Memperkasa hak pekerja, institusi keluarga - Utusan Malaysia

Memperkasa hak pekerja, institusi keluarga

SOKONGAN sosial yang diperkasakan dalam Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 memberi ruang besar kepada pekerja khususnya wanita untuk memperkukuh hak institusi keluarga, diimbangi tuntutan kerja yang semakin menekan pada masa kini. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“JANGANLAH kamu membebankan mereka (pekerja), dan jika kamu memberikan tugas kepada mereka, bantulah mereka.” (Hadis diriwayatkan oleh Abu Zar r.a dalam riwayat al-Bukhari: 30)

Pada 25 Oktober 2021, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan membawakan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 (RUU DR 1/2021) bagi bacaan kali yang pertama di Dewan Rakyat. Rata-rata memberikan pujian kepada garapan kerajaan melalui RUU ini dalam mengharmonikan peruntukan sedia ada di bawah Akta Kerja 1995 (Akta 265).

Ini termasuklah usaha melestarikan Standard Minimum Pekerjaan menurut Standard Perburuhan antarabangsa. Malah, inilah komitmen yang telah pun diisytiharkan kerajaan sejak 29 Julai 2020 lagi bilamana Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim menyatakan dalam jawapan di Dewan Rakyat bahawa suatu pindaan kepada Akta 265 akan diadakan bagi memperkenalkan cuti paterniti, meningkatkan tempoh cuti bersalin dan menambah baik perlindungan bagi menangani gangguan seksual di tempat kerja. Setelah lebih setahun menunggu dan meskipun terdapat pertukaran tampuk pimpinan kerajaan, akhirnya komitmen ini direalisasikan.

Sokongan sosial yang diperkasakan dalam RUU DR 1/2021 bukan sahaja menzahirkan iltizam kerajaan dalam menyokong hak pekerja tetapi juga memberikan ruang besar kepada pekerja di negara ini untuk memperkukuh hak institusi keluarga, diimbangi dengan tuntutan kerja yang semakin menekan pada masa ini.

Antara contoh jelas bantuan sosial yang akan dimasukkan ke dalam Akta 265 adalah pindaan yang dicadangkan kepada Seksyen 22(2) sedia ada, di mana pekerja juga dibenarkan untuk menuntut pendahuluan gaji bagi tujuan membayar kos perubatan pasangan mereka, berbanding sebelum ini yang hanya membenarkan pendahuluan gaji untuk pembayaran kos perubatan ibu bapa, anak dan adik-beradik.

Tambahan pula, jika sebelum ini di bawah Seksyen 37(1)(d)(ii) Akta 265, tempoh cuti bersalin hanyalah selama 60 hari, namun dengan cadangan pindaan di bawah Sekysen 12 RUU DR 1/2021 tempoh ini akan dipanjangkan kepada 90 hari bagi memanfaatkan pekerja wanita yang melahirkan anak semasa masih dalam tempoh pekerjaan.

Sokongan sosial ini harus dibaca secara bersama dengan pindaan yang mencadangkan kemasukan Seksyen 60FA yang memperuntukkan cuti paterniti berbayar selama tiga hari dalam tempoh berpantang. Jelas kedua-dua cadangan ini diadakan bagi mengukuhkan lagi hak dan perlindungan bagi institusi keluarga dengan memberikan ruang yang selesa kepada hak pekerja.

Selaras dengan itu, pindaan yang mencadangkan kemasukan Seksyen 41A mengenai sekatan ke atas pemberhentian pekerja wanita hamil ke dalam Akta 265 juga merupakan perlindungan berlandaskan amalan industri di peringkat antarabangsa. Selain itu, RUU ini turut mencadangkan kemasukan Seksyen 69F baharu bagi memperkenalkan kuasa Ketua Pengarah untuk menyiasat dan memutuskan sebarang pertikaian berkaitan diskriminasi dalam pekerjaan dan membuat perintah berdasarkan keperluan yang timbul. Pindaan-pindaan sebegini yang memperkemaskan lagi hak pekerja adalah amat dialu-alukan.

JURANG KAWALAN

Bagi memperkayakan lagi perlindungan di bawah Bahagian XVA Akta 265, pindaan turut mencadangkan kemasukan Seksyen 81H yang mewajibkan majikan untuk mempamerkan notis kesedaran tentang gangguan seksual di tempat kerja secara jelas.

Sebagai sektor pertama yang berjaya mentakrifkan ‘gangguan seksual’, sudah tentu sebarang proses untuk memberi kesedaran mengenaimya adalah amat perlu. Lebih-lebih lagi memandangkan kekerapan insiden seumpama ini sering berlaku di tempat kerja kerana jurang kawalan dan kuasa di antara pegawai atasan dan pekerja bawahan.

Mengambil kira juga keadaan rawak yang dialami pekerja dalam zaman pascapandemik Covid-19 dan kemajuan proses globalisasi, RUU ini turut mencadangkan untuk memasukkan Bahagian XIIC baharu yang memperincikan permintaan bertulis daripada pekerja kepada majikannya untuk mengubah terma dan syarat pekerjaan berhubung dengan kefleksibelan kerja. Langkah ini bertujuan memastikan perlindungan kepada pekerja dapat diimbangi dengan tuntutan hak majikan ke atas produktiviti pekerja.

Namun begitu, pada hemat saya, masih wujud beberapa cadangan pindaan di bawah RUU DR 1/2021 yang harus diperhalusi. Antaranya cadangan di bawah Seksyen 10 yang berhasrat memansuhkan perlindungan sedia ada untuk pekerja wanita di bawah Bahagian VIII berkenaan dengan larangan kerja malam (Seksyen 34), larangan kerja bawah tanah (Seksyen 35) dan larangan pekerjaan oleh menteri (Seksyen 36).

Selain itu, peruntukan sedia ada di bawah Bahagian IX (merangkumi perlindungan bersalin) dan Bahagian XVA (melibatkan perlindungan terhadap gangguan seksual di tempat kerja) adalah terpakai kepada semua pekerja. Namun, pindaan kini mengehadkan pemakaian peruntukan Seksyen 44A dan Seksyen 81G Akta 265 hanya kepada pekerja yang dirangkumi di bawah akta ini berdasarkan tingkat gaji RM2,000 ke bawah sahaja.

Meskipun teruja dengan perubahan yang memartabatkan hak pekerja, khususnya hak wanita bekerja, namun haruslah juga mengambil iktibar ambil pati, buangkan ampas dalam beberapa peruntukan yang dilihat menghakis perlindungan sedia ada.

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-undang & Hak Asasi Pertubuhan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×