksi buat Red Bull Salzburg (2012–2014) sebelum menyertai Southampton pada 2014–2016 dan kini bersama Liverpool.










