PETALING JAYA: Varian baharu Covid-19 seperti Omicron akan terus muncul pada masa akan datang selagi belum ada vaksin yang benar-benar mampu mengekang penularan virus tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, virus mempunyai sifat semula jadi untuk terus berevolusi dengan mewujudkan varian baharu, menyerang sesiapa sahaja yang mempunyai sistem imunisasi rendah tidak kira individu itu belum atau sudah divaksin.
“Kemunculan varian baharu ini sebenarnya perkara biasa, virus sentiasa berevolusi kepada varian baharu, tetapi varian biasanya tidak membiak dengan meluas, ia tidak kekal lama dan akhirnya akan mati.
“Contohnya, Omicron muncul di Afrika kerana penghidap HIV, varian itu menjangkiti mereka yang mempunyai sistem yang imun rendah, jadi lebih sukar untuk mengekang virus baharu ini kerana ramai yang menghidap HIV,” katanya.
Beliau mengulas kemunculan beberapa varian baharu seperti Omicron dan terma baharu seperti Flurona dan Deltacron, hasil gabungan Delta dan Omicron walaupun belum disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Bagaimanapun, katanya, kemunculan varian baharu bukanlah disebabkan masih ada golongan yang belum divaksin, tetapi kerana belum ada mana-mana pihak yang menemukan penawar Covid-19.
“Kemunculan varian baharu tidak ada kena mengena dengan golongan belum vaksin, vaksin sebenarnya sekadar mengurangkan kadar jangkitan tahap tiga dan empat, tetapi tidak mampu menghalang virus sepenuhnya.
“Jadi, sesiapa sahaja tetap boleh dijangkiti walaupun ambil vaksin kelima, keenam, ketujuh atau kelapan sekali pun. Ini berdasarkan kepakaran dan sains, kerana masih tidak ada vaksin yang mampu mengekang virus ini,” katanya.
Tambahnya, varian baharu juga boleh muncul disebabkan komorbiditi seseorang individu tersebut. – UTUSAN











