Rasa seronok bila berhijab – Fazura - Utusan Malaysia

Rasa seronok bila berhijab – Fazura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dinafikan, sejak pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin ini mengenakan hijab, ramai kalangan peminat dan masyarakat bersetuju, langkah itu menyerlahkan sisi manis dan pesonanya yang lebih memukau.

Ramai juga yang berkongsi rasa gembira dengan perubahan baik yang ditonjolkan oleh pelakon ini.

Barangkali, ia juga adalah kerana doa-doa baik yang telah dipanjatkan oleh orang ramai buat dirinya sejak sekian lama.

Sebenarnya, bagi mereka yang mengenali wanita ini, dia bukanlah seorang individu yang gemar mencanang perihal seperti itu.

Malah, pernah juga sebelum ini dia melahirkan rasa kurang selesa apabila ada yang bertanyakan perihal imej barunya itu lantaran menganggap jika seseorang wanita itu sudah terbuka hati mengenakan tudung dan menutup aurat, itu adalah pilihan mereka sendiri. Bukan kerana sesiapa pun.

Maka jelas, Fazura sangat tegas berpegang pada prinsip diri yang memperlihatkan bahawa urusan itu adalah sangat intimasi. Sesuatu yang hanya dia dan Tuhan sahaja berhak dan lebih tahu.
Justeru, apabila berpeluang bertemu dengan empunya diri baru-baru ini, kesempatan itu dilayangkan pada wanita ini.

Dalam riak wajah yang sentiasa terukir dengan senyuman, Fazura, mengaku, langkahnya mengenakan hijab di kepala berlaku dalam keadaan yang tak disengajakan.

“Semuanya terjadi secara tak sengaja. Sebelum ini, kalau ada yang perasan, saya akan mengenakan tudung bila bulan Ramadan. Ibarat cuba melatih dan membiasakan diri.

“Tidak sepenuhnya memakai tudung kerana ada juga beberapa kontrak kerja ketika itu yang tak sesuai dengan imej berhijab. Tetapi, di hati, sentiasa tersemat azam dan hasrat bahawa suatu hari nanti nak sangat pakai tudung betul-betul,” katanya.

Menurut Fazura lagi, sejak bertatih memakai tudung, hatinya seakan terpaut untuk meneruskan usaha murni itu.

“Entah mengapa, rasa seronok sangat bila mula pakai tudung dan jual. Rasa tak nak dah tanggal. Saya katakan pada diri dan doa, kalau betul niat saya ini, saya minta pada Allah agar terus ikhlaskan diri dan mudahkan urusan ini. Alhamdulillah, semuanya berlaku dengan sangat mudah.

“Imej baru dan urusan perniagaan tudung seolah-olah bergerak seiring dengan lancar dengan izinNya. Apa yang boleh saya katakan, ia telah merubah gaya hidup saya sepenuhnya secara drastik,” katanya.

MEMBUKA HATI ORANG LAIN
Siapa sangka juga, dengan usaha yang dilakukan pada awalnya adalah untuk mengikhlaskan diri sendiri, kemudiannya membuahkan nilai positiviti buat orang lain terutama dalam kalangan peminat-peminatnya.

Menurut anak kelahiran Pekan, Pahang ini, sungguh tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila dia menerima pelbagai respons yang baik menerusi penjualan tudung jenama Tudung Fazura yang mula diusahakannya tidak lama dulu.

“Banyak respons yang saya terima seiring dengan berkembangnya koleksi Tudung Fazura yang dihasilkan. Selain dapat membantu menjana sumber pendapatan buat ejen-ejen yang saya gelar sebagai besties, tak sangka juga ramai yang saya dengar turut berubah dan bertudung.

“Bukanlah kata disebabkan tudung saya maka mereka bertudung. Tetapi jika ia menjadi sebab untuk mereka terbuka hati secara tidak langsung, saya rasa gembira dan bersyukur sangat.

