Perumahan tanah tinggi berisiko mendap, runtuh - Utusan Malaysia

Perumahan tanah tinggi berisiko mendap, runtuh

KEADAAN bumbung tapak letak kenderaan Giant Shah Alam yang rosak akibat hujan lebat dan angin kencang di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kawasan kediaman terutama yang dibina di kawasan bertebing tinggi di negeri ini berisiko berdepan masalah tanah runtuh dan mendap.

Risiko tersebut semakin jelas apabila tanah runtuh atau mendap kerap dilaporkan berlaku dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini sejak 2019 yang membabitkan kawasan perumahan dan perniagaan terutama jika berlaku hujan lebat berterusan.

Terbaharu, kejadian tanah mendap di deretan kedai di Jalan LP1A/2 Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selasa lalu yang klip video `menakutkan’ terus tular dalam media sosial.

Mengakui perkara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian tanah runtuh di Selangor mencatatkan peningkatan apabila sebanyak 77 kes diterima sejak 2019 hingga tahun lalu.

Daripada jumlah itu, menurut beliau, kejadian paling tinggi direkodkan adalah pada tahun lalu iaitu sebanyak 36 kes berbanding tahun sebelumnya hanya 20 kes.

“Bagi 2019 pula, sebanyak 19 kes dilaporkan dan dua adalah kejadian yang berlaku awal tahun ini. Bagaimanapun, semua kejadian yang berlaku tiada kemalangan jiwa dan hanya dua orang yang cedera manakala 17 lagi diselamatkan.

“Mengikut rekod, sebanyak 35 kes dilaporkan berlaku pada waktu siang manakala 43 kejadian tanah runtuh lagi terjadi pada sebelah malam,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Norazam memberitahu, kawasan bukit atau cerun yang dipotong untuk diratakan dijadikan pembangunan berpotensi berlakunya pergerakan tanah.

“Namun semua itu tergantung kepada cuaca. Kadangkala, ia mengambil masa yang lama sebelum berlaku runtuhan atau mendapan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata, pihaknya masih mengkaji dan memantau kejadian tanah mendap di Jalan LP1A/2 Lestari Perdana kerana potensi tanah runtuh masih boleh berlaku.

“Ini kerana masih berlaku pergerakan tanah. Sebagai langkah keselamatan, kontrak yang dilantik MBSJ telah memulakan kerja-kerja pemasangan cerucuk besi di kawasan terbabit,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×