Erat hubungan Keluarga Malaysia - Utusan Malaysia

Erat hubungan Keluarga Malaysia

MASYARAKAT Cina mementingkan semangat kekeluargaan dan keharmonian kerana percaya berkumpul dan makan bersama akan mendorongnya terus berkekalan. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN Baharu Cina disambut secara besar-besaran oleh masyarakat itu di seluruh dunia. Ia menandakan bermulanya tahun baharu mengikut kalendar lunar. Tahun Baharu Cina melambangkan titik permulaan dalam nasib dan kehidupan.

Sebelum tahun baharu bermula, sanak saudara yang jauh pulang untuk berkumpul. Rumah dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun baharu. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baharu.

Masyarakat Cina percaya bunyi mercun yang dibakar itu dapat menghalau puaka. Rumah-rumah dihiasi buah limau sebagai simbol murah rezeki selain bunga dan pokok limau.

Tahun Baharu Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga meraikan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut dan limau mandarin.

Golongan muda pula menziarahi golongan tua dan menerima angpau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum berkahwin.

Pada hari-hari sebelum ke­tibaan Tahun Baharu Cina, masyarakat Cina mem­bersihkan rumah secara menyeluruh kerana mereka percaya ia dapat menghalau nasib malang dan musibah yang menimpa serta menjemput nasib baik.

Penyapu dan pengumpul habuk disimpan pada malam sebelum tahun baharu dan hari pertama kerana percaya nasib baik tidak boleh disapu keluar.

Ada yang mengecat rumah, pintu dan sisi tingkap dengan warna merah. Rumah dihiasi potongan kertas yang ditulis perkataan mengucap kebahagiaan dan kemakmuran dalam bahasa Cina.

Acara terbesar pada malam Tahun Baharu Cina ialah makan besar. Hidangan yang terdiri daripada ikan diletakkan di atas meja makan untuk tujuan paparan sempena jamuan ini.

Di China utara, mereka menghidangkan ladu. Ladu melambangkan kemewahan kerana bentuknya berupa jongkong emas.

Makan besar diadakan pada malam sebelum tahun baharu bertujuan mengumpulkan keluarga dan meraikannya ketika semua ahli keluarga, sama ada yang tinggal di rumah atau jauh dari kam­pung halaman bertemu untuk perayaan. Jamuan ini biasanya diadakan di rumah yang didiami anggota keluarga paling tua.

Hidangan tidak dimakan sampai habis, sebaliknya baki disimpan semalaman yang bermaksud orang Cina berharap semoga ada lebihan setiap tahun, yakni mereka berharap ada rezeki lebih setiap tahun.

Konsep meja makan bulat merupakan salah satu perkara penting bagi menjalin ikatan kekeluargaan di mana mereka boleh berinteraksi bersama seluruh ahli keluarga secara berhadapan dan tiada diskriminasi.

Yee sang merupakan makanan budaya yang hanya diadakan pada Tahun Baru Cina. Kandungannya terdiri daripada bahan-bahan seperti ikan salmon mentah, hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah, lobak putih, bijan, kekacang yang ditumbuk, halia, limau bali, jus limau, keropok rangup, madu, sos dan sirap.

TUAH

Dalam bahasa Cina, per­kataan yee bermaksud ikan dan sang bermaksud mentah serta acara yang sering dinanti-nantikan ialah menggaul kesemua ramuan yee sang menggunakan penyepit oleh mereka yang berkumpul di meja bulat.

Menurut kepercayaan mereka, semakin tinggi yee sang diangkat dan digaul, maka lebih banyak kedamaian yang dinikmati sepanjang tahun.

Angpau bagi ahli terdekat dalam keluarga kadang-kadang diberi sewaktu makan besar. Sampul merah ini biasanya mengandungi duit dalam bilangan nombor tertentu yang mencerminkan tuah dan kehormatan.

Angpau merupakan sim­bolik penting dalam perayaan Tahun Baharu Cina. Ia ada persamaan dengan masyarakat Muslim iaitu tuntutan berse­dekah kepada kanak-kanak dan mereka yang lebih memerlukan iaitu orang tua, miskin serta orang kurang upaya (OKU).

Masyarakat Cina percaya beberapa larangan perlu diamalkan. Antaranya, mengambil ubat pada hari pertama tahun lunar bermakna mereka akan mengalami kemudaratan kesakitan bagi tahun itu.

Bubur tidak boleh dimakan kerana dianggap hanya orang miskin memakannya untuk sarapan. Penganut Buddha tidak mahu memulakan tahun baharu dengan makanan yang ‘miskin’ kerana ini dianggap petanda tidak baik.

Masyarakat Cina tidak akan mencuci pakaian pada hari pertama dan kedua perayaan, rambut tidak boleh dibasuh pada hari pertama tahun lunar.

Mereka melihat perkara itu tidak baik, seolah-olah mencuci nasib seseorang pada awal tahun baharu. Begitu juga mereka tidak boleh menyapu rumah kerana ia bermakna menyapu keluar kekayaan.

Saya melihat Tahun Baharu Cina tidak ada kaitan dengan soal keagamaan, melainkan aspek kebudayaan dan adat yang diamalkan oleh masyarakat Cina.

Saya yakin sambutan Tahun Baharu Cina nanti akan turut diraikan oleh orang Islam kerana perayaan ini sebenarnya bukan berbentuk keagamaan.

Saya telah memberi pencerahan berkaitan Tahun Baharu Cina dari sudut sejarah, kebudayaan, adat dan kepercayaan masyarakat Cina agar mudah difahami oleh semua kaum di negara ini.

Masyarakat Cina amat mementingkan semangat kekeluargaan dan keharmonian. Tujuan berkumpul dan makan bersama akan mendorong mereka kekal selamanya.

Apa yang penting, aktiviti bersama keluarga ini dipelihara dengan menjalinkan hubungan rapat dan utuh. Sama juga masyarakat Muslim yang mengutamakan keluarga dan sentiasa melakukan aktiviti kekeluargaan.

Kepelbagaian merupakan unsur istimewa terdapat di negara ini dan kita harus menerima kepelbagaian bangsa serta agama supaya dapat menghormati, memahami dan hidup dalam aman damai.

Diharapkan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini akan merapatkan hubungan kita dalam sebuah Keluarga Malaysia yang besar.

Semoga persahabatan dan hubungan kita akan menjadi lebih baik meskipun berbeza agama, budaya dan bangsa, tapi kita tetap sehati sejiwa.

DATUK Seri Dr. Wee Jeck Seng ialah Ahli Parlimen Tanjung Piai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×