LANGKAWI: Kekurangan bekalan coklat import di pulau peranginan ini dijangka kembali pulih menjelang cuti sekolah sempena Tahun Baharu Cina pada 1 Februari ini.
Pengurus premis Kawasan Kompleks Haji Ismail Group (HIG), Mahmuzi Osman berkata, walaupun bekalan coklat yang diterima tidak mencukupi untuk menampung permintaan, namun jumlahnya meningkat sejak Disember berbanding November tahun lalu.
Menurutnya, pembekal coklat di Singapura adalah satu-satunya pemegang lesen mengedarkan coklat import.
Katanya, pada awal pembukaan semula pulau ini kepada pelancong September tahun lalu, HIG telah membuat tempahan 2,000 karton coklat import, namun hanya menerima 100 karton kerana tiada bekalan.
“Di luar negara pun ada kilang yang tidak beroperasi disebabkan pandemik Covid-19. Macam kilang coklat jenama Daim di Belgium juga tidak beroperasi sebelum ini.
“Tetapi sekarang kita pesan 2,000 karton coklat Daim, kita terima 1,500 karton, jadi menjelang Tahun Baharu Cina, akan penuh semula coklat di premis HIG,” katanya ketika ditemui di Kompleks HIG dekat Kuah, semalam.
Dalam pada itu, jelasnya, bekalan coklat import yang tidak mencukupi itu menyebabkan pihaknya mengenakan had pembelian kepada pelanggan.
“Buat masa sekarang, kita hadkan pembelian sesetengah coklat seperti Daim dan Pepero kepada dua pek untuk setiap pelanggan.
“Ketetapan itu dibuat di premis HIG bagi memastikan lebih ramai pelanggan dapat membeli coklat tersebut,” ujarnya. – UTUSAN











