Di dalam al-Quran ada disebut tentang pelaku suatu perbuatan dengan pelbagai cara. Adakala ia disebut dengan nama kelompoknya.
Ada juga disebutkan dengan nama orang tertentu sahaja dan ada pula disebut dengan kata ganti nama bagi suatu pihak tertentu.
Dalam setiap sebutan di dalam al-Quran mempunyai maksud yang ketara, sesuai dengan peristiwa atau kejadian yang diceritakan. Di antara kata ganti yang digunakan dalam al-Quran ialah kata nama ‘Ana’ yang membawa maksud ‘Aku’.
Mengikut kaedah Bahasa Arab pula ia disebut sebagai dhomir mutakallim atau kata ganti nama yang merujuk kepada si pembicara.
Kata ganti ini dinyatakan di dalam al-Quran lebih 60 kali dengan si pembicara yang berbeza. Terkadang ia disandarkan kepada Allah dan adakalanya pula ia disandarkan kepada makhluk.
Terdapat beberapa maksud pada kalimah ‘Ana’ yang digunakan dalam al-Quran. Kalimah ini sering membawa maksud yang tersirat bagi si pelaku yang mengungkapkan kalimah ‘Ana’ ini.
Di antara maksud yang dapat dihuraikan pada kalimah ‘Ana’ ialah kemegahan, keagungan, kesombongan, sifat tawaduk atau sebagai jalan untuk memperkenalkan diri kepada orang lain.
Kata ganti nama pertama, ‘Ana’ atau ‘Aku’ jika disebutkan dalam al-Quran ia juga boleh merujuk kepada sifat keagungan dan kemegahan. Adapun kalimat ‘Ana’ yang merujuk kepada sifat keagungan dan kemegahan hanya boleh diguna pakai oleh Allah SWT kerana Dialah yang Maha Agung lagi Maha berkuasa.
Kalimat ini tidak seharusnya digunakan oleh makhluk ciptaan-Nya dengan tujuan bermegah diri dan mempamer keagungan. Jika makhluk ciptaan-Nya ini menyatakan sifat ke‘aku’an diri, merasakan diri agung, bermegah dengan kedudukannya dan membandingkan diri dengan makhluk yang lain, maka ia adalah perbuatan hati yang sombong dan takbur.
Tiadalah seseorang itu melihat keagungan diri melainkan ia melihat kelebihan yang ada pada dirinya dan membandingkan dengan orang lain. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sombong itu apabila seseorang menolak kebenaran dan merendahkan orang lain. (Riwayat Abu Daud).
Setiap ayat al-Quran yang menggunakan kalimat ‘Ana’ dengan membawa maksud kemegahan dan keagungan, hanya layak diungkapkan oleh Allah SWT. Sebagai contoh pada ayat-ayat al-Quran yang berikut:
* Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). (al-Hijr: 49)
* Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (an-Naml: 9)
* Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. (Taha: 14)
Selain daripada Allah SWT yang menggunakan kalimat ‘Ana’ dengan maksud mengagungkan diri, terdapat juga makhluk ciptaan-Nya yang menggunakan kata ganti nama ‘Ana’ atau ‘Aku’.
Antara makhluk yang disebutkan di dalam al-Quran ialah iblis, ketika dia diperintah sujud kepada Nabi Adam a.s. Juga yang mengungkapkan ‘Ana’ pada bicaranya ialah Raja Namrud yang hidup di zaman Nabi Ibrahim a.s dan Firaun yang memerintah Mesir di zaman Nabi Musa a.s.
Allah SWT berfirman yang menceritakan dialog dengan Iblis laknatullah: Allah berfirman: “Apakah yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku memerintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedangkan dia Engkau jadikan dari tanah.” (al-A’raf: 12).
Kalimat ‘Ana’ yang diungkapan oleh iblis ini menggambarkan keangkuhan, bongkak diri serta ego yang didorong oleh hawa nafsu. Bagaimana tidak, sementara ia sedang melawan kepada perintah Allah yang Maha Pencipta yang menciptakannya dan menciptakan alam semesta.
Di dalam al-Quran juga ada menceritakan bagaimana Ifrit, salah satu makhluk daripada bangsa jin, ingin mempamerkan kehebatannya dengan hasrat ingin memindahkan singgasana Ratu Balqis daripada Yaman ke Baitulmaqdis.
Direkodkan dalam al-Quran: Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”. (an-Naml: 39)
Dalam masa yang sama, terdapat seorang lelaki daripada pengikut Nabi Sulaiman a.s yang mampu memindahkan singgahsana tersebut sebelum satu kedipan mata.
Dibandingkan Ifrit yang mahu memindahkan singgahsana tersebut sebelum Nabi Sulaiman a.s bangkit daripada tempatnya. Maka itu merupakan suatu perkara yang jauh lebih cepat dan hebat berbanding Ifrit.
Namun begitu, tindakan ia menzahirkan karamahnya, tidak menjadikan ia sombong dan takbur, bahkan lelaki soleh tersebut menyandarkan kebolehan yang dimilikinya kepada kekuasaan Allah SWT jua.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT: Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!” Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukur itu untuk (kebaikan) dirinya dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Mulia”. (an-Naml: 40)
Ke‘aku’an dan keegoan diri itu adalah musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan yang bersembunyi di dalam hati setiap makhluk, sama ada kalangan jin mahupun manusia.
Sifat hati yang busuk ini, jika tidak dibersihkan dari dalam hati, kelak akan memakan nurani kita yang fitrahnya inginkan kebaikan. Sebabnya daripada ego inilah terjadinya dosa dan maksiat yang berleluasa.










