PETALING JAYA: British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) merekodkan prestasi kewangan lebih kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2021 dengan keuntungan operasi meningkat kepada RM110 juta berbanding RM108 juta suku sebelumnya.
Peningkatan keuntungan itu berikutan perolehan yang kukuh berjumlah RM862 juta, meningkat 41 peratus daripada suku ketiga 2021.
Menurut BAT Malaysia, momentum pertumbuhan datang daripada peningkatan volum dan bahagian pasaran seterusnya, meningkatkan hasil dan keuntungan daripada operasi.
Katanya, peningkatan volum ini disebabkan terutamanya oleh pengurangan dalam pasaran gelap tembakau sebanyak 6.1 peratus berbanding tahun kewangan 2020 (TK2020).
“Pertumbuhan volum ini membawa kepada hasil sebanyak RM2.6 bilion untuk TK2021 berbanding RM2.3 bilion pada TK2020 (pertumbuhan 14 peratus) dan keuntungan daripada operasi sebanyak RM411 juta berbanding RM346 juta pada TK2020 (peningkatan 19 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Tambah BAT Malaysia, selaras dengan trajektori pertumbuhan volum, jumlah bahagian pasaran BAT Malaysia berada pada 52.4 peratus, peningkatan sebanyak 0.8ppt.
Prestasi saham yang memberangsangkan ini didorong oleh kekuatan jenama strategik syarikat iaitu Dunhill, Rothmans dan KYO, jelasnya.
Mengulas prestasi tersebut, Penagrah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, melangkah ke hadapan, pihaknya optimis terhadap prospek syarikat mengambil kira tanpa sebarang perkara yang tidak dijangka.
Katanya, syarikat terus berusaha ke arah membina `A Better Tomorrow’ dengan mengurangkan kesan ke atas perniagaannya.
Beliau pada masa sama berharap kerajaan memperkenalkan rangka kerja yang disokong oleh kajian saintifik sebagaimana di United Kingdom, Kanada dan New Zealand berhubung isu produk nakotin.
“Pada masa yang sama, kami meminta kerajaan berwaspada dalam menghadapi pasaran gelap tembakau yang menguasai hampir 60 peratus daripada jumlah pasaran dan menyebabkan Malaysia kerugian RM5 bilion
setiap tahun dalam cukai yang tidak dikutip.
“Kami tahu bahawa peraturan yang berlebihan telah mewujudkan krisis ini, jadi kami menggesa (pihak berwajib) berhati-hati dalam hal ini,” kata Nedal. – UTUSAN











