JOHOR BAHRU: Tan Sri Abdul Hadi Awang berterusan menyalahkan pimpinan UMNO sebagai punca utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan membuktikan Presiden Pas itu tidak memahami keperluan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kedangkalan Ahli Parlimen Marang itu menyebabkan beliau terus mengkritik UMNO berhubung PRN Johor.
“Saya fikir tahap pemikiran (Abdul) Hadi tidak layak bagi seorang presiden parti kedua terbesar di Malaysia. Beliau tidak faham proses demokrasi sebenar apabila terus menyalahkan UMNO kerana PRN Johor.
“Sebagai seorang presiden parti dan orang lama dalam politik, Hadi sepatutnya faham apabila kerajaan yang hanya ada kelebihan satu kerusi itu bukan kerajaan yang stabil, mengganggu proses demokrasi serta membantut perancangan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan berkata, PRN Johor tercetus akibat daripada campur tangan dan strategi pimpinan UMNO yang mempunyai kes mahkamah dan kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Mengulas lanjut, Nur Jazlan memberitahu, PRN Johor yang akan diadakan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan ‘kluster mahkamah’.
Katanya, dakwaan ‘kluster mahkamah’ yang mahu meneruskan cengkaman kuasa kerana pemimpin yang dikaitkan tidak berada dalam kerajaan kini juga adalah tidak benar.
“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak tidak berada dalam kerajaan pada hari ini. PRN ini hanya diadakan demi memastikan demokrasi di negeri ini dikembalikan kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baru yang stabil,” ujarnya.
Nur Jazlan turut menempelak Presiden Pas itu yang disifatkan sudah jauh melalut selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor menolak untuk bersama mereka pada PRN nanti.
Katanya, Pas hanya boleh menyalahkan diri mereka sendiri setelah kemelut itu tercetus berpunca daripada sikap Pas sendiri yang tidak boleh dipercayai dan suka main ‘kayu tiga’.
Tambahnya, UMNO hanya mengambil tindakan lebih bijak untuk tidak mahu bersama parti itu kerana sudah serik dengan apa yang berlaku terutama ketika berlangsungnya PRN Melaka pada November lalu.
“Saya nasihatkan Hadi supaya bermuhasabah, cermin diri dan segera buat ‘taubat politik’ selepas segala masalah yang menghimpit diri serta partinya. Jangan terus menerus menuding jari dan salahkan orang lain bila diri sendiri tersadung.
“Sebagai pemimpin nombor satu parti yang kononnya memperjuangkan Islam, Hadi patut lebih redha menerima ketetapan Tuhan dan bukannya merapu,” katanya.- UTUSAN











