PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Johor bimbang dengan sentimen berbaur prasangka yang ditimbulkan oleh bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Suhaizan Kayat yang seolah-olah cuba `menghukum’ pengundi Tionghoa setiap kali bila tiba pilihan raya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, tindakan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu yang menuduh kononnya BN mahu ‘mempergunakan’ pilihan raya negeri (PRN) untuk mengelak perantau Tionghoa warga Johor dari pulang mengundi selepas Tahun Baharu Cina jelas berbau perkauman dan tidak bertanggungjawab.
“Saya bimbang bila bekas speaker (Suhaizan) cakap selepas mereka (perantau Tionghoa bekerja di Singapura) sudah balik sambut Tahun Baharu Cina, mereka tidak akan balik kali kedua untuk mengundi.
“Kenapa sebut yang Tionghoa sahaja? Kenapa Suhaizan hukum mereka, padahal semua kaum pun bercuti juga? Bukankah yang orang Melayu, India pun balik juga?
“Mana dia (Suhaizan) tahu kaum Tionghoa semuanya tidak sokong kita (BN)? Adakah dia rasa mereka semuanya (penyokong) DAP? Adakah itu juga petanda DAP ini rasis?” soalnya ketika dihubungi semalam.
Baru-baru ini dalam satu program dialog politik siaran sebuah stesen televisyen, Suhaizan menyelar PRN Johor diadakan yang didakwanya BN mempunyai motif untuk menghalang pengundi Tionghoa yang bekerja di Singapura pulang mengundi.
Suhaizan menggunakan alasan `kaum Cina yang bekerja di Singapura tidak akan balik kali kedua selepas pulang bercuti menyambut Tahun Baharu Cina”, sekali gus satu `strategi’ BN khususnya UMNO untuk menghalang undi mereka yang didakwa banyak berpihak kepada Pakatan Harapan, sekutu Amanah.
Ekoran sentimen yang cuba dicetuskan oleh Suhaizan itu, Hasni mengajak semua parti yang bertanding dalam PRN Johor nanti supaya melakukan `political reset’ untuk memastikan Johor tidak dirosakkan dengan isu-isu perkauman.
“Kita harus kekalkan negeri Johor dengan komposisi masyarakatnya yang hidup harmoni antara kaum Melayu, Cina dan India.
“PRN ini pun berlaku dalam keadaan pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) yang ramai orang Tionghoa dan Melayu yang dapat balik pun,” katanya.
Kata Hasni lagi, faktor kemakmuran dan kestabilan Johor menjadi keutamaannya untuk menyegerakan PRN berikutan kedudukan tipis majoriti dalam DUN.
“Kita termasuklah Suhaizan sendiri lihatlah cerminan kedudukan dalam DUN. Di pihak kerajaan semuanya Melayu, ada seorang Cina, India. Manakala di sebelah blok pembangkang, tiga per empat semua Tionghoa.
“Bila ada isu, kalangan backbencher Melayu yang bangkit, di sebelah pembangkang bila tercetus isu, bukan Melayu sahaja yang bangkit. Baguskah ini semua untuk negeri Johor?
“Era waktu Johor dulu (ditadbir BN) seronok dalam Dewan, ADUN-ADUN bukan Melayu ada sampai 10 orang di dalamnya.
“Oleh kerana saya hanya ada satu sahaja (ADUN Tionghoa) dalam kerajaan, cukup sukar sekali untuk imbangkan dasar-dasar pendidikan dan pembangunan,” kata Hasni. – UTUSAN










