Rentak politiknya biar seindah zapinnya - Utusan Malaysia

Rentak politiknya biar seindah zapinnya

ZAPIN adalah manifestasi keserasian langkah dan keseragaman gerak serta alunan irama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RENTAK irama zapin mempersonakan. Gemersik alun lagunya menenang jiwa. Ditambah gerak tarinya yang sederak tingkahan gendang cukup harmonis menyegar perasaan.

Demikianlah zapin, salah satu seni budaya asli Johor yang termasyhur. Lalu, ada yang membisikkan, “apa kata kalau politik di negeri Johor kembali segar, seindah zapinnya?”

Johor dan politik tanah air bukan suatu subjek yang asing. Di bumi negeri penghujung selatan tanah Semenanjung itulah kira-kira lapan dekad lalu, lahirnya sebuah parti politik bernama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Parti yang merintis perjuangan memerdekakan tanah air daripada tangan penjajah British.

Fakta sejarah tidak mungkin berubah. UMNO terus berkembang mendominasi pemerintahan bukan sahaja di Johor, malah di seluruh negara selepas mencapai kemerdekaan. Malaysia stabil dan makmur menelusuri sistem demokrasi berparlimen yang memberi kebebasan rakyat membuat pilihan setiap lima tahun. Malaysia muncul sebagai antara negara yang lengkap berstruktur dan bersistematik dalam tadbir urusnya di dunia.

Akhirnya, hadirlah suasana yang memberi peluang kepada rakyat Johor dan rakyat Malaysia umumnya memahami tentang makna ‘pilihan’ dan ‘kestabilan.’ Mana mungkin sesebuah kerajaan boleh bernafas selesa jika angka majoritinya hanya berselisih sekadar beberapa angka. Lebih-lebih lagi dalam konteks Johor yang hanya ‘berjalan’ dengan kelebihan satu kerusi.

Majoriti kecil menggugat kestabilan. Seolah-olah sentiasa dibayangi kebimbangan, dikejar ugutan dan ancaman. Dan tanpa kestabilan, tadbir urus negara atau negeri tidak mungkin berjalan lancar. Sentiasa ada halangan dan rintangan. Ternyata, usaha memajukan negeri dan merangka dasar mensejahterakan penghidupan rakyat terencat dan terbatas.

Justeru, agak ‘ketinggalan’ jika ada pihak yang masih mempersoalkan kewajaran atau rasional diadakan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi. Ada yang kononnya memberi perhatian tentang kos. Dikatakan kos yang melebihi RM100 juta itu hanya merugikan rakyat dan negara. Tidak pula dilihat kos bagi mewujudkan sebuah kestabilan jauh lebih besar nilainya?

Soal kos tidak perlu dipertikai apabila bertembung dengan sesuatu keadaan yang memerlukan. Langkah untuk memenuhi ‘suatu tuntutan keperluan’ pula tiada nilai harga yang boleh dihitungkan. Tidak timbul soal penglibatan kos dan tenaga. Ini kerana tindakan yang dibuat itu semata-mata menjurus kepada mencari sesuatu untuk sebuah penyelesaian terbaik bagi kehidupan.

HIDUP MATI

Dalam hubungan ini, ada juga yang menyuarakan, “kenapa tidak dipersoalkan tindakan sesetengah pihak tertentu sebelum ini yang semacam sewenang-wenang sengaja mengadakan pilihan raya kecil (PRK) di beberapa kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), sedangkan sebarang keputusan daripada PRK itu tidak merubah pun kedudukan kerajaan negeri atau Persekutuan?”

Kesediaan parti yang sedang menerajui pemerintahan Johor (UMNO-Barisan Nasional) untuk mencari rumusan terbaik tentang kestabilan politik negeri patut dipuji.

Mereka sedia berkorban demi menemui titik kekuatan sebenar bagi sesebuah kerajaan memerintah negeri. Tidak timbul soal mengambil momentum pencapaian atau prestasi parti itu di PRN Melaka.

Soal hidup mati ketentuan Allah SWT. Segala yang berlaku adalah atas kehendak-Nya. Siapa sangka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas dijemput Ilahi ke pangkuan-Nya, di tengah-tengah suasana nisbah bilangan kerusi di DUN begitu meruncing. Ekoran itu, majoriti yang dimiliki pemerintah hanya tinggal satu kerusi. Apa pun, segala yang ditakdirkan membawa seribu makna, penuh ujian dan pengajaran untuk dimengerti dan diterjemahkan sebaik-baiknya demi kelangsungan kehidupan.

Ekoran itu juga, rakyat Johor tentunya menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Johor merestui PRN diadakan. Istilah ‘sedia berkorban’ digunakan kerana parti yang membentuk kerajaan yang sedang memerintah negeri tidak dapat menjangka sama ada mereka akan beroleh majoriti yang lebih besar atau sebaliknya semakin berkurangan mendapat sokongan rakyat negeri itu pada PRN tidak lama lagi.

Ada yang tegas menyatakan, PRN Johor sememangnya menepati aspirasi rakyat tempatan. Mereka mahu berada di bawah satu pasukan pemerintah yang benar-benar menjunjung pilihan rakyat, bukan ekoran tindakan ‘lompat-melompat.’

Keabsahan (legitimacy) atau untuk berpijak pada mandat sebenar rakyat, sesebuah kerajaan perlu lahir dari medan sebenar pilihan raya, daripada tangan-tangan rakyat yang menentukan undi. Kekuatan dan kestabilan politik di Johor memberi makna besar kepada imej politik negara.

Situasi yang boleh menampilkan gambaran kemajuan bangsa, kesuburan ekonomi di samping meletakkan arah haluan politik yang boleh memberangsangkan kemakmuran negara. Sedia maklum, Johor terletak di sempadan antarabangsa.

Oleh itu, Johor perlu terus gagah, maju membangun. Malaysia tidak mahu dan tidak mampu melihat Johor terjejas terutama dalam sektor pelaburan asing. Johor antara penyumbang penjanaan ekonomi negara.

Rakyat Johor perlukan peluang pekerjaan yang lebih banyak. Selari pula dengan bertambahnya bilangan lepasan pengajian tinggi yang terdapat di negeri itu sendiri di samping membuka ruang untuk diisi oleh anak-anak dari negeri-negeri lain. Bahawa zapin adalah manifestasi keserasian langkah dan keseragaman gerak serta alunan irama yang merangkumi santunan budi dan nilai kesepakatan bangsa.

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×