Elak pelamin siap, nikah tak jadi - Utusan Malaysia

Elak pelamin siap, nikah tak jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARANGKALI rakyat Johor hanya tersenyum melihat gelagat ahli-ahli politik kalut mengatur gerak mencanang impian untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi. Sejumlah 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi rebutan.

Kelihatannya, ada yang turun dengan yakin akan memperoleh sokongan rakyat, ada yang sekadar mahu menguji pasaran dan ada yang seolah-olah langsung tidak mengambil peduli apa persepsi rakyat terhadap parti mereka.

Pihak-pihak yang bertanding dan pengundi berhadapan dengan cabaran tersendiri. Cabaran bagi parti-parti yang bertanding ialah kesediaan menawar komitmen dan keupayaan tinggi untuk menumpahkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri. Apatah lagi jika ditakdirkan parti yang ditandingi berpeluang membentuk kerajaan.

Setiap individu yang sedia dipilih menjadi calon juga perlu mempersiapkan diri untuk memenuhi harapan rakyat jika mereka dipilih. PRN bukan medan untuk menguji populariti atau sekadar belajar-belajar melangkah kaki ke arena politik. Agenda utama adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan negeri dengan sebaik-baiknya.

Tiada istilah ‘terkejut’ atau ‘tanpa diduga’ dalam mana-mana pilihan raya. Sebaliknya setiap yang bertanding baik atas nama individu calon atau parti yang diwakili mesti bersikap optimis dan bersedia untuk memikul amanah sekiranya diberi mandat oleh rakyat. Tegasnya, PRN bukan sekadar tempat untuk bertelagah dan bercakaran untuk merebut peluang menjadi calon tetapi mesti berbekal niat yang jelas, ikhlas dan berupaya untuk berkhidmat.

Ertinya, jika bertanding sekadar untuk memenuhi peluang yang ada, tentu tidak membawa makna apa-apa. Sebaliknya, rakyat yang mungkin memberi tempat kepada mereka untuk menang akan merasa hampa dan kecewa.

Jadi, berebut mahu menjadi calon perlulah diselarikan dengan berebut untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Untuk menyatakan kesediaan memberi perkhidmatan terbaik perlu pula diukur dengan kemampuan sebenar diri dan parti yang diwakili. Kalau parti yang diwakili itu sekadar kolek bersaiz kecil, tentu dengan sendirinya bermakna parti itu mempunyai keupayaan terhad untuk memerintah negeri atau menunaikan janji semasa kempen pilihan raya.

Segala yang dicatatkan ini membawa mesej supaya semua pihak yang ingin terlibat dalam pertandingan pada PRN Johor tidak lama lagi tidak hanya tahu berjanji, bermanifesto, beretorik atau memburuk-burukkan musuh tetapi mesti benar-benar bercagarkan tanggungjawab dan keupayaan sebenar yang dimiliki. Jika tidak, jadilah sebagai ungkapan perumpamaan, pelamin siap, nikah tak jadi.

TAKSUB

Perumpamaan ini juga sesuai dikaitkan dengan sikap rakyat atau pengundi itu sendiri. Membuat pilihan biarlah tepat dan munasabah. Pilihan mesti dibuat berlandaskan kesedaran secara objektif dan jelas hala tuju atau matlamatnya. Tidak ada tempat bagi pemilihan yang hanya dibuat atas sentimen tertentu seperti benci, marah, bermirip perkauman atau semata-mata taksub dengan mana-mana slogan perjuangan.

Hidup mengutip pengalaman, mengajar erti kebenaran, manakala kepalsuan tidak bertahan lama, malah jika dibiar berulang tiada untung melainkan kekecewaan. Cukup hanya sekali. Jangan hanya menurut kata hati, nanti menempah rugi.

Apa pun, diyakini melalui PRN tidak lama lagi, rakyat Johor sedia menghantar mesej yang positif terhadap pola politik negeri dan umumnya negara. Sedia maklum, sejak sekian lama, Johor merupakan salah sebuah negeri yang memiliki tunjang perjuangan politik yang kukuh dan turut memberi impak kekuatan politik bangsa di peringkat seluruh tanah air.

Rakyat Johor tahu membuat pemilihan sendiri. Mereka tidak pun bersedia untuk disogok dengan kempen-kempen yang hanya boleh mengelirukan fikiran. Seperti juga yang dirasai oleh rakyat di seluruh negara, rakyat Johor sudah bosan dengan percaturan politik yang tidak berkesudahan. Tidak pernah berlaku kekalutan politik seperti yang dihadapi ketika ini.

Jika pun keputusan yang bakal dibuat oleh rakyat Johor pada PRN nanti sama trendnya dengan apa yang berlaku di Melaka dan Sarawak, itu suatu kebetulan! Harus diterima kenyataan bahawa itu adalah kecenderungan sebenar yang dimiliki oleh rata-rata rakyat Malaysia, yakni mahu melihat kestabilan.

Kesimpulannya, pada PRN Johor kali ini perlu ditemui suatu titik penyelesaian (solution) terbaik bagi sebuah kestabilan politik dan kerajaan. Rakyat Johor perlu mencari keputusan dengan kemenangan bergaya pada tahap majoriti dua pertiga bagi mengelak ‘situasi kekok’ atau ‘kerapuhan kerajaan’ akan berulang. Dan rakyat Johor tentu menolak keras sebarang corak kerajaan beralas ‘lompat-melompat meraih tempat.’ Hormati pilihan sebenar rakyat!

Cabaran juga bagi pengundi-pengundi muda (Undi18). Apa yang perlu dilihat adalah jaminan masa depan yang menjanjikan nasib bangsa tetap terbela dan terpelihara.

Jangan mudah terpaut dengan sebarang dakyah dan janji manis yang mungkin di sebaliknya tersimpan niat melemahkan bangsa.

Kesal apa pada malam jika bulan dan bintang tiada bergemerlapan, tetapi kesallah pada kesilapan yang hanya menghadirkan kecewa bersulam keluhan.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×