KUALA LUMPUR: Kebanyakan isi rumah dijangka terus bertahan menghadapi impak pandemik Covid-19, dengan segelintir berhadapan peningkatan tekanan kewangan.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), hutang isi rumah dalam kalangan peminjam dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan paling banyak meningkat pada separuh pertama 2020, sementara prospek pendapatan golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah lebih tidak menentu.
“Leveraj yang lebih tinggi disumbangkan oleh peningkatan pinjaman untuk pembelian rumah pada awal tahun dan Jun selepas pelancaran semula Kempen Pemilikan Rumah.
“Walaupun jangkaan pasaran buruh akan pulih, peminjam dengan pelbagai pendapatan dan atau bekerja dalam sektor yang terjejas dilihat akan terus berhadapan dengan cabaran,” katanya dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan semalam.
Menurut BNM, pada tahap agregat, kebanyakan isi rumah dijangka terus bertahan di sebalik impak pandemik terhadap pendapatan isi rumah dan prospek pengambilan kerja.
Dalam laporan tersebut, bank pusat itu berkata, isi rumah akan terus mengekalkan tahap aset kewangan dan aset kewangan cair yang selesa pada 2.2 kali dan 1.4 kali hutang masing-masing, memandangkan bantuan yang diberikan kerajaan dan BNM memberikan lebih tunai kepada isi rumah.
“Deposit isi rumah secara sepadan mencatatkan pertumbuhan tahunan kukuh pada tujuh peratus setakat akhir Jun 2020 sementara pertumbuhan hutang isi rumah sederhana kepada empat peratus di tengah-tengah kawalan pergerakan dan pembelian budi bicara yang rendah disebabkan isi rumah yang lebih berhati-hati.
“Ini dapat dilihat melalui pertumbuhan pinjaman yang lebih rendah untuk pembelian hartanah kediaman dan kenderaan bermotor pada separuh pertama 2020,” katanya.
Walaupun pertumbuhan hutang yang perlahan, nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat melebihi puncaknya pada 2015, iaitu 86.9 peratus kepada 87.5 peratus pada Jun, disebabkan penyusutan KDNK nominal pada suku kedua.
Nisbah ini dijangka berkurang memandangkan aktiviti ekonomi terus meningkat dan isi rumah beransur-ansur meneruskan pembayaran balik pinjaman.
“Meskipun keadaan pasaran buruh dijangka bertambah baik selepas ini, tetapi bagi peminjam yang terkesan dengan perubahan pendapatan dan atau bekerja dalam sektor yang menerima impak besar, akan terus berhadapan cabaran.
“Bagi peminjam ini, bantuan bersasar yang dilanjutkan sehingga suku pertama 2021 akan menyediakan kelegaan kewangan sementara.
“Inisiatif kerajaan seperti program subsidi upah, peningkatan dan pembelajaran semula kemahiran akan mampu menambah baik prospek pekerjaan dan pendapatan masa hadapan sekali gus menyokong kemudahan hutang,” kata BNM dalam laporan tersebut. – UTUSAN










