PRN Johor uji Keluarga Malaysia - Utusan Malaysia

PRN Johor uji Keluarga Malaysia

GOLONGAN muda hari ini mahu melihat UMNO sebagai sebuah parti yang mampu memberikan harapan dan keyakinan ke atas masa depan mereka. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor merupakan medan ujian ke atas kepimpinan Keluarga Malaysia diterima oleh rakyat Johor atau sebaliknya. Walaupun Barisan Nasional (BN) ingin bertanding secara solo tetapi dari segi komposisi etnik memberikan satu gambaran yang stabil sebagai satu negeri masyarakat majmuk. Pertambahan pengundi baharu tidak banyak mengubah konsep komposisi masyarakat Melayu sebagai pengundi dominan.

Pertambahan pengundi baharu termasuk yang berumur 18 tahun dalam PRN Johor adalah seramai 749,713 orang. Kawasan Parlimen paling ramai mencatatkan pertambahan pengundi melebihi 50,000 iaitu Parlimen Tebrau, Parlimen Pasir Gudang, Parlimen Pulai dan Parlimen Iskandar Puteri. Pertambahan pengundi baharu antara 20,000 hingga 50,000 mencatatkan sebanyak tujuh Parlimen.

Pertambahan pengundi Melayu dan pengundi Cina berada dalam seimbang. Pertambahan pengundi baharu Cina melebihi 30 peratus iaitu bersamaan jumlah asal melebihi 30 peratus dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu. Ini bermakna kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Cina tidak banyak berubah berbanding PRU14.

Situasi ini menunjukkan pengundi bukan Melayu terutama Cina mampu mempengaruhi keputusan. Sebanyak 12 kawasan DUN iaitu Layang-layang, Mengkibol, Paloh, Buluh Kasap, Bekok, Perling, Tiram, Permas, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Permai dan Senai menunjukkan peratusan pengundi India melebihi 10 peratus. Ini turut membayangkan pengundi India amat penting dalam penentuan PRN Johor.

Daripada 56 DUN menunjukkan 29 majoriti Melayu melebihi 60 peratus. Hanya 12 DUN boleh dikatakan dominasi pengundi Melayu melebihi 80 peratus manakala 15 DUN majoriti pengundi Cina melebihi 45 peratus.

Diikuti 12 DUN kawasan campuran (pengundi Melayu 60 peratus). Perling merupakan kawasan pengundi seimbang antara Melayu dan bukan Melayu. Bukan mudah untuk mana-mana parti menguasai PRN Johor tanpa kerjasama dan sokongan semua kaum. Tetapi tidak mustahil untuk BN menguasai semula Johor.

UMNO perlu dilihat mempunyai potensi untuk menang majoriti besar. Untuk merealisasikan sasaran ini, UMNO perlu keluar dari dimensi lama dengan penggunaan strategi lebih mesra golongan muda. Kesilapan UMNO dalam PRU14 perlu dijadikan iktibar untuk terus bergerak membuat reformasi dalam persepsi minda pengundi.

Persepsi kurang baik ke atas imej parti dengan propaganda perlu ditangani secara berhemah supaya tidak lihat UMNO yang bersalah.

GAJET

Golongan muda hari ini mahu melihat UMNO sebagai sebuah parti yang mampu memberikan harapan dan keyakinan ke atas masa depan mereka. Mereka tidak mahu lagi melihat bayangan lama UMNO yang masih dengan ketokohan pemimpin 1990-an. Inilah yang perlu difahami bahawa perjuangan bumiputera dan Islam perlu berjalan seiring dalam fiqh watan.

Malahan anak-anak muda selepas generasi Y adalah generasi gajet yang pasti lebih terdedah dengan pelbagai propaganda persepsi yang akhirnya akan merosakkan kredibiliti UMNO untuk berubah. Kebangkitan UMNO pada masa kini perlu menampakkan wajah lebih mesra, berintegriti dan bermaruah.

Walaupun jenama Abah kurang laris tetapi tidak boleh dinafikan sokongan golongan muda ada kalanya sukar diterjemahkan. Namun begitu, dari segi sokongan akar umbi UMNO adalah kuat tetapi perlu berhati-hati. Jika benar UMNO ingin menguasai semula Johor maka kekuatan terbaik adalah membeli jiwa golongan muda yang masih belum panas dengan perjuangan UMNO. Untuk membeli jiwa adalah menunjukkan usaha serius UMNO sebagai parti yang berintegriti dan bermaruah.

UMNO perlu membuktikan kebangkitan parti itu dari Johor. Ini amat penting kerana sejarah menunjukkan suatu ketika dahulu UMNO Johor pernah memimpin Melayu untuk melawan Malayan Union dan menggerakkan kesedaran awal kemerdekaan negara.

Begitu juga MCA. MCA Johor pernah menunjukkan kecemerlangan dan berjaya menundukkan DAP sehingga akhirnya DAP terpaksa mengubah strateginya. Kekuatan MCA dan MIC amat diharapkan supaya dapat menyumbang kepada pengukuhan kemenangan UMNO dalam PRN Johor.

Seterusnya, pengundi bukan Melayu amat memerhati setiap gelagat pemimpin UMNO. Usaha serius UMNO terutama UMNO Johor untuk memberikan satu keyakinan parti itu mampu memberikan kestabilan hakiki ke atas politik tanah air. Jika kepercayaan dan keyakinan tidak mampu direalisasikan maka turut mencalar sedikit sebanyak imej UMNO dalam PRN Johor. Akhirnya sebahagian pengundi bukan Melayu berkemungkinan hilang kepercayaan dan hormat pada BN.

BN juga perlu merangka satu strategi autonomi negeri berbeza jika berlakunya penjajaran struktur politik tidak dijangka. Situasi ini mungkin kerana dinamik politik yang sentiasa berubah. Mungkin kerjasama dengan Muafakat Nasional di peringkat Pusat boleh digunakan dengan kelonggaran syarat tertentu jika berlakunya penjajaran struktur politik baharu di peringkat negeri.

Walaupun Pakatan Harapan (PH) bukan satu ancaman dalam PRN Johor kali ini tetapi pertandingan dua penjuru mungkin berlaku jika penjajaran struktur politik baharu di peringkat negeri wujud. Penjajaran politik baharu ini tidak menggugat pembentukan kerajaan di peringkat Pusat kerana perjanjian antara PH dengan kerajaan sudah cukup. Ini bermakna penjajaran politik baharu ini berkemungkinan tidak mengikat cuma berlaku dalam kesefahaman kerjasama secara tidak langsung dalam PRN Johor nanti.

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×