“Jujurnya saya sangat seronok bila dapat tahu mengenai hal ini dan mendoakan agar semua termasuk diri sendiri sentiasa istiqomah,”katanya.

Ditanya mengenai rahsia kejayaannya, kata Fazura, dia juga tidak begitu pasti mengenai hal ini secara spesifik.

Cuma, dia tidak menolak, material yang selesa dan harga berpatutan dalam berjualan memungkinkan fenomena itu berlaku.

“Memang saya tetapkan harga untuk sehelai Tudung Fazura RM27. Pada mulanya saya ingin letak harga RM25. Tetapi bila difikirkan, angka 27 itu mempunyai makna yang tersendiri dalam hidup saya.

“Pertamanya kerana ia adalah tarikh lahir saya dan kedua, ia juga merupakan tarikh Fattah melamar saya.

“Niat saya memang mahu semua orang dapat pakai tudung saya.

“Alhamdulillah, ternyata hajat saya itu ditunaikan kerana ke mana sahaja saya pergi sekarang, saya akan nampak orang pakai tudung saya,” ujarnya.

Katanya lagi, harga RM27 itu akan dikekalkan buat masa sekarang kerana dia belum mempunyai perancangan untuk mengeluarkan koleksi yang lebih mewah.

“InshaAllah kami akan kekal dengan harga itu. Ada juga yang minta pelbagai versi hijab seperti selendang dan tudung dari material sifon. Tetapi saya rasa saya belum bersedia untuk menghasilkan koleksi seperti itu lagi.

“Namun perancangan itu tidak mustahil. Mungkin pada masa hadapan saya akan fokus untuk hijab yang lebih eksklusif,” katanya.

ANAK DAN LAKONAN
Dalam pada itu, sempat bertanyakan empunya diri mengenai hasratnya untuk menambah bilangan ahli keluarga, Fazura dalam senyuman tidak menolak.

Katanya, seiring dengan perkembangan anaknya, Nur Fatima Aisya yang kini sudah menjengah ke usia tiga tahun, hasrat untuk menambah anak itu ada bermain di benaknya.

“Sebenarnya ramai juga yang bertanyakan hal ini kepada saya. Malah, memang saya ada perancangan untuk mendapatkan seorang lagi cahaya mata. Tapi saya baru sahaja kuruskan badan.

“Selepas melahirkan Fatima, banyak kali juga saya kena ‘body shaming’. Semuanya gara-gara saya mengalami perubahan bentuk badan. Wanita yang ada anak sahaja faham susahnya nak turunkan berat badan selepas bersalin,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun sudah mendapatkan semula bentuk badannya, Fazura masih mahu mendapatkan seorang lagi cahaya mata sementelah suaminya, pelakon, Fattah Amin turut menginginkannya.

“Insya-Allah saya dalam proses (hamil lagi) dan akan diusahakan untuk tambah bilangan anak. Suami (Fattah) pula tidak ada masalah dan ikut sahaja.

“Suami bersedia jika saya juga sudah bersedia. Sebab nanti yang kena berpantang dan jaga badan saya juga,” katanya berseloroh.

Menyentuh tentang perkembangan Fatima, pelakon jelita ini teruja melihat anak kesayangannya itu membesar dengan cepat.

Kata Fazura, Fatima kini menjadi semakin bijak gara-gara dikelilingi dengan orang dewasa.

“Fatima membesar dengan cepat. Disebabkan dia dikelilingi orang tua (dewasa), jadi kebijakan Fatima lain macam.

“Dia sudah mula belajar bercakap dan memanggil saya ‘mom’. Ada sekali Fatima panggil saya ‘mak’. Daddy (ayah) dia panggil ‘dada’. Muka memang ikut Fattah Amin tapi perangai ikut Nur Fazura,” katanya.

Sementara itu, Fazura mengakui kini lebih memfokus kepada bidang perniagaan berbanding kerjayanya sebagai pelakon dan penyanyi.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna dirinya sudah melupakan dunia seni dan bersedia untuk kembali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×