PETALING JAYA: Kerenah birokrasi dan kelemahan sistem pengambilan pekerja asing adalah faktor utama pendatang asing tanpa izin (PATI) bolos ke negara ini menerusi laluan tikus demi mencari peluang pekerjaan untuk mendapatkan rezeki menyara kehidupan.
Ini kerana proses permohonan kemasukan pekerja asing dilihat terlalu menyusahkan sehingga membuka ruang kepada tekong menawarkan perkhidmatan kepada majikan untuk membawa masuk PATI dengan proses mudah.
Selain itu, kekurangan pekerja asing negara ini dilihat meruncing sejurus pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila kini terdapat hanya 900,000 pekerja asing berbanding dua juta orang sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Hamid berkata, PATI tidak akan masuk ke negara ini sekiranya tiada tekong dan orang tengah yang terlibat membawa mereka melalui lorong tikus.
Katanya, terdapat majikan terdesak dan amat memerlukan segera pekerja untuk menampung produktiviti perniagaan dan menyebabkan mereka menggunakan laluan ‘belakang’ bagi mendapatkan tenaga kerja asing.
“Kekurangan pekerja asing kini tidak boleh dielakkan dan mereka amat diperlukan untuk tampung bilangan tenaga kerja pelbagai sektor. Namun akibat proses membawa masuk terlalu sukar, menyebabkan ada pihak tertentu mengambil jalan mudah mengambil PATI.
“Perkara itu secara langsung membuka ruang kepada rakyat asing untuk masuk secara haram. Selagi ada kekangan proses permohonan warga asing, selagi itulah ada ruang kepada pembolosan PATI,” katanya.
Semalam, dua maut manakala enam disyaki hilang selepas bot pancung membawa 27 penumpang dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia karam di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor.
Selain itu, Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi berkata, masalah sistem MyTravelPass menyebabkan ramai warga asing yang pulang ke tanah air ketika PKP terkandas dan tidak dapat pulang ke negara ini untuk kembali bekerja.
Katanya, perkara itu sekali gus menyebabkan jumlah tenaga kerja merundum kepada 900,000 berbanding dua juta sebelum ini dan secara langsung menjejaskan produktivit pengeluaran sektor kritikal seperti perkilangan, perladangan dan pertanian serta perkhidmatan.
“Maka kerajaan kena perbaiki semula sistem pengambilan pekerja asing dan permudahkan,” katanya. – UTUSAN











