STORM, wira penyelamat tanah runtuh - Utusan Malaysia

STORM, wira penyelamat tanah runtuh

SEBAHAGIAN anggota STORM yang terlibat dalam misi penyelamatan di beberapa lokasi tanah runtuh yang berlaku di Negeri Sembilan baru-baru ini. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hujan berterusan, bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini turut mengakibatkan berlakunya banyak insiden tanah runtuh.

Apabila menyebut mengenainya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) merupakan pasukan yang sering digerakkan ke lokasi bencana untuk operasi penyelamatan berisiko.

Penolong Pengarah Bahagian Latihan JBPM Negeri Sembilan, Komander Storm JBPM negeri, Mohd. Hafiz Mohd. Sharif berkata, kebanyakan kes yang menggunakan khidmat unit STORM adalah berkaitan penyelamatan mangsa yang berada di gunung.

Oleh itu, katanya, mereka sering membuat latihan pembiasaan penyelamatan gunung.

“Bagi ujian fizikal anggota akan diuji melalui individual physical proficiency test (IPPT) untuk memastikan kecergasan berada dalam tahap cemerlang setiap masa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pasukan ini dilengkapi kekuatan seramai 24 pegawai dan anggota dalam unit STORM di Negeri Sembilan yang bersiap sedia sekiranya berlaku kejadian bencana alam seperti tanah runtuh.

Penyelia STORM JBPM Negeri Sembilan, Pegawai Bomba Kanan II, Khairuddin Mohammad, 58, menjelaskan, operasi menyelamatkan mangsa di kawasan runtuhan agak berisiko memandangkan khuatir dengan situasi luar jangka yang berlaku ketika penyelamatan.

Berkongsi pengalaman menyelamatkan dua kakitangan Telekom Malaysia (TM) dan dua petugas penjaga keselamatan yang terkandas di Stesen Pemancar, Gunung Telapak Buruk, Jelebu, baru-baru ini, katanya tugasan itu memang mencabar.

“Mencabar sebab laluan pendakian itu banyak berlaku runtuhan. Ada pokok tumbang dan tanah berselut yang menyukarkan operasi penyelamatan. Kami terpaksa berjalan sejauh 9.8 kilometer dengan keadaan jalan yang kurang baik dan cuaca hujan,” katanya.

Sepanjang misi menyelamat mangsa itu, Khairuddin memberitahu, mereka kerisauan sekiranya berlaku runtuhan sewaktu operasi tersebut berlangsung.

“Sepanjang perjalanan ke lokasi mangsa terkandas, saya kerap mengingatkan anggota agar lebih berwaspada dan berhati-hati kerana bimbang berlaku lagi runtuhan.

“Jika sebelum ini, kami banyak ditugaskan di lokasi runtuhan namun lokasi di Gunung Telapak Buruk itu tidak boleh dilalui kenderaan kerana banyak pokok tumbang dan tanah runtuh sepanjang perjalanan ke lokasi,” katanya.

Cerita Khairuddin lagi sepanjang misi penyelamat itu, dia dan anggota lain hanya berehat sekali sahaja kerana khuatir cuaca kurang baik ketika dalam perjalanan.

“Saya mengingatkan anak-anak buah untuk berjalan cepat sebab kami tidak mahu terkandas dalam kawasan runtuhan itu,” katanya.

Bagaimanapun, dalam perjalanan itu, Khairuddin dimaklumkan, pihak udara JBPM mahu membantu mengambil mangsa yang terkandas di telapak buruk tersebut.

Sehubungan itu, dia mengarahkan anggota untuk segera berjalan keluar kerana khuatir hari hampir gelap yang mana ia akan menyukarkan lagi perjalanan keluar dari kawasan berkenaan.

TANAH RUNTUH SETIAP 50 METER
Tanah runtuh yang berlaku di setiap 50 meter di lokasi itu antara cabaran paling menduga anggota keselamatan Bomba (KB) 19, Mohd. Fazrin Zahirin, 25.

Katanya, disebabkan situasi itu, dia mengambil masa selama sembilan jam untuk tiba di lokasi penyelamat.

“Cabaran menjadi agak sukar apabila selut paras pinggang dan terdapat pergerakan tanah masih ada termasuk hujan turun,” katanya lagi.

Mohd. Fazrin bersama 11 anggota lain turut membawa barangan seperti tali, parang dan peralatan makanan bagi misi penyelamatan mangsa.

Sementara itu bagi anggota, Pegawai Bomba Kanan II KUP, Muhamad Faidzul Pangat, 33, pengalaman terlibat dalam operasi penyelamat 19 orang mangsa yang terkandas akibat tanah runtuh di Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Hulu Langat antara kekal dalam ingatannya.

“Apabila kami sampai di lokasi, keadaan agak sukar kerana berlaku beberapa runtuhan tanah di tebing.

“Kami perlu melalui laluan pendakian diselaputi lumpur dan tanah berselut serta pokok tumbang. Runtuhan sepanjang perjalanan bagi menyelamatkan kira-kira 19 mangsa itu ibarat runtuhan salji.

“Kami berjalan kaki sejauh 15 kilometer selama sembilan jam sambil membawa peralatan gergaji berantai dan tali bagi operasi penyelamatan serta kami turut membawa makanan dengan beg seberat 35 kilogram,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×