Umrah: Kuarantin di rumah lima hari - Utusan Malaysia

Umrah: Kuarantin di rumah lima hari

Perjalanan umrah ditetapkan bermula 8 Februari seperti yang dipersetujui mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Januari lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jemaah umrah hanya perlu menjalani kua­ran­tin selama lima hari di rumah selepas pulang daripada me­ngerjakan ibadah tersebut di Tanah Suci.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, ketetapan itu merupakan antara hasil perbincangan pihaknya bersama dengan Kementerian Pela­ncongan Seni dan Budaya dan Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.

Namun katanya, jemaah ma­sih perlu memakai gelang pe­ngawasan sepanjang lima hari tem­poh kuarantin.

“Insya-Allah, tiada perubahan tarikh bagi perjalanan umrah yang telah ditetapkan bermula 8 Februari seperti yang dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Janua­ri lalu.

“Dijangka penerbangan pertama jemaah umrah adalah 9 Februari, namun jumlahnya belum diketahui kerana kami belum menerima angka rasmi daripada syarikat pengendali umrah,” katanya.

Pada 29 Januari lalu, kerajaan mengumumkan kebenaran semula perjalanan umrah yang telah ditetapkan bermula 8 Februari ini seper­ti yang dipersetujui Jemaah Menteri.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, antara SOP umrah ialah memastikan jemaah lengkap vaksinasi dan wajib mengambil dos penggalak demi keselamatan dan kesejahteraan jemaah.

Dalam pada itu, Razali menambah, meskipun ramai bim­bang gelombang varian Omicron, namun sambutan mengerjakan umrah masih menerima sambutan menggalakkan apabila para jemaah dilihat amat teruja untuk berangkat ke Tanah Suci.

Bagaimanapun katanya, mereka seharusnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan dijangkiti virus tersebut.

“Setakat ini, SOP di Tanah Suci masih sama apabila Kerajaan Arab Saudi masih melaksanakan penjarakan saf dan penjarakan fizikal. Malah Arab Saudi mewajibkan suntukan dos pengg­alak kepada jemaah yang masuk ke negara itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×