PETALING JAYA: Pemberian vaksin kepada golongan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah bertujuan mengelakkan keadaan jangkitan lebih kritikal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan jangkitan wabak dalam kalangan kanak-kanak di luar negara menyaksikan peningkatan drastik sehingga terpaksa dirawat di hospital.
Justeru, situasi seperti itu yang mesti dielakkan sebelum lebih ramai orang awam terutama kanak-kanak negara termasuk dalam kategori empat hingga lima.
“Di Amerika Syarikat dan United Kingdom kadar kemasukan kanak-kanak sudah meningkat empat kali ganda ke hospital.
“Sekarang pun kluster sekolah semakin bertambah. Jadi, saya percaya, vaksin adalah ikhtiar pencegahan jangkitan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau menjawab laporan akhbar ini semalam yang memetik pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar, mendakwa tiada bukti jelas menunjukkan ada keperluan vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun.
Kementerian Kesihatan akan melaksanakan pemberian vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BionNTech kepada kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun bermula Februari ini.
Malaysia mempunyai kira-kira 5.9 juta kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun dengan keutamaan adalah kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan berisiko dijangkiti Covid-19.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kanak-kanak berisiko mengalami masalah sindrom keradangan multisistem pada kanak-kanak (MIS-C) jika tidak mendapat suntikan vaksin Covid-19.
Jelasnya, MIS-C adalah penyakit keradangan di bahagian tubuh termasuk jantung, paru-paru, ginjal, otak, kulit mata atau organ pencernaan disebabkan jangkitan pandemik Covid-19.
Mengakui akan berlaku kesan sampingan selepas divaksinasi, kata beliau, vaksin berkenaan sama seperti vaksin-vaksin lain termasuk polio namun tidak sampai ke tahap membawa maut.
“Negara luar sudah teruk akibat varian Omicron yang menyerang ramai rakyatnya termasuk kanak-kanak. Adakah kita perlu tunggu keadaan itu berlaku atau mencegahnya lebih awal? Dari perspektif kesihatan awam sendiri, saya memilih untuk mencegah,” katanya. -UTUSAN










