Pas mahu menjadi Abang Long, bukan UMNO - Shamsul Anuar -

Pas mahu menjadi Abang Long, bukan UMNO – Shamsul Anuar

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumpamakan UMNO seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh merupakan tuduhan yang berat.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menganggap tuduhan itu sebagai sesuatu yang luar biasa, sebaliknya berpendapat sikap Pas tidak pernah berubah.

“Apabila keluar pula tuduhan UMNO umpama itik patah kaki, ia bukan luar biasa. Kerana itulah cara dan sikap Pas sejak dulu.

“Saya cuma hairan. Dalam keadaan mahu UMNO bersama, pimpinan UMNO dilabelnya dengan pelbagai gelaran. Sikap beginilah menjadi antara penyebab Muafakat Nasional (MN) menjadi hambar,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Justeru, beliau meminta Pas supaya bermuhasabah dalam berpolitik.

“Eloklah Pas melihat diri sendiri. Pas memiliki ramai ilmuan dan ahli agama. Mungkin juga sebab MN tidak sebagaimana seperti diawal penubuhan berpunca dari sikap Pas sendiri.

“Apa yang jelas, Pas dilihat mahu mengajar UMNO. Kerana itu sebenarnya bukan UMNO yang mahu menjadi Abang Long. Sebaliknya Pas sendiri,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilaksanakan berasaskan Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor dan diperkenan pembubaran oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Justeru, tuduhan menyatakan agenda pemimpin kluster mahkamah dari UMNO dan dari mereka yang tidak berjawatan sangat tidak berasas serta tidak sepatutnya keluar daripada seorang ilmuan dan pemimpin utama parti yang kononnya berjuang untuk Islam.

“UMNO dan BN adalah sebuah parti yang bertanggungjawab dan menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat supaya rakyat diberikan hak memilih kerajaan baharu atas kehendak dan mandat rakyat sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menghormati keputusan Pas yang tidak akan berdiam diri dan mempunyai strategi balas sekiranya UMNO terus menerus melakukan PRN.

“Kita menghormati pendirian Presiden Pas dan sesuai dengan amalan demokrasi kita tidak boleh menghalangnya. Lakukanlah jika itu pendirian Pas. Malah sekiranya Pas ingin lakukannya sekarang sesiapa pun tidak boleh menghalangnya. Itu juga hak Pas,” katanya.

Beliau juga berkata, tiada siapa menghalang Pas untuk terus mendukung Perikatan Nasional (PN) dan menghormati pendirian Pas yang menyatakan BN sudah tidak relevan.

“Itu hak Presiden Pas untuk berkata begitu. Bagaimanapun sama ada BN masih relevan atau tidak, rakyat yang menentukannya. Bagi UMNO dan BN pasti akan terus berusaha memastikan BN kembali ke kedudukan asalnya.

BN menang 21 kerusi di PRN Melaka. Situasi ini boleh menjadi ukuran dan gambaran BN masih relevan atau tidak. Namun BN tidak bangga diri. BN akan terus lipatgandakan usaha bekerja untuk negara dan rakyat.

“Kemenangan di Melaka adalah kehendak rakyat dan BN terus bertekad membalas budi rakyat dengan bekerja lebih kuat untuk rakyat dan negeri Melaka,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan PN merupakan gabungan yang majmuk tetapi tidak wajar untuk mengatakan sebaliknya kepada BN, kerana beliau menganggap BN sudah menggabungkan parti pelbagai kaum. 

“Realitinya BN lebih berpengalaman daripada PN dalam soal ini. Cuma salah kalau Pas berkata BN tidak berasaskan kemajmukan. Maka, PN janganlah mendabik dada kononnya hanya Pas sahaja yang menganjurkan perpaduan dan parti majmuk.

“Kalau benar hanya Pas yang anjurkan perpaduan jemputlah juga Amanah bersama dalam PN. Usahlah bagi alasan tidak boleh menerima Amanah kerana parti itu masih bersama DAP sedangkan realitinya dalam sejarah politik Malaysia, Pas pernah bersama dan tidur sebantal dengan DAP.

“Yang tidak pernah bersama DAP hanyalah UMNO dan BN. Ini hakikat dan realiti,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×