TIMBUL kembali kecenderungan berdemonstrasi. Kali ini kononnya ekoran tidak berpuas hati terhadap kendalian kes melibatkan seorang pegawai tertinggi di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Rancak persiapan diatur. Tahniah kepada pihak yang bertanggunjawab tentang keselamatan kerana mengambil langkah awal membendung keadaan. Baguslah, sememangnya soal keselamatan awam tiada kompromi.
Persoalannya, apakah tindakan berdemonstrasi itu selari dengan aspirasi majoriti rakyat? Ramai yang berkata tidak! Walaupun amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa ditolak dan dibenci rakyat, mereka tetap rasional dan tahu menghormati kedaulatan undang-undang negara.
Mereka berpegang pada kaedah dan cara sedia ada bagi menyuarakan rungutan dan kemusykilan. Rakyat mahu tindakan tegas diambil ke atas sesiapa sahaja yang didapati bersalah. Tetapi mereka tahu, ‘jalan’ bukan tempat untuk mencari penyelesaian. Masih banyak cara yang boleh dilakukan selain daripada hanya mencemari suasana dan menyesakkan perasaan.
Ada ruang untuk terus menyuarakan pandangan secara akademik dan terbuka. Pun ada peluang untuk meluah maklum, menyerah memorandum kepada pihak-pihak berkenaan. Kalangan mereka yang terbabit mengendalikan undang-undang terdiri daripada golongan profesional dan berpengalaman. Mereka bertugas di bawah mandat peraturan yang tegas, patuh menjunjung kedaulatan. Jadi, berilah peluang kepada mereka mempertimbang seadil-adil keputusan.
Berdemonstrasi, jangan ada agenda terselindung di sebalik semangat yang kononnya semarak menggunung. Pengalaman mengajar rakyat mudah memahami licik haluan, palsunya tujuan. Sebelum ini sudah berlalu bermacam desakan, demonstrasi dan tunjuk perasaan di jalanan. Tiada apa yang menyumbang selain hanya mengakibatkan sebuah kerajaan yang stabil tumbang kecundang. Dan sehingga kini, kesal resah terus terkesan.
Cukuplah mengheret rakyat ke jalanan. Sekadar mempermainkan emosi tidak membawa erti selain hanya mengejar mimpi yang tidak pasti. Rakyat mahu sesuatu yang berbentuk realiti, bukan kepalsuan. Segala bentuk tadbir urus dan sebarang dasar yang dilaksanakan perlu menelusuri paksi struktur dan acuan kenegaraan sedia ada.
Jangan menganggap rakyat mudah lupa tentang kes-kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang masih berselerak dan tinggal di peringkat ‘tanda tanya.’ Dalam persekitaran bumi Malaysia yang tidak begitu luas ini, rakyat mudah mengenal dan tidak sukar untuk mengaitkan mereka, termasuk yang berada di sebalik penganjuran mana-mana demonstrasi jalanan diadakan dengan kes-kes dimaksudkan.
KEMARUK
Diperkatakan umum tentang akan berlangsung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi. Juga, semakin kencang disebut tentang akan berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selewat-lewatnya penghujung tahun ini. Maka, dibimbangi ada pihak-pihak yang berasa terdesak dengan trend berkurangnya sambutan dan sokongan terhadap parti-parti tertentu membuatkan mereka terbabit sanggup melakukan apa sahaja tindakan termasuk kemaruk berdemonstrasi.
Rata-rata rakyat sedang berusaha memulihkan kehidupan. Mereka cuba keluar daripada kancah kesusahan ekoran penularan pandemik Coronavirus (Covid-19) sejak dua tahun lalu. Terdapat pula sebahagian rakyat yang sedang bertarung menerus kehidupan selepas mengalami bencana banjir yang teruk melanda sebulan, dua lalu.
Rakyat sepatutnya dibantu dan dipersegarkan semangat dan emosi, bukan diganggu dengan demonstrasi dan memanipulasi pelbagai isu yang sengaja diperbesar-besarkan. Tidak wajar bagi mana-mana pihak bertindak menangguk di air keruh. Gunalah jalan lebih selamat dan terhormat.
Paling berharga dan lebih dihormati ialah pihak yang mampu menampilkan kekuatan sendiri, yakni bukan dengan cara meraih kemenangan semata-mata bersandarkan kelemahan pihak lawan atau musuh. Lebih dikesalkan pula apabila pihak-pihak tertentu itu hanya mampu memburuk-burukkan lawan, namun gagal melangsai janji dan ternyata tidak berupaya melaksanakan tanggungjawab dan amanah apabila mandat sudah diberikan.
Negara juga sedang dalam usaha memulihkan ekonomi. Salah satu sasaran utama ialah dengan menggamit lebih banyak pelaburan antarabangsa ke negara ini. Para pelabur selalunya mengidamkan negara yang diyakini selamat serta stabil baik dari segi tadbir urus kerajaan dan suasana politik yang ada.
Pelaburan menjana ekonomi negara selain membantu mengurangkan pengangguran. Negara perlu dilihat bersih dan bebas daripada sebarang kekacauan dan gangguan. Impak pembinaan imej yang baik dan maju makmur di mata dunia akan menghasilkan manfaat besar kepada negara.
Malah, ada suara-suara daripada rakyat negara luar yang menganggap sebarang demonstrasi jalanan di Malaysia hanya sengaja mengeruhkan suasana. Mereka berkata, “malang bagi rakyat Malaysia yang sedang menghuni di sebuah negara yang makmur damai cuba mencemari sesuatu yang tidak perlu pun dikotori.”
Harga bagi sebuah keyakinan tidak mampu dijual-beli. Keyakinan perlu teguh terpelihara dan dikekalkan. Sekali tercemar, sukar untuk menebusnya kembali.
Bertutur biar berhemat, meluah biar bertempat.
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.










