BEBERAPA malam lalu, saya ‘lepak’ di kedai mamak. Sesi teh tarik bersama beberapa rakan. Restoran Mamak Shahnaz Maju di Ayer 8 tidak jauh dari bangunan berkubah hijau yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan dihuni Perdana Menteri.
Selain bola sepak, antara yang dibincangkan ialah politik. Kata dua sahabat saya, mereka kabur mengenai hala tuju Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Tidak nampak apa.” “Kerajaan lemah.”
Macam-macam yang keluar. Lama juga mereka menyambung-nyambung hujah sesama sendiri. Saya dengar hujah mereka sambil hirup kopi O panas. Sengaja saya biarkan sehingga sampai masa sesuai untuk mencelah.
Saya mula membuka mulut. Pertama, Ismail Sabri mewarisi kerajaan yang tidak kukuh. Gabungan parti yang sangat longgar. Tidak mempunyai pilihan untuk membentuk pasukan Kabinet sendiri.
Sudah menjadi rahsia umum juga, kaki dan tangan Ahli Parlimen Bera ini terikat walaupun mempunyai kuasa yang sangat besar sebagai pemimpin nombor satu negara.
Ugut-mengugut. Tekan menekan. Itu yang beliau hadapi. Namun, beliau cuba sedaya upaya untuk mengekalkan kestabilan. Sangat berhati-hati walau di kiri dan kanan.
Langkah pertama yang diambil oleh Ismail Sabri ialah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH), yakni pembangkang utama kepada kerajaan Pusat. MoU itu melibatkan 18 perkara.
Menurut Ahli Parlimen PKR, Fahmi Fadzil, Setakat 19 Januari lalu, 13 perkara yang terkandung dalam MoU itu telah dilaksana. Ini bererti 72.2 peratus daripada kesemua perkara yang dijanjikan telah selesai.
Kestabilan ini amat penting bagi memastikan usaha kerajaan untuk mengatasi krisis kesihatan dan krisis ekonomi dihadapi sekarang dapat diberikan tumpuan sepenuhnya.
Ini adalah jiwa besar pemimpin politik tidak kira pembangkang mahu pun kerajaan (cuma kebelakangan ini ada yang agak kerap mencucuk).
Kedua, bagi mengukuhkan kembali perpaduan, Ismail Sabri memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia pada 22 Ogos 2021 dalam ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.
Beliau amat sedar jurang yang wujud dalam kalangan rakyat akibat perpecahan politik harus dirapatkan kembali. Ini adalah asas utama untuk memulihkan kembali negara yang terjejas teruk akibat Covid-19.
Ketiga, tidak timbul isu hala tuju atau dasar yang jelas. Kerajaan pimpinan Ismail Sabri telah membentangkan pelan jangka pendek melalui Bajet 2022 dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM332.1 bilion.
Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera dan bersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan.
Bagi jangka sederhana, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Oktober 2021. Pelbagai pembaharuan yang dibawa dalam RMK12 akan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik pada 2025. Kedua-dua dasar besar ini dijajarkan dengan konsep Keluarga Malaysia.
SEKSI
Cumanya, cerita fasal perancangan yang jauh tidak cukup ‘seksi’ untuk menarik minta khalayak menelaahnya. Kata rakan saya sambil mengakui, “mana ada rakyat Malaysia minat benda-benda perancangan yang kena fikir jauh macam itu. Kebanyakan kita lebih berminat untuk mengetahui berapa sen yang dapat. Jika tiada sen yang masuk maka kesimpulan mudah dibuat, kerajaan tiada hala tuju. Yang paling mudah ingat KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) RM10,000.”
Ismail Sabri tidak boleh buat macam itu. Kerajaan ini sudah tidak ada duit. Polisi kerajaan PH menyebabkan hasil mahsul negara terhakis. Disambung dengan pandemik, ekonomi ditutup. Pelabur pun fikir banyak kali hendak datang melabur disebabkan tiada kestabilan. Jadi, macam mana kerajaan ini hendak kumpul duit dan beri kepada rakyat?
Satu hal lagi, cerita-cerita mengenai dasar dan hala tuju ini tidak sampai ke bawah kerana ditenggelami isu-isu yang tiba-tiba muncul dan kadangkala tidak patut berlaku sama sekali. Sudahlah anggota Kabinet tidak boleh dipilih, menteri yang ada pula kadang-kadang buat silap yang tidak masuk dek akal sehingga terpalit kepada Perdana
Menteri. Komunikasi kerajaan dipaksa berada dalam mood reaktif untuk menjawab banyak persoalan yang dibangkitkan.
Namun, ramai tidak sedar beliau bertindak dalam beberapa isu berbangkit dengan tegas seperti kenaikan harga ayam biarpun jumlah penurunan hanya 20 sen daripada harga siling RM9.10. Namun, ia adalah lebih murah daripada permintaan penternak ayam yang mahukan harga melebihi RM10 sekilogram. Sudahlah tidak naik, diturunkan lagi. Ini melibatkan subsidi.
Percubaan untuk menaik tarif elektrik untuk penggunan domestik oleh agensi terbabit telah dihalang oleh ketegasan Pak Long Mail dalam mesyuarat Kabinet. Hampir sudah tidak ada benda untuk dipertikaikan, air mineral dalam mesyuarat yang dihadiri Perdana Menteri turut dipertikai. Katanya air mineral kayangan.
Tetapi dalam merungut susah itu dan ini, boleh pula berbondong-bondong beratur membeli kopi berlogo wanita berambut panjang berwarna hijau. Purata harga segelas kopi ini berbelas ringgit. Serba-serbi kerajaan tidak kena. Ajaran siapa entah?
Naratif daripada kerajaan tidak sempat berada dalam arus untuk difahami dan dihayati oleh seluruh Keluarga Malaysia kerana terpaksa menjawab tidak henti-henti. Itulah pandangan yang saya lontarkan kepada dua rakan. Mereka mencelah ketika saya berhujah tetapi bagi saya, tidak perlu ambil pusing kerana ia beremosi dan mengikut sentimen warganet.
Jam sudah 12 tengah malam. Mamak sudah tiga kali datang ke meja mahu mengambil cawan kerana lampu sudah dipadam. Sambil lagakan penumbuk untuk berpisah, saya sebut begini, “Pak Long Mail baru lima bulan. Tidak adil untuk kita terus lompat buat kesimpulan. Ada Covid-19, ekonomi tidak molek, politik huru-hara. Berilah peluang kepada beliau.”
Mereka sengeh. Saya senyum. Kami semua balik rumah. Entah bila kami akan jumpa lagi.
PENULIS ialah pelajar semester akhir Sarjana Komunikasi Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










