Era pembelajaran berasaskan teknologi 5G di negara ini bakal bermula tidak lama lagi selaras dengan pelancaran rangkaian internet terpantas itu tahun lepas.
Ia direalisasikan melalui kerjasama antara syarikat teknologi, Ericsson bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Digital Nasional Berhad (DNB) yang akan mewujudkan platform Ericsson Educate.
Platform itu berfungsi untuk menawarkan akses kepada bahan-bahan pembelajaran tentang teknologi 5G serta teknologi baru muncul kepada pelajar UTM.
Mata pelajaran yang terpilih untuk peringkat pengenalan, merangkumi rangkaian 5G, kecerdasan buatan (artificial intelligence), pembelajaran mesin (machine learning), automasi (automation), rantaian blok (blockchain), pengkomputeran awan, sains data, IoT dan telekomunikasi.
Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro berkata, inisiatif itu akan memacu agenda industri 4.0 sekali gus membangunkan tenaga kerja mahir yang dapat memanfaat potensi 5G.
“Pelaburan dalam UTM bertujuan mempercepatkan transformasi digital Malaysia termasuk membina tenaga kerja mahir 5G.
“Dengan melengkapkan pembelajaran UTM dengan kandungan Ericsson Educate serta wawasan industri DNB, UTM akan mengukuhkan lagi kemahiran ICT mereka sekali gus meningkatkan ketersediaan bakat mahir 5G di negara ini,” ujarnya.
MANFAAT RIBUAN PELAJAR
Memorandum persefahaman (MoU) ini bakal memanfaatkan sehingga 1,200 pelajar pada tahun pertama.
Pelajar dan pensyarah mengakses sumber pembelajaran digital berkualiti yang memanfaatkan pengalaman Ericsson selama 145 tahun dalam telekomunikasi dan ICT.
Kandungan dari portal Ericsson Educate akan disediakan tanpa kos dan disepadukan bagi melengkapkan program ijazah dan kelayakan mikro UTM yang berasaskan dalam talian.
Ericsson dan DNB juga akan menampilkan barisan pakar subjek sebagai pensyarah jemputan untuk topik-topik yang ditetapkan oleh UTM serta mewujudkan peluang kepada peserta kursus menjalani latihan amali di DNB selepas menamatkan kursus yang relevan.
Transformasi ekonomi digital
Sementara itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat, DNB, Zuraida Jamaluddin yakin 5G mampu menjadi pemangkin utama dalam mengubah landskap ekonomi digital Malaysia selain menaik taraf cara bekerja, bermain, berinovasi dan belajar.
“Latensi lebih rendah, kelajuan lebih pantas dan keupayaan AR/VR, 5G akan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang mendalam serta memacu inovasi dalam banyak aspek pendidikan.
Lebih penting lagi, penggunaan 5G yang dipercepatkan dan harga borong lebih murah menerusi pendekatan berasaskan penawaran oleh DNB akan menggalakkan penyertaan pelajar dari segenap lapisan masyarakat tidak kira di mana mereka berada,” ujarnya.
Tambahnya, usaha ini berupaya merapatkan jurang digital dan menjamin kesamarataan dalam pendidikan khususnya melibatkan masyarakat terpinggir. Dalam pada itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, kurikulum universiti akan diselaraskan dengan kandungan yang dipacu industri bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan graduan dalam mendepani persekitaran kerja industri 4.0.
“Ini akan memaksimumkan potensi dan kecemerlangan individu dalam tenaga kerja melalui peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran,” jelasnya.
UTM pernah memeterai MoU bersama Ericsson pada 2016 untuk penubuhan Pusat Inovasi 5G atau IC5G di UTM kampus Kuala Lumpur. Ia menjadi pusat inovasi pertama di Malaysia yang mengkaji dan menguji teknologi 5G. Pada Disember 2021, UTM menjadi antara universiti pertama di Malaysia yang menikmati liputan 5G di bawah pelancaran 5G DNB yang pertama di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.










