JERANTUT: Walaupun cuaca masih tidak menentu berikutan angin monsun luruan belum berakhir, namun seramai 70 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling di pedalaman daerah ini bersemangat untuk menuntut ilmu.
Kehadiran 50 murid Melayu dan 20 lagi murid Orang Asli etnik Bateq disambut Guru Besar, Abd. Manaf Mat bersama 17 guru dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), saringan suhu badan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal berasaskan Pelan Pemulihan Negara Fasa (PPN) fasa empat.
SK Ulu Tembeling yang terletak di Kampung Bantal di kawasan pedalaman adalah antara penempatan Melayu pesisir Sungai Tembeling terletak kira-kra 130 kilometer dengan bandar Jerantut yang terlibat dengan bencana banjir bermula 17 Disember tahun lalu dan berulang pada 1 Januari lalu.
Kawasan persekitaran sekolah itu tidak dinaiki air berikutan kedudukannya di tempat tinggi berbanding sebilangan rumah penduduk dan kedai kopi terletak di pesisir sungai tersebut.
Seorang Murid Tahun Enam sekolah itu, Farhana Jani berkata, dia tidak sabar bersua muka dengan guru dan belajar bersama rakan-rakannya setelah membuat persiapan persekolahan seminggu selepas banjir.
“Saya bersyukur kerana banjir tidak mengganggu persekolahan hari ini (semalam) malah bersemangat untuk mengikuti pelajaran dan aktiviti di sekolah memandangkan tahun terakhir di sekolah rendah,” katanya semalam.
Sementara itu, Abd. Manaf berkata, beliau bersama guru sekolah itu sudah bersedia di pintu pagar sekolah untuk menyambut murid.
Menurut beliau, bagi murid Orang Asli yang tinggal di Kampung Sungai Kucing, mereka menaiki bot penambang dalam perjalanan kira-kira 20 minit.
“Guru di sini bersyukur kerana murid mempunyai kelengkapan belajar mencukupi, ada berpakaian seragam dan beg sekolah baharu malah tidak ada seorang pun dilaporkan mengalami kerosakan buku teks akibat banjir baru-baru ini,” kata beliau semalam.- UTUSAN











