‘Inilah cara Johor’ - Utusan Malaysia

‘Inilah cara Johor’

HASNI Mohammad (kanan) meninjau proses agihan bantuan kepada mangsa banjir di Iskandar Puteri, Johor, Disember lalu. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH 6 Disember 2013, jam di tangan menunjukkan pukul 3.30 petang. Saya berada di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kini dikenali WTC, sempena hari kedua persidangan agung UMNO. Telefon berdering memaparkan panggilan dari ibu pejabat.

“Esok pergi Terengganu, cover banjir.” Begitulah antara bait-bait ayat daripada seorang pengarang yang meminta saya bersiap sedia membuat liputan bencana besar yang melumpuhkan hampir keseluruhan Kemaman ketika itu.

Tanpa membantah, saya terus jawab, “okay bos.” Walhal saya tidak tahu pun bagaimana hendak pergi ke sana kerana beberapa rakan memaklumkan banyak jalan ke Pantai Timur sudah dinaiki air.

Esoknya, tibalah saya ber­sama jurugambar dan seorang pilot (pemandu) pacuan empat roda di bumi Darul Iman. Alhamdulillah, kami selamat sampai berbe­kalkan maklumat diperoleh Riduan, juru­gambar yang ju­ga anak jati Terengganu mengenai jalan yang perlu dielak. Itulah kali pertama sa­ya terlibat membuat liputan bencana yang memusnahkan banyak rumah, ada yang terperangkap kerana air naik terlalu deras dan bekalan elektrik terpaksa dipotong.

Bagaimanapun, bukan kisah di Terengganu yang saya mahu ceritakan tetapi pengalaman di Johor. Saya ditugaskan ke Batu Pahat pada 2014. Di sana, hampir setiap tahun saya turun padang membuat liputan kawasan banjir dan melihat sendiri keadaan mangsa terjejas. Bagaimana rumah mereka dinaiki dan dipenuhi air menyebabkan terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS). Ada juga yang terpaksa berdepan banjir termenung (air tidak surut-surut).

Namun, mereka semua tetap kelihatan tenang. Akur ketika diminta berpindah dan berada di PPS dalam keadaan boleh dikatakan selesa ketika bencana. Pengurusan bencana khususnya banjir di Johor boleh dikatakan antara yang paling cekap, teratur dan efisien.

Pergi sahajalah ke mana-mana PPS di Johor dan tanyalah sendiri kepada mangsa banjir. Saya yakin mereka dibantu selayaknya dan dilayan baik oleh semua pihak termasuk sukarelawan. Mungkin ada satu dua kes makanan sampai lewat.

Sejak banjir besar melanda Johor pada 2006, saya diberitahu kerajaan negeri pada masa itu sudah melihat perlunya penyelarasan lebih baik antara agensi dan semua pihak terlibat. Kerajaan Pusat juga mengeluarkan tatacara Peraturan Tetap Operasi Pengurusan Bencana Banjir sejak 2001. Bagi tahun lepas dan tahun ini, prosedur operasi standard (SOP) di Johor ditambah baik bagi membendung penularan Covid-19 terutama mengambil kira ramai warga emas di PPS.

Tidak keterlaluan jika dikatakan cara kerajaan negeri mendepani situasi banjir kali ini lebih teratur. Apatah lagi melihat banjir di Lembah Klang baru-baru ini yang turut meragut nyawa memang cukup merisaukan rakyat Johor. Mereka tidak mahu korban dari negeri ini menyumbang kepada jumlah data kematian walaupun seorang mangsa meninggal dunia ketika dihanyutkan arus semasa bermotosikal ke kebun durian.

MACAM LECEH

Sebab itu di daerah berisiko dilanda bah, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) diaktifkan lebih awal sebagai persediaan terhadap sebarang kemungkinan. Malah Menteri Besar (MB), Datuk Hasni Mohammad turut mengarahkan latihan atau simulasi membabitkan semua agensi negeri atau Pusat diadakan sebelum musim tengkujuh tiba.

Bahkan petugas media yang turun ke lapangan pun perlu memaklumkan kepada PKOB bagi tujuan penyelarasan dan pemantauan keselamatan. Memang nampak macam leceh untuk wartawan dan jurugambar bertugas tetapi begitulah teraturnya pengurusan yang bukannya mahu menyekat apa-apa laporan pun. Di sini media bebas untuk membuat liputan.

Walaupun angka mangsa berpindah melepasi 5,000 orang sejak hari pertama, tetapi semuanya berada dalam keadaan terkawal. Tunku Mahkota Johor antara terawal tiba di PPS, pukul 2 pagi sebaik sahaja baginda mendapat maklumat yang Segamat dinaiki air pada awal pagi, 1 Januari lalu.

Selepas itu jangan cakaplah, Sultan Johor, MB dari hari ke hari singgah ke sebanyak mungkin PPS, bertemu sendiri dengan mangsa, melihat kelancaran bantuan selain mendengar keluhan sekiranya terdapat kekurangan atau kelewatan. Tidak lupa juga memberi kata-kata semangat.

Mereka tidak perlulah sampai nak naik bot untuk selamatkan mangsa sebab kerja-kerja sebegitu sudah pasti dijalankan agensi terlibat yang sudah dilatih dan terlatih kecuali dalam keadaan memerlukan. Peranan mereka menyelaraskan aset-aset kerajaan adalah lebih penting.

Kehadiran sukarelawan baik dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yayasan, orang perseorangan atau parti politik sepanjang bencana memang amat dialu-alukan. Tiada langsung halangan kecuali perlu melaporkan keberadaan mereka, itu pun atas faktor keselamatan dan penyelarasan supaya apa-apa perkara berlaku boleh respons dengan pantas dan secara tidak langsung penularan Covid-19 terkawal.

Banyak pasukan sukarelawan yang ditemui mengakui penyelarasan kerajaan negeri menguruskan bencana banjir memang cekap dan tersusun. Kata mereka lagi, mangsa banjir yang sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) atau kontak rapat Covid-19 juga diurus dengan cukup baik.

Meminjam kata-kata MB, “inilah cara Johor.”

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×