LONDON: Penyanyi bertaraf legenda, Elton John disahkan positif wabak Covid-19.
Lapor BBC News, Elton yang telah lengkap menerima tiga dos suntikan vaksin termasuk dos penggalak dikhabarkan hanya mengalami gejala biasa.
Perkembangan tersebut dikongsikan di Instagramnya (IG), baru-baru ini.
Ekoran perkara tersebut, penyanyi berusia 74 tahun itu terpaksa menangguhkan dua konsertnya yang sepatutnya diadakan di Texas, Amerika Syarikat.
“Perkara ini amat mengecewakan. Saya mohon maaf kepada mereka yang terjejas dengan penangguhan (konsert) ini.
“Saya ingin pastikan diri dan mereka bersama saya selamat,” tulisnya di IG.
Beliau bagaimanapun memberitahu bahawa peminat akan dimaklumkan tentang tarikh baharu bagi konsert berkenaan.
Pada masa yang sama, seorang lagi bintang sensasi kelahiran United Kingdom, Adele turut terpaksa membatalkan persembahannya di AS gara-gara penularan wabak berkenaan yang semakin membimbangkan.











