100,000 pekerja gig ditindas? - Utusan Malaysia

100,000 pekerja gig ditindas?

PEMANDU e-hailing dan penghantar p-hailing adalah segmen dalam pasaran buruh yang perlu diberikan perhatian. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BERDA­SARKAN fakta-fakta dalam kes ini, dan khususnya sebagaimana yang ditekankan dalam perenggan 94 sehingga 101 di atas, saya percaya adalah jelas tribunal pekerjaan berhak mendapati bahawa pihak menuntut, yakni pemandu-pemandu, merupakan ‘pekerja’ yang bekerja untuk Uber London di bawah kontrak pekerja dalam definisi statutori.”- Penghakiman kes Uber BV & lain-lain lwn. Aslam & lain-lain (2021) UKSC 5.

Ini merupakan sebahagian daripada dapatan Mahkamah Agung di United Kingdom (UK) yang mengesahkan dapatan terdahulu di peringkat tribunal kerja dan mahkamah rayuan, di mana tribunal pekerja memutuskan pihak menuntut ialah pekerja walaupun tidak digajikan di bawah kontrak pekerjaan untuk Uber London.

Mahkamah melihat pemakaian takrifan pekerja seperti dalam ruang lingkup perenggan kedua Seksyen 203(3), Akta Hak-Hak Pekerja 1996 yang menyatakan, ‘individu yang memasuki atau bekerja di bawah kontrak sama ada secara tersurat atau tersirat, lisan atau bertulis, di mana seseorang itu berjanji untuk melaksanakan apa-apa kerja atau perkhidmatan untuk pihak lain’.

Mengikut takrifan ini, mahkamah memutuskan pemandu Uber BV di London merupakan sebahagian daripada ‘pekerja’ menurut undang-undang.

Perayu dalam kes ini ialah Uber BV yang mempunyai hak ke atas aplikasi Uber. Pihak menuntut iaitu Yaseen Aslam dan James Farrar pula merupakan pemandu-pemandu e-hailing Uber.

Dalam kes ini, pihak menuntut memohon agar perintah diberikan berkenaan hak-hak mereka di bawah Akta Upah Minimum Kebangsaan 1998, yakni supaya dibayar upah minimum bagi kerja-kerja yang dilakukan selain daripada hak untuk menerima cuti tahunan berbayar.

Selain itu, pihak menuntut juga memohon hak untuk dilindungi daripada sebarang layanan tidak adil atas alasan membuat pendedahan. Hak-hak yang dituntut ini merupakan hak bagi pekerja. Lantaran itu, perkara pertama yang perlu ditentukan terlebih dahulu adalah sama ada pemandu e-hailing ini merupakan pekerja kepada Uber London?

Dalam kes ini, penakrifan sebagai pekerja tidak dinyatakan secara langsung dalam perundangan. Namun, mahkamah dalam kes ini menafsirkan perenggan kedua Seksyen 203(3), Akta Hak-Hak Pekerja 1996, langsung memberikan pandangan baharu kepada landskap pekerjaan di UK ketika ini.

Secara ringkasnya, pemandu e-hailing adalah dianggap sebagai pekerja yang berhak dilindungi dan dijamin hak mereka di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, harus ditelusuri bahawa latar belakang dan amalan perundangan di UK agak berbeza dengan perundangan yang diguna pakai di negara ini. Malah, hubungan pekerja dan majikan juga tertakluk kepada undang-undang berbeza.

AKTA KERJA

Iltizam kerajaan untuk meminda Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing diiktiraf sebagai pekerja menurut akta ini adalah bertepatan dalam keadaan semasa.

Ini kerana, pada masa ini, pengamal ekonomi gig termasuk pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing bukanlah pekerja menurut takrifan perundangan.

Tanpa klarifikasi atau pengiktirafan sebagai pekerja, mereka tidak dilindungi di bawah undang-undang pekerja. Akibatnya, penggiat ekonomi gig ini sering ditindas oleh majikan atau rangkaian aplikasi yang memeras tenaga mereka tanpa sebarang rasa kebertanggungjawaban.

Pembelaan dan perlindungan terhadap penggiat ekonomi gig ini perlu dilakukan, bermula dengan mewujudkan sistem perundangan yang mengiktiraf mereka sebagai pekerja.

Justeru, kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berhubung cadangan pindaan Akta Kerja 1955 merupakan langkah permulaan bagi kerajaan untuk memberikan penjelasan hubungan pekerja-majikan dalam kegiatan ekonomi gig. Ini sekurang-kurangnya dapat menyediakan perlindungan agar aduan isu-isu perundangan buruh dapat disalurkan.

Hakikatnya, ekonomi gig kini bukanlah satu industri yang kecil. Malah ada yang menjadikan ekonomi gig sebagai kerjaya utama mereka dan angka ini dikatakan meningkat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun lalu.

Ramai golongan yang terkesan semasa tempoh ini beralih kepada pekerjaan dalam ekonomi gig untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ini jelas apabila kita melihatkan statistik pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing yang merupakan sebahagian besar daripada penggiat ekonomi gig, kini dianggarkan berjumlah lebih 100,000 orang. Mereka adalah segmen dalam pasaran buruh yang perlu diberikan perhatian.

Polisi syarikat dan keselamatan penggiat gig ekonomi perlu diseimbangkan supaya kedua-dua pihak berada dalam keadaan menang-menang. Kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) misalnya mendapati sebanyak 70 peratus pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing terdedah dengan bahaya.

Perkara ini berlaku kerana tuntutan rangkaian aplikasi agar mereka mengejar pusingan penghantaran sehingga merisikokan keselamatan pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing ini.

Hakikatnya Malaysia perlu mengorak langkah pertama ke arah pengiktirafan hak mereka. Sekurang-kurangnya asas kebajikan dan perlindungan mereka dijamin.

Bukan untuk orang lain tetapi untuk kesejahteraan kita semua juga. Kitakan Keluarga Malaysia!

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (Wilayah Persekutuan) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×