Sebuah cerita yang saya nak kongsikan – Zynakal - Utusan Malaysia

Sebuah cerita yang saya nak kongsikan – Zynakal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lagu Sakit memang membawa tuah buat penyanyi muda, Muhammad Raziq Rosli atau lebih dikenali sebagai Zynakal.

Hakikat itu diakui sendiri penyanyi ini. Padanya, lagu itu terlalu istimewa. Bagi Zyn, Gila pula adalah jeritan hati tentang kesakitan yang terpendam.

Dalam pertemuan kami baru-baru ini, anak kelahiran Pulau Pinang ini bercerita. Ada kisah di sebalik lagu yang diterbitkan sekitar tahun 2019 itu.

Kata Zyn, lagu itu bukan lagu biasa.

“Ia sebuah cerita yang saya nak kongsikan. Macam mana orang yang mentalnya terganggu hendak bercerita tentang masalah yang mereka hadapi.

“Gangguan mental bukan penyakit yang kita nampak. Kalau cara saya (luahkan), buat lagu. Jadi, Sakit bukan sekadar lagu bagi saya. Ia hidup, dalam pendengaran orang.

“Sakit ini masterpiece. Ia hanya berlaku sekali. Jadi, bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu yang impaknya begitu. Tapi insya-Allah, saya akan cuba hasilkan yang lebih baik daripada itu,” katanya.

Tambah penyanyi berusia 23 tahun ini, dia lega apabila lagu berkenaan telah membantu ramai orang berdepan masalah gangguan mental.

“Saya terima banyak mesej dari pendengar. Lagu itu mengubah kehidupan mereka. Alhamdulillah. Sejujurnya, Ia juga mengubah kehidupan saya.

“Selepas Gila, macam-macam berita baik yang saya terima. Contoh seperti Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta (MACP) tahun lalu.

“Saya tahu ada anugerah, tetapi tidak menjangkakan untuk menang. Ia mengejutkan,” katanya.

Mengulas lanjut, penyanyi ini menganggap anugerah Komposer Muda Berpotensi yang dimenanginya sebagai satu pengiktirafan paling bermakna.

“Ini adalah penutup yang baik untuk tahun lepas. Saya rasa sepanjang tahun lalu, tak ada apa sangat untuk diri sendiri. Jadi, Alhamdulillah atas kemenangan ini,” ujarnya.

FOKUS MUZIK DAN ALBUM
Tahun ini, Zyn menyusun kemas perancangan kerjaya seni. Baginya, tahun 2022 adalah tahun untuk muzik dan album.

“Saya nak fokus pada muzik. Rancangannya nak terbitkan album penuh. Sudah pun saya mulakan. Dah 50 peratus.

“Ada beberapa lagu. Mungkin seperti Sakit impaknya. Insya-Allah, lagu-lagu itu akan saya muatkan nanti.

“Impian saya adalah untuk memiliki album penuh. Zaman sekarang, ramai sangat orang digelarkan penyanyi one hit wonder. Saya mungkin dalam kalangan itu. Jadi, saya nak buktikan, sebaliknya” katanya.

Anak saudara kepada penyanyi legenda, Zamani ini merasakan dia belum cukup dikenali. Jelasnya, satu-satu caranya untuk menarik perhatian orang adalah dengan mengeluarkan album penuh.

“Mungkin orang tak cukup kenal saya dengan single yang saya keluarkan. Saya tahu saya boleh bawakan genre lain. Dalam album itu nanti, saya tunjukkan.

“Kolaborasi? Mungkin. Itu adalah kejutan. Mana tahu, dengan pakcik saya, Zamani. Dia dikenali dengan lagu balada. Mungkin saya kena ikut rentaknya. Tetapi saya ada cara saya, dia dengan caranya.

SAYA LAWAN
Sebelum ini, penyanyi ini terbuka menceritakan tentang masalah gangguan mental yang menghantuinya.

Bila disoal tentang itu, dia berkata keadaannya baik-baik sahaja. Cuma adakalanya, gangguan itu datang begitu sahaja.

“Alhamdulillah, okay. Lebih-lebih lagi apabila kita sudah mula bekerja semula.

“Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kesihatan mental saya agak menurun. Tetapi, saya lawan.

Saya tanyakan, adakah dia masih bergantung pada ubat-ubatan. Jawabnya ya, cuma pengambilan (ubat) sudah terkawal.

“Ya, masih bergantung pada ubat-ubatan. Cuma tidaklah sekerap dahulu.

“Sekarang ada satu-satu masa, kalau betul-betul rasa, baru saya akan ambil,” ceritanya.

BUKAN NAKAL, TAPI AKAL

Pada saya, nama pentas Zynakal itu unik dan tersendiri. Menggambarkan peribadi anak muda ini.

Hakikatnya, panggilan asal bukanlah nakal. Tetapi akal. Tetapi dia reda, menganggap panggilan itu sesuai dan memudahkan orang mengenalinya.

“Panggilan itu melekat. Orang kenal saya sebagai Zyn ‘nakal’. Saya pun macam okay dengan itu.

“Tapi bila ada yang bertanya. Saya akan jelaskan semula, bukan ‘nakal’ tetapi ‘akal’,” katanya sambil tertawa.

Dalam pada itu, saya layangkan soalan, adakah dia memiliki teman istimewa? Ramai rakan-rakan selebriti seangkatannya yang sudah mendirikan rumah tangga. Dia pula bagaimana?

“Saya belum ada (teman istimewa). Masih solo. Tapi adalah berkawan. Namun, perancangan berkahwin itu belum ada. Saya fokus untuk diri sendiri dahulu.

“Banyak rancangan saya tahun ini. Kerana itu, saya senang berkawan biasa. Lagipun awal lagi. Umur pun baru 23. Insya-Allah, mungkin di usia 28 atau 30, kahwinlah saya.

“Banyak lagi yang ingin saya kejar dalam hidup. Tentang pilihan hati, saya tak tekankan sangat. Asal masing-masing, okey la,” jawabnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×