Malaysia bukan pilihan pelancong Rusia? - Utusan Malaysia

Malaysia bukan pilihan pelancong Rusia?

MENURUT penulis, kebanyakan warga asing yang ditemuinya semasa belajar di luar negara menyatakan Malaysia hanya sekadar persinggahan sementara mereka sebelum ke Thailand atau Singapura melalui jalan darat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IKLAN dan slogan Malaysia Truly Asia sentiasa tertera di kaca televisyen di seluruh dunia dengan niat untuk mempromosi negara kita. Slogan keramat ini juga benar-benar menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang paling banyak dilawati (sebelum pandemik Covid-19).

Kota metropolitan Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Langkawi sentiasa menjadi tumpuan utama pelancong untuk menyaksikan keindahan dan keunikannya yang tersendiri.

Namun, sekiranya kita kaji secara terperinci, kebanyakan pelancong yang mengunjungi Malaysia datang dari negara-negara Asia khususnya Asia Tenggara, China, India dan Asia Barat.

Persoalannya, adakah sasaran kumpulan kita hanya dari negara-negara tersebut? Cukup berbeza apabila kita melihat sektor pelancongan di negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia dengan lambakan pelancong yang bukan sahaja dari benua Asia, bahkan Eropah dan Amerika.

Apakah rahsia kejayaan mereka? Mengapakah lokasi Malaysia yang terletak di tengah-tengah antara Thailand dan Singapura tidak menerima banyak kemasukan pelancong dari Eropah, Amerika mahupun Rusia?

Sewaktu saya melanjutkan pelajaran di luar negara, saya perhatikan majoriti besar warga asing lebih berminat untuk mengetahui tentang Thailand, Singapura dan Indonesia tetapi tidak Malaysia. Menurut mereka, Malaysia hanya sekadar tempat persinggahan sementara atau laluan menuju ke Thailand atau Singapura melalui jalan darat.

Kalau ingin melancong pula, mereka akan memilih Pulau Phuket di Thailand, Pulau Bali di Indonesia dan Singapura. Pulau Langkawi yang kita sering agung-agungkan tidak termasuk dalam senarai, seolah-olah ia tidak wujud. Adakah faktor utama hal ini berlaku disebabkan kos yang lebih murah? Destinasi pelancongan yang lebih mesra? Atau mungkinkah strategi negara jiran kita jauh lebih berkesan?

Dalam menjawab persoalan ini, saya mendapatkan pandangan seorang warga Rusia yang merupakan antara individu terawal membawa masuk pelancong dari negara terbesar di dunia itu ke Malaysia. Ilya V. Gurgutsov, 54, dari Chelyabinsk mula mempromosi Malaysia dalam pasaran Rusia sebagai destinasi pelancongan pada 1999.

Menurutnya, ketika itu, pelancong Rusia yang melawat Malaysia berjumlah sekitar 2,000 orang sahaja.

“Peguam syarikat saya mengatakan saya menjadi warga Rusia pertama yang dikurniakan permit bekerja dalam industri pelancongan Malaysia,” katanya. Ujarnya, empunya syarikat tiket kapal terbang dan agensi pelancongan Rusia tersebut mengambil keputusan menerokai pasaran Malaysia, 22 tahun lalu.

“Saya mahu menetap di negara ini,” katanya sebaik sahaja tiba di Malaysia buat kali pertama. Syarikat Ilya yang berpangkalan di Rusia hanya memfokuskan penjualan pakej pelancongan eksklusif ke Malaysia sahaja dan kadang-kadang digabungkan dengan Singapura.

MANDARIN

“Percaya atau tidak, sekitar 1999 hingga 2005, ramai warga Rusia yang langsung tidak tahu lokasi Malaysia,” tambahnya. Satu persoalan penting saya lontarkan kepadanya, “mengapakah begitu kurang pelancong Rusia melawat Malaysia dibandingkan dengan Thailand dan negara-negara jiran lain?” Jawabnya, antara faktor-faktornya ialah pembangunan sektor pelancongan Malaysia yang kurang menyebabkan maklumat tentang negara ini sangat sedikit.

Selain itu kekurangan pengetahuan ejen pelancongan terhadap Malaysia juga menjadi faktor. Paling ketara, harga tiket kapal terbang yang mahal disebabkan tiada penerbangan terus dari Moscow ke Kuala Lumpur. Sebaliknya pelancong perlu transit di mana-mana negara terlebih dahulu.

Mengikut pengalaman Ilya, terdapat dua jenis pelancong Rusia yang melawat Malaysia. Pertama, mereka yang benar-benar ingin menerokai negara ini. Mereka akan melakukan pengkajian secara terperinci sebelum berlepas dan hasilnya begitu positif.

Kedua, mereka yang hanya sekadar masuk ke Malaysia dengan beberapa sebab. Antaranya kerana pakej pelancongan yang diambil melibatkan lebih satu negara.

Namun, kebanyakan pandangan dan perasaan golongan ini terhadap Malaysia berubah kepada positif sebaik sahaja tiba ke sini. Dan ramai juga dalam kalangan mereka kembali ke Malaysia buat kali kedua.

Ilya yang sudah menetap di Malaysia lebih 18 tahun mempunyai seorang anak perempuan yang baru menamatkan pelajaran di sekolah tempatan, manakala seorang lagi anak gadisnya masih belajar.

“Kedua-dua mereka boleh bercakap, membaca dan menulis empat bahasa, iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Rusia,” kata Ilya bangga.

Ternyata langkah mempromosi negara adalah tanggungjawab semua pihak. Saya menyeru semua pihak baik kerajaan, pelajar kita di luar negara dan masyarakat umum agar memainkan peranan sebagai ejen mempromosi negara. Di samping itu, syarikat-syarikat pelancongan yang sering membawa pelancong kita ke luar negara juga disaran membawa masuk pelancong-pelancong asing ke negara ini.

Janganlah begitu mengejar keuntungan hinggakan tidak memikirkan perihal tanah air sendiri. Kita perlu mula bertindak untuk memajukan industri pelancongan tempatan memandangkan negara-negara jiran sudah semakin jauh meninggalkan kita dalam banyak aspek. Terapkan sedikit perasaan patriotik dalam jiwa kita.

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×