RM307.8 juta ‘duit haram’ dibeku - Utusan Malaysia

RM307.8 juta ‘duit haram’ dibeku

AZMAN ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah RM307.8 juta daripada akaun bank milik peniaga dibekukan pihak ber­kuasa kerana menyalahgunakan perniagaan untuk menja­lankan aktiviti ha­ram termasuk pe­ngu­bahan wang haram.

Kelicikan peniaga terbabit me­­­nyorokkan perolehan aktivi­ti itu berjaya dibongkar walaupun mereka menggunakan pelbagai taktik termasuk nama yang berbeza bagi setiap akaun bank untuk menutup ali­ran tunai kegiatan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Da­lam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, sebanyak 47 kes direkodkan pi­haknya sejak 2016 sehingga ta­hun lalu.

Katanya, kes-kes tersebut di­­sabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Malahan untuk tahun ini, kita sudah pun membuka satu kertas siasatan yang membabitkan kes penyelewengan barang bersubsidi,” katanya di sini, semalam.

Jelasnya, kejayaan itu adalah hasil usaha gigih Bahagian Penguat kuasa tersebut menerusi Sek­syen Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang ditubuhkan kementerian itu pada 2008 dengan kekuatan 16 pegawai melalui dua unit utama masing-masing dikenali sebagai Unit Pengesanan Aset dan Unit Pemprofilan.

Azman berkata, sejak 2016 sehingga 2021 lalu, mereka menyita keseluruhan akaun berjumlah RM204,015,631 dan juga melucuthakkan akaun bernilai RM58,101,980.

Kesalahan berat golongan peniaga itu ujar beliau, melibatkan empat akta dengan pa­ling banyak ialah 27 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan 15 kes Akta Perihal Dagangan 2011.

“Selebihnya iaitu masing-masing empat kes yang membabitkan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid serta baki satu kes pula di bawah Akta Cakera Optik 2000,” tambahnya.

Secara keseluruhan katanya, kerajaan memperoleh hasil RM70,101,980 melalui kaedah pendakwaan di bawah Seksyen 55 dan tanpa pendakwaan di bawah Seksyen 56 akta tersebut.

Setakat ini tegas­nya, kes AMLA terbesar pernah direkodkan ialah pada 2018 lalu iaitu aktiviti skim piramid dengan perolehan RM122,883,092.

Syarikat itu didenda RM5 juta di bawah AMLATFPUAA dan RM5 juta wang ‘kotor’ daripada aktiviti haram dilucut hak bagi dijadikan hasil kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×