PETALING JAYA: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) mengingatkan Kementerian Kesihatan tidak melayan jemaah umrah sebagai pelancong kerana aktiviti ke Tanah Suci adalah satu ibadah.
Presidennya, Harun KC Ahmmu berkata, kementerian perlu mengambil kira pandangan-pandangan pemain industri umrah supaya keputusan yang dibuat adalah wajar dan tidak mendatangkan implikasi kepada jemaah dan pengendali umrah.
Menurut beliau, penangguhan secara tiba-tiba diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin adalah keputusan tidak wajar dan menandakan kementerian tidak membuat kaji selidik serta mengambil pendapat pemain industri terlibat.
Berita berkaitan:
“Mengapa mereka hanya menghalang yang ingin ke Tanah Suci sahaja? Sedangkan di Eropah atau Amerika Syarikat juga terdapat peningkatan kes Covid-19 yang mendadak tetapi penutupan ke sana tidak pula dibuat.
“Kami sudah mencadangkan kepada kerajaan untuk tidak menunda aktiviti ibadah ini tetapi cukup dengan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP),” kata beliau pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Khairy memaklumkan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini ekoran berlaku penularan Covid-19, varian Omicron.
Susulan keputusan tersebut menyebabkan semua industri yang terlibat dengan perkhidmatan umrah dijangka menanggung kerugian RM1 bilion.
Pengumuman yang disifatkan mengambil kira sebelah pihak itu turut mengecewakan akal jemaah umrah yang sudah menunggu masa yang lama untuk mengerjakan ibadah itu.
Sementara itu, Setiausaha Agong Kehormat BUMITRA, Ab. Rahman Mohd. Ali pula memohon agar keputusan Menteri Kesihatan itu dikaji semula kerana jika diteruskan ia akan merencatkan ekosistem industri itu.
Menurut beliau, Kementerian Kesihatan perlu mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum membuat keputusan penangguhan secara tiba-tiba.
“Sepatutnya mereka mengadakan perbincangan dengan MOTAC, mendapatkan pandangan dari kementerian itu kerana sudah tentu MOTAC akan memberi pandangan yang wajar.
“Ini adalah satu impian bagi penganut agama Islam di negara kita khususnya mereka yang sudah berumur hendak merealisasikan rukun Islam kelima tetapi apa yang berlaku dihalang,” tambahnya.- UTUSAN











