PETALING JAYA: Kerajaan mungkin perlu menutup pintu keluar masuk negara untuk pengembara dan pelancong jika kes Covid-19 varian Omicron meningkat dengan mendadak di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, penutupan sempadan antara salah satu langkah yang boleh mengelakkan daripada kes meningkat sehingga 10,000 kes sehari.
“Setakat ini, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan larangan ke negara berisiko mencukupi tetapi ia mungkin perlu diperketat jika berlaku ledakan kes dan sistem kesihatan dikompromi,” katanya.
Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan untuk melaksanakan lockdown sekali lagi, sebaliknya hanya boleh melaksanakan strategi pencegahan.
Minggu lalu, seramai 1,303 pengembara dari Arab Saudi dikesan positif Covid-19 dari 1 Disember ke 4 Januari, dengan 1,260 positif pada hari kelima, menyebabkan aktiviti umrah ditangguh selama sebulan bermula 8 hingga 22 Januari.
Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan lebih separuh penduduk Eropah berkemungkinan dijangkiti varian Omicron menjelang Mac ini, sekali gus mampu merencatkan pemulihan ekonomi global.
Kata Malina, kerajaan perlu terus memberi perhatian kepada pergerakan jemaah umrah, kerana didakwa ada yang tidak mematuhi penangguhan tersebut dan memberikan maklumat tidak tepat ketika ke luar negara, ini kerajaan perlu beri perhatian,” katanya. – UTUSAN











