Kebiasaan bagi pemilik kenderaan pasti sudah peka dengan keperluan untuk menukar minyak enjin setiap tiga atau empat bulan bagi memastikan kelancaran enjin.
Hal ini kerana selepas tempoh tertentu ia akan mula memecah, tepu dan ditutup dengan kotoran sehingga membawa kepada masalah enjin yang lain.
Namun, harga minyak enjin boleh dikatakan agak mahal dan agak membebankan bagi sesetengah pengguna memandangkan ia perlu ditukar secara berkala.
Tampil dengan solusi permasalahan itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan minyak enjin tambahan, GrafinTok yang berupaya untuk memanjangkan jangka hayat minyak serta memberikan enjin yang lebih sejuk sekaligus menjimatkan bahan bakar.
Ketua penyelidik, Prof. Dr. Janet Lim Hong Ngee menjelaskan GrafinTok adalah aditif terbaik untuk setiap enjin bagi mengatasi isu harga minyak enjin mahal dalam kalangan pengguna dan industri automotif.
Inovasi itu direka khusus dengan teknologi yang dipatenkan untuk minyak enjin dan sesuai digunakan semua jenis kenderaan.
“GrafinTok ialah minyak hitam (minyak enjin) aditif. Produk ini ditambah ke dalam tangki minyak hitam yang telah mengandungi minyak hitam.
Penyelidikan menunjukkan jarak perjalanan digandakan satu hingga dua kali, lantas mengurangkan bilangan pertukaran minyak hitam,” ujarnya.
Penghasilan inovasi ini secara lokal juga dapat menghapuskan masalah logistik dan kos sekaligus menjadikannya sebagai minyak enjin aditif pilihan yang berbaloi serta mesra pengguna.
“GrafinTok dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan pelanggan, menjadikannya mesra pengguna kerana ia boleh dikendalikan sebagai Do-It-Yourself.
Fokus utama untuk menjadi produk hijau yang menjimatkan perbelanjaan pengguna dengan mengurangkan keperluan tukaran minyak yang kerap sekaligus menurunkan sejumlah sisa minyak kotor,” tambahnya.
Pemanduan lebih lancar
Inovasi yang mula dibangunkan sejak lima tahun lalu itu dibangunkan melalui penyelidikan secara teliti dan terperinci oleh penyelidik tempatan. Ia mengandungi bahan grafin termodifikasi yang memberi kuasa tambahan kepada kenderaan.
Grafin merupakan bahan hebat yang terkenal dengan keupayaannya dalam mengurangkan penggeseran yang tinggi dan melindungi permukaan logam.
Minyak enjin aditif itu juga berupaya mengurangkan geseran di omboh dan menyediakan perlindungan bagi logam.
“Ia mampu meningkatkan kecekapan pembakaran enjin dengan pelepasan HC, CO & NO yang ketara sebanyak 50 peratus.
“Seterusnya, ‘menghidupkan’ semula enjin yang lemah dengan pengurangan bunyi dan getaran sebanyak 10 peratus untuk pemanduan yang lebih lancar dan senyap,” kata Janet.










