MUKADIMAH
TEMPOH 20 tahun tidak dikaji kadar rawatan dialisis untuk pusat rawatan swasta mungkin perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan.
Dalam situasi kos kehidupan semasa yang serba-serbi tinggi, pastinya membebankan untuk pengusaha pusat rawatan dialisis swasta menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN, Pengerusi Persatuan Profesional Dialisis Malaysia, DATUK DR. ZULKIFLI ABDUL AZIZ berkongsi pandangan berhubung isu ini.
UTUSAN: Berapa jumlah pusat dialisis swasta di negara ini?
ZULKIFLI: Hampir 900 pusat dialisis termasuk di Sabah dan Sarawak. Terdapat kira-kira 50,000 pesakit menerima rawatan di sini.
Apa sumbangan pusat-pusat ini kepada masyarakat dan negara?
Ramai pengusaha berkorban terutama sewaktu penularan pandemik Covid-19 untuk membantu kerajaan. Mereka umpama wira yang tidak didendang. Kebanyakan mereka tidak menerima insentif besar daripada kerajaan dan terpaksa menanggung kos tambahan untuk membiayai gaji serta insentif kakitangan dan pada masa sama membantu pesakit di kala Covid-19. Kos operasi meningkat terutama apabila terpaksa menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE), kuarantin staf, proses sanitasi dan lain-lain lagi.
Jadi, saya yakin semua pengusaha sudah berusaha memberikan yang terbaik untuk membantu pesakit semasa pandemik, seterusnya membantu kerajaan dengan menyediakan rawatan terbaik.
Justeru, kita kalau boleh harap kerajaan menghargai pengorbanan pusat-pusat dialisis swasta ini dengan memberikan perhatian sewajarnya.
Apa yang Datuk maksudkan dengan perhatian sewajarnya?
Mungkin kerajaan boleh kaji semula kadar rawatan yang hampir 20 tahun tidak dibuat penilaian. Kadar rawatan tidak pernah naik dalam tempoh tersebut sedangkan kos-kos lain seperti peralatan, perkhidmatan meningkat dan kos operasi yang meningkat dengan syarat-syarat dan piawaian yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Tapi kadar rawatan masih sama dibayar sejak sekian lama. Kita juga harus buat perbandingan dengan negara luar yang mana kadar tuntutan rawatan jauh lebih tinggi berbanding negara kita. Perkara ini juga akan menjejaskan kualiti rawatan terhadap pesakit. Ini kerana kadar yang diterima sedia ada tidak lagi rasional dan tidak dapat menampung kos yang semakin meningkat.
Jadi, untuk menyediakan perkhidmatan dan rawatan yang lebih baik pada masa akan datang, kadar tersebut mesti dikaji.
Berapa kadar rawatan sekarang?
Sekali rawatan adalah kira-kira RM150 hingga RM200. Pastinya kos kehidupan yang semakin meningkat, harga semua barang meningkat, ia memberi beban kepada pengusaha.
Apa kesan jika kadar ini tidak dikaji?
Kualiti rawatan akan terjejas (kurang berkualiti). Banyak pengusaha akan mencari peralatan atau kaedah yang lebih menjimatkan. Untuk jangka masa panjang, ia akan beri kesan kepada pesakit. Maksudnya, pesakit terpaksa mendapatkan rawatan lanjut di hospital, secara tidak langsung meningkatkan semula kos kerajaan.
Itulah sebabnya kita minta perkara ini dikaji. Memanglah pesakit boleh tuntut bayaran rawatan daripada pihak penaja tapi tujuan kita adalah mengurangkan jumlah kemasukan ke hospital. Secara objektif, kos kerajaan dalam menjaga pesakit di hospital akan berkurangan. Saya yakin penjimatan ini agak besar sebab pesakit yang menerima rawatan dialisis antara yang mempunyai komplikasi tertinggi. Dengan sedikit kadar peningkatan kos rawatan, pesakit akan mendapat rawatan lebih berkualiti seperti penggunaan single use dialyzer dan sebagainya.
Sudah ajukan isu ini kepada kerajaan?
Kita dalam peringkat perbincangan. Penerimaan baik buat masa ini dan kita harap kajian secara menyeluruh daripada pihak kerajaan dalam memperhalusi perkara ini dengan sewajarnya serta mengambil kira semua faktor demi kebaikan pesakit dan pengusaha.
Selain itu, kerajaan juga perlu memperketatkan lagi kelulusan permohonan pengusaha pusat rawatan dialisis yang baharu. Berikan kepada mereka yang betul-betul layak.
Betul-betul layak? Boleh ulas lanjut?
Kita nampak banyak juga pengusaha baharu yang muncul cuba menjalankan perniagaan ini. Kami dapati ada yang tidak menepati piawaian sepenuhnya, Jadi, perkara ini perlu diteliti semula supaya perkhidmatan pusat rawatan dialisis swasta dalam satu standard yang cukup baik.
Boleh berikan contoh-contoh tidak menepati piawaian?
Sebagai contoh, dari segi pengalaman. Ada pengarah yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang rawatan dialisis secukupnya. Kebanyakan mereka ini bermatlamat untuk mendapatkan keuntungan semata-mata, business minded, bukannya untuk berkhidmat kepada masyarakat atau membantu pesakit. Inilah salah satu puncanya.










