Disisih keluarga, suami bekas banduan - Utusan Malaysia

Disisih keluarga, suami bekas banduan

Sepanjang tempoh itu, bermacam-macam perkara dilakukan ibu Dila supaya dia meninggalkan lelaki itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap orang pasti ada kisah silam. Tidak kiralah sama ada baik atau sebaliknya. Ramai yang berpandangan bahawa sejarah silam kita seharusnya dikongsi dengan pasangan sejurus bermulanya hubungan.

Namun ada pula berpandangan sebaliknya.

Kisah silam lebih-lebih lagi sejarah gelap tidak wajar dikongsi dengan pasangan lebih-lebih lagi ahli keluarga kerana dibimbangi akan membawa pertengkaran yang diakhiri perpisahan.

Boleh jadi kisah silam itu melibatkan perkara-perkara mengaibkan seperti maksiat, jenayah dan bermacam lagi.

Minggu ini saya kongsikan kisah Dila (bukan nama sebenar) yang disisih keluarga disebabkan menikahi bekas banduan.

Bagaimanapun Dila mempunyai sebab dan pandangan sendiri mengenai keputusannya itu.

Bagi Dila, kisah silam biarkan sahaja berlalu dan disimpan rapi dalam ingatan.

Benar tiada rahsia dalam perkahwinan tetapi ada ketikanya menyimpan sesuatu yang menyakitkan lebih baik daripada meluahkan.

Bagi wanita tabah ini, bukan mudah melupakan dan memberi peluang kedua kepada seseorang tetapi tidak mustahil ia boleh dilakukan.

Menyingkap awal pertemuan, segala-galanya bermula apabila Razak (bukan nama sebenar) yang berasal dari Muar, Johor itu menghulurkan salam perkenalan kepada Dila selepas bertemu pertama kali di sebuah majlis.

Razak menepati ciri-ciri lelaki idaman Dila. Seorang yang mengambil berat dan penyayang.

Setelah bergelar ibu tunggal selama dua tahun, Dila tidak menyangka akan bertemu jodoh buat kali kedua bersama Razak.

Tempoh perkenalan mereka agak singkat dan ketika itu jugalah Razak berterus terang dan jujur dengan Dila tentang sejarah silamnya.

Razak ketika itu bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dipenjarakan selama dua tahun kerana melakukan jenayah pecah amanah.

Tidak sampai tiga bulan mengenali hati budi mereka mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

Walaupun keluarga ketika itu terutama ibu Dila menentang keras kerana perbuatannya itu memalukan dia tetap nekad dengan keputusan tersebut.

Bagi Dila, dia berkahwin dengan Razak yang sekarang bukan dengan Razak pada masa lalu.

Sepanjang tempoh itu, bermacam-macam perkara dilakukan ibu Dila supaya dia meninggalkan lelaki itu.

Namun siapa yang dapat menolak jodoh yang ditentukan Allah Taala.

Selepas diijabkabul, Dila hanya mahu melihat ke hadapan dan mahu bahagia bersama suami dan anak-anaknya.

Dia mahu menjaga keluarga kecilnya itu tanpa membenarkan apa juga elemen negatif masuk sehingga boleh meruntuhkan rumah tangga yang dibina.

Bagi Dila, dia ikhlas mencintai dan menerima Razak seadanya.

Dila mengakui, hatinya terpaut kepada Razak selepas mengetahui kesungguhan lelaki itu mengahwininya tanpa mengira statusnya sebagai ibu tunggal.

Ketika mula-mula mengetahui kisah silam Razak, Dila cuba bersikap positif dengan mengawal emosi dan keadaan.

Dia cuba mengumpul segala kesabaran untuk berhadapan dengan Razak.

Dalam masa sama menanam keyakinan bahawa lelaki itu mampu berubah menjadi suami yang baik dan bapa kepada dua anaknya.

Bagi Dila masa silam suami adalah masa lalu.

Dia enggan mengungkit kerana percaya Razak telahpun bertaubat di atas perbuatannya yang lalu.

Selepas berkahwin, Dila yang bertugas sebagai guru ditukar ke sebuah sekolah menengah di pantai timur.

Atas persetujuan bersama Dila mengeluarkan modal untuk Razak membuka perniagaan mencuci kereta.

Berkat usaha dan kesabaran pasangan ini, perniagaan yang diusahakan Razak semakin maju.

Sepanjang tempoh setahun melayari bahtera perkahwinan, Dila tidak nampak sebarang kekurangan Razak.

Lelaki itu melayan baik diri Dila termasuk dua anak hasil perkahwinannya yang terdahulu.

Sejak awal perkahwinan sehinggalah memasuki tahun kelima perkahwinan, dia masih mendengar cerita buruk daripada orang lain mengenai suaminya itu.

Bagaimanapun Dila tetap teguh dengan pendirian.

Ternyata Dila bahagia selepas berkahwin dengan Razak walaupun tidak mendapat restu keluarga.

Dila cukup sedih, keluarganya tidak habis-habis memintanya bercerai daripada Razak.

Menurut ibu Dila, dia akan dapat lelaki yang lebih kaya, baik dan berjawatan tinggi.

Dila benar-benar sayangkan Razak. Razak terlalu baik untuknya dan anak-anak.

Lebih sedih apabila ibu meminta Dila menggugurkan kandungan apabila mendapat tahu dia mengandungkan anak Razak.

Dila berpandangan, kebahagiaan perlu dicipta dan dibina bersama -sama dengan meninggalkan kisah gelap masa silam yang tidak perlu diulang atau diungkit.

Sedangkan, rumah tangga mereka aman damai dan tiada perbalahan.

Sepanjang tempoh perkahwinan, Dila dan suami berusaha untuk berbaik dengan ibu bapa dan adik beradik.

Walaupun setiap kali pulang, Dila dan Razak menerima layanan buruk daripada mereka, pasangan ini tidak berputus asa.

Razak sentiasa menasihatkan Dila agar sentiasa berdoa dan bersabar.

Sebagai seorang anak, Dila tetap hormat dan sayangkan ibu bapanya. Dia enggan terlalu melayan perasaan dan sentiasa berusaha mengali hikmahnya.

Bagi Dila, tiada yang salah tentang perancangan Allah Taala. Dia sentiasa berprasangka baik , sentiasa berpegang teguh kepada keikhlasan terhadap apa yang ditetapkan Allah Taala.

Sehingga ke hari ini, terus berusaha dan berdoa agar seluruh ahli keluarga terutama ibu bapanya menerima Razak sebagai sebahagian ahli keluarga mereka.

Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah mengetahui segala isi hati (al-Maidah: 7).

ROSLAH OTHMAN ialah bekas wartawan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN