PUTRAJAYA: Hanya lapan peratus daripada banyak kes Kesan Buruk Susulan Imunisasi (AEFI) yang mempunyai hubung kait secara langsung dengan pengambilan vaksin Covid-19.
Perkara itu didedahkan Pengarah Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA), Dr. Roshayati Mohd. Sani pada sesi libat urus bersama-sama media secara dalam talian hari ini.
“Setakat ini berdasarkan hasil semakan yang terperinci, cuma lapan peratus daripada kes AEFI yang serius disahkan memang ada kaitan dengan suntikan vaksin berkenaan,” katanya.
Turut serta sebagai perantara dalam sesi tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim.
Empat panel juga tampil membincangkan pelbagi topik berkaitan dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dan AEFI yang tular diperkatakan warganet.
Mengulas lanjut, Dr. Roshayati berkata, pemantauan pihak kementerian itu turut mendapati kesan AEFI yang serius amat jarang berlaku dan kemungkinan hanya akan timbul secara kebetulan.
“Semua kes AEFI serius dilaporkan oleh penerima dos imunisasi itu akan disiasat rapi dan dinilai bagi ditentukan memang ada hubung kait kesan sampingan dengan vaksin,” katanya.
Justeru, beliau meminta mereka yang mengalami AEFI agar segera memaklumkan menerusi pelbagai saluran disediakan oleh pihak kementerian termasuk melalui aplikasi MySejahtera bagi membolehkan kes disiasat teliti dan dikongsi NPRA dengan pihak berkepentingan lain malah laporan itu dijadikan rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Berdasarkan perangkaan agensi itu sehingga 31 Januari lalu, sejumlah 3,458 laporan AEFI serius diterima dari seluruh negara sejak PICK dilancarkan pada 24 Februari tahun lepas dan majoriti besar kes AEFI melibatkan dos primer, sekali gus menyangkal tohmahan golongan antivaksin kononnya dos penggalak berisiko tinggi ada kesan sampingan.
Malahan, Dr. Roshayati menambah, kajian NPRA juga mendapati bilangan laporan kes AEFI diterima disebabkan dos penggalak adalah 44 peratus lebih rendah berbanding dos primer.
“Secara keseluruhan, bilangan AEFI masih amat rendah iaitu cuma 0.4 bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diberikan, bahkan hanya 0.1 daripada setiap 1,000 dos penggalak,” jelas beliau.
Sistem Pelaporan NPRA ujarnya, menunjukkan 93 peratus daripada laporan yang diterima itu adalah AEFI jenis ringan dan sederhana seperti kes demam, pening kepala atau sakit otot.
Sebaliknya tegas beliau, laporan AEFI serius yang diterima pihaknya cuma pada kadar 0.03 bagi setiap 1,000 dos vaksin dan membuktikan kualiti keselamatan imunisasi dijamin baik. – UTUSAN











