Azam Baki perlu kemuka bukti – SC - Utusan Malaysia

Azam Baki perlu kemuka bukti – SC

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bersama pihak-pihak yang terlibat akan diminta menjelaskan dan mengesahkan kenyataan yang telah dibuat kelmarin serta mengemukakan bukti-bukti yang berkaitan dalam isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC), di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.

“Seksyen 29A pula mensyaratkan bahawa semua urus niaga dalam sekuriti seharus­nya hanya dilaksanakan oleh pemilik benefisial sekuriti itu atau penama yang diberi kuasa,” kata SC semalam.

Sementara itu, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Azam masih belum diputuskan bersalah atau melanggar Akta Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 hanya kerana memiliki saham syarikat yang didakwa digunakan adiknya.

HANIFF KHATRI ABDULLA

Walaupun undang-undang itu memperuntukkan seseorang tidak boleh menggunakan akaun belian saham orang lain, namun, jika sudah memaklumkan kepada Bursa Malaysia dan SC, ia boleh dijadikan asas pembelaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, melalui prosedur itu, pemilik akaun asal saham syarikat (Azam Baki) sudah mengesahkan kepada pihak berkuasa bahawa orang lain menjadi wakil sah dalam pemilikan saham tersebut.

Menurutnya, jika Azam didapati mengikut proses penamaan yang betul atau tidak, di situlah keadaan menuntut supaya siasatan menyeluruh dilakukan jawatankuasa khas khususnya Jabatan Peguam Negara bagi menentukan beliau tersabit atas kesalahan dilakukan.

“Di peringkat ini, tidak boleh katakan Azam bersalah hanya kerana memiliki kepentingan saham syarikat dan digunakan oleh adiknya. Namun, ia memerlukan siasatan lanjut jika beliau telah melakukan kesalahan disebutkan.

“Pendedahan Azam kepada kemungkinan melakukan kesa­lahan peruntukan pasaran saham mewajibkan jawatankuasa khas perlu siasat dengan lengkap jika berkait salah laku jenayah rasuah oleh SPRM, mana-mana jenayah biasa lain oleh pihak polis atau salah laku jenayah pasaran saham di bawah Suruhanjaya Sekuriti.

“Beliau tidak melanggar mana-mana akta selagi tidak dibuktikan melalui siasatan. Oleh kerana kes ini masih berbentuk dakwaan, Azam berhak membersihkan namanya mengikut perundangan negara,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohamed Haniff berkata, siasatan itu bukan setakat ‘pemilikan saham’, bahkan, meliputi semua aspek pemilik akaun asal, individu lain yang menggunakan kepentingan saham dan jika ada dorongan ahli lembaga pengarah lain dalam syarikat berkenaan.

“Perlu dijelaskan apakah tujuan sebenar seorang adik menggunakan akaun abangnya dan daripada mana pula sumber digunakan untuk membeli saham lebih RM2 juta? Kita tidak boleh hanya membiarkan jawapan lembaga penasihat SPRM ‘puas hati’ dengan jawapan Azam kerana ini hanya pandangan tiada nilai dari sudut undang-undang.

“Bagi pihak berkenaan termasuk polis, kastam, imigresen dan lain-lain, apabila siasatan ditujukan kepada ketua agensi masing-masing, tidak molek jika siasatan dijalankan oleh agensi tersebut kerana dikhuatiri berlaku konflik kepentingan dan campur tangan salah yang menjejaskan nilai siasatan,” katanya.

Kata beliau, sebagai individu memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan, Azam sepatutnya menghindarkan diri daripada terlibat dalam kegiatan urus niaga dan pelaburan saham. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×