Imran Ajmain, sepotong nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri muzik tanah air sebagai salah seorang penyanyi lelaki yang memiliki kehebatan vokal tersendiri.
Pejam celik, sudah lebih dua dekad bintang tinggi lampai ini berada dalam dunia nyanyian dengan permulaan underground serta diikuti dengan genre hip hop dan R&B.
Semestinya, sudah banyak pengalaman dan pancaroba tersendiri penyanyi ini dalam mewarnai suara di corong-corong radio dan arus perdana.
Dia yang pernah popular dengan lagu Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang ini amat mengalu-alukan kedatangan penyanyi baharu pada waktu ini.
“Dalam dunia media sosial ini tidak boleh kawal perhatian yang kita dapat. Kadangkala kita dapat daripada peminat dan pembenci.
“Jadi, bila ada ramai anak muda nak menjadi penyanyi, ia sebenarnya datang kepada rezeki masing-masing.
“Kita sepatutnya memberi peluang, kalau tidak suka jangan menonton. Bagi saya, artis yang tidak seberapa pada waktu ini akan menjadi seseorang yang penting dalam industri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
POPULAR SEGERA
Bagaimanapun, Imran tidak menafikan penyanyi instant popular ini walaupun dikenali, namun agak sukar mereka mendapat perhatian khalayak untuk melakukan persembahan di atas pentas.
Membandingkan penyanyi lama dengan yang baharu, walau mereka tidak didendang menerusi arus perdana tetapi masih mempunyai job diluar dan dikenali.
Berbanding dengan penyanyi popular menerusi media sosial, mereka perlu berusaha lebih untuk mendapat perhatian media dan khalayak ramai untuk nama sentiasa relevan.
“Jika ingin membandingkan, ada sahaja penonton yang ramai, berjuta, ‘meletop’ serta kerap keluar televisyen. Namun, mereka tiada persembahan dan tidak mendapat perhatian underground. Jadi, bila ke mana-mana sasaran khalayak mereka agak tidak tercapai.
“Sebagai contoh, saya sebagai seorang yang lebih dewasa, jadi apabila saya membuat persembahan yang sesuai seperti di majlis, orang ramai boleh mengenali saya kerana mereka adalah lingkungan sebaya saya.
“Semasa mereka remaja, lagu-lagu saya adalah zaman semasa mereka membesar.
“Tetapi, anak-anak muda ini, mereka perlu kerap mengeluarkan lagu, tular serta perlu berusaha lebih untuk mendapatkan perhatian media dan orang ramai,” ujarnya.
Jelasnya, tiada salah bagi sesiapa sahaja mahu menceburi bidang nyanyian, namun konsisten mengeluarkan lagu dan menjaga peminat dengan baik antara elemen perlu untuk kekal releven dalam industri.
“Untuk sesiapa yang ingin menceburi dalam bidang nyanyian, tiada salah. Area industri muzik ini banyak membezakan satu sama lain.
“Yang kekal adalah mereka yang selalu konsisten mengeluarkan lagu, rapat serta menjaga peminat,” katanya.










