KANGAR: Penggunaan secara berleluasa pukat tunda dan peralatan tangkapan lain termasuk sangkar menangkap siput khususnya di perairan negeri ini boleh merosakkan lantai atau dasar laut sekali gus menyebabkan benih ikan yang belum matang musnah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Teknologi Marin Lestari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Rosnani Nazri berkata, kawasan dasar tersebut sememangnya mempunyai banyak benih ikan.
Menurutnya, pihak bertanggungjawab perlu membuat pemantauan terhadap bot-bot nelayan yang menggunakan pukat tunda dan peralatan tangkapan lain yang memusnahkan benih ikan dan siput di perairan negeri ini selain Kedah dan Perak yang merupakan sumber perikanan.
“Penggunaan pukat tunda akan menggondol habis kawasan dasar laut dan mengakibatkan kemusnahan tempat semula jadi pembiakan hidupan laut.
“Faktor lain adalah seperti projek pengorekan dan penambakan laut, pencemaran dan kemusnahan hutan paya bakau merupakan ancaman yang menyumbang kepada masalah kepupusan sumber perikanan di perairan negara ini,” katanya.
Tindakan menangkap siput secara haram boleh menyebabkan habitat ekosistem marin terjejas dalam jangka masa panjang, mengancam pembiakan, memusnahkan benih-benih ikan di dasar laut serta turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan pesisir pantai.
Sebagai rekod, aktiviti penangkapan siput di perairan Kuala Perlis di sini merupakan satu kesalahan kerana Jabatan Perikanan negeri tidak mengeluarkan sebarang lesen bagi aktiviti penangkapan siput tersebut.
Mengulas lanjut, Rosnani berkata, pukat tunda boleh memerangkap dan membunuh lebih 60 peratus hidupan laut termasuk spesies anak ikan berkualiti tinggi seperti jenahak, merah, kerisi, bawal, gelama, kerapu termasuk anak sotong dan ketam serta ikan kembung.
Katanya, pihak bertanggungjawab perlu menghadkan lesen pukat tunda dan kawal selia bot-bot yang sedia ada lesen supaya sumber laut dapat dikekalkan dan elakkan penangkapan secara berlebihan.
“Selain itu, kurangkan tangkapan sampingan di mana spesies marin yang lain yang ditangkap secara tidak sengaja dan akhirnya berlebihan dijadikan ikan baja.
“Tangkapan ikan baja yang belum mencapai saiz matang ini boleh menjejaskan stok bekalan ikan pada masa hadapan.
“Penguatkuasaan perlu sentiasa memantau bagi mengelakkan banyak vesel yang menggunakan pukat tunda memasuki zon larangan yang menjejaskan hasil tangkapan nelayan kecil,” katanya. – UTUSAN ONLINE










