PETALING JAYA: “Ini bukan akaun Shopee yang boleh dipinjam oleh ahli keluarga.”
Demikian kenyataan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil yang mempertikaikan jawapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham olehnya.
Menurut Fahmi, jawapan Azam bahawa pemilikan saham dalam beberapa buah syarikat adalah kerana adiknya menggunakan akaun beliau untuk pembelian saham-saham itu sebagai tidak munasabah.
“Kontroversi ini melibatkan nilai yang besar kerana saham itu jumlahnya berjuta ringgit. Kita ada undang-undang, akta dan mekanisme termasuk Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia untuk menjelaskan sama ada tindakan Azam adalah satu kesalahan atau tidak.
“Sidang media yang diadakan hanya menimbulkan seribu satu persoalan buat rakyat dan tidak menjernihkan keadaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, jawapan Azam kelmarin sangat ‘kelakar’.
“Kita tidak boleh menggunakan akaun secara proksi. Ini juga merupakan satu kesalahan yang sangat ketara. Menjadi tanda tanya bagaimana beliau boleh menggunakan alasan sedemikian kerana ini merupakan satu organisasi penting dalam negara,’’ katanya.
Guan Eng yang juga merupakan ahli Parlimen Bagan berkata, beliau dan pemimpin PH mahu bertemu dengan perdana menteri untuk membincangkan isu tersebut. -UTUSAN










