Mukadimah
Tirai 2022 dibuka dengan harapan, agar Malaysia semakin makmur, maju dan harmoni. Ini meskipun sejak beberapa tahun kebelakangan, pelbagai peristiwa pahit manis ditempuh semua pihak, baik pertukaran beberapa Perdana Menteri dan kerajaan pemerintah, serangan pandemik sehinggalah kepada bencana alam yang dahsyat.
Sebalik semua itu, pasti ada mesej yang harus diambil serius semua pihak, demi mengemudi bahtera negara tercinta ini. Adakah semua pihak dari yang atas sampai kepada rakyat jelata, bersedia untuk berubah demi memperkasa agenda nasional? Adakah agensi-agensi kerajaan bersedia membersihkan segala lumpur yang menyaluti, demi memastikan imej dan integriti yang lebih bersih dan efisien?
Sempena tahun baru yang digalas bersamanya hasrat memakmurkan lagi negara, wartawan Mingguan Malaysia FAHMI FAIZ bertukar pandangan dengan Pegawai Turus, Bahagian Ancaman Ekstremis Luar, Cawangan Khas Bukit Aman, Asisten Komisoner (ACP) RIDZUAN ABDUL AZIZ. Ia dibantu jurugambar AFIQ RAZALI serta juruvideo MOHD. KAMARUL HASIFI KAMARUDIN.
Antaranya, beliau mengulas keperluan membaikpulih sistem keselamatan negara, yang mengakibatkan penjenayah Long Tiger boleh lolos. Beliau turut menyentuh isu perisikan asing yang merekrut proksi di tanah air.
MINGGUAN MALAYSIA: Apa fungsi Bahagian Ancaman Ