SEREMBAN: Mendirikan struktur papan iklan (billboard) dengan menceroboh tanah berhampiran laluan lebuh raya antara tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan segelintir syarikat pengiklanan di negara ini.
Lebih mendukacitakan, struktur binaan iklan tersebut tidak pula mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) malah tidak membayar pula cukai taksiran selain tidak mendapatkan permit iklan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Mas Midyawan Yahya berkata, dalam satu operasi yang dijalankan pihaknya di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dari Plaza Tol Ainsdale ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban baru-baru ini, sebanyak 26 notis iklan tidak berlesen telah ditampal pada billboard yang terlibat.
“Kami tampal notis dan selepas itu jika tiada tindakan daripada syarikat tersebut kami akan kompaun. Mereka perlu turunkan iklan dengan struktur itu sekali.
“Notis akan ditampalkan dahulu kerana kami tidak boleh menurunkan iklan dan merobohkan struktur kerana kosnya tinggi, jadi kami akan tampal notis dan kemudian barulah dikompaun. Tahun lalu sudah banyak syarikat pengiklan dikenakan kompaun namun makin lama iklan-iklan ini dilihat makin bertambah,” katanya di sini semalam.
Tambah beliau, struktur papan iklan haram itu juga didapati kebanyakannya tidak menepati standard dan boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai termasuk pengguna lebuh raya.
“Struktur binaan papan iklan mesti standard, maksudnya mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada jurutera profesional. Banyak kali terjadi sebelum ini struktur papan iklan itu roboh dan melayang dan mengenai bumbung rumah selain masuk ke dalam lebuh raya,” kata beliau.
Menurut Mas Midyawan lagi, bagi mendirikan struktur tapak iklan, syarikat pengiklanan terlibat juga sebenarnya perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan negeri dengan membayar permit khas kegunaan tanah tersebut.
Mengesahkan perkara itu, menurut seorang sumber kepada Utusan Malaysia, sekiranya papan iklan itu didirikan di atas tanah berstatus tanah pertanian, syarikat pengiklanan terlibat perlulah memohon permit khas daripada pejabat daerah dan tanah.
“Ada juga berlaku pemilik tanah itu sendiri tidak mengetahui terdapat binaan papan iklan di tanah milik mereka. Dalam penguatkuasaan yang dijalankan, sering kali berlaku situasi, tidak dapat diketahui siapakah yang memacak billboard tersebut.
“Sekiranya terdapat nama dan nombor syarikat di papan iklan tersebut, pejabat daerah dan tanah akan mencari pemilik papan iklan tersebut dan jika tiada itu sedikit menyukarkan bagi melakukan proses pemutihan. Jika struktur yang mudah dirobohkan serta dilihat berbahaya kepada orang ramai, tindakan perobohan akan diambil.
“Tetapi ada juga yang tidak dapat dirobohkan kerana untuk merobohkan struktur papan iklan ini melibatkan kos yang agak tinggi juga. Sekiranya syarikat terlibat dapat dikenal pasti, mereka akan diminta untuk mengemukakan kepada pejabat tanah permohonan permit khas sekiranya tanah tersebut berstatus tanah pertanian bagi membolehkan proses pemutihan dibuat.
“Oleh itu syarikat-syarikat yang ingin membina papan iklan di sepanjang lebuh raya perlulah mengemukakan permohonan bagi memastikan pembinaan struktur mengikut spesifikasi yang dibenarkan dan tidak membahayakan pengguna lebuhraya,” katanya.
Difahamkan, jumlah trafik yang tinggi sepanjang laluan Seremban-Kuala Lumpur di Lebuh Raya Utara Selatan menyebabkan lokasi itu menjadi tumpuan syarikat-syarikat pengiklan untuk mendirikan papan iklan masing-masing. – UTUSAN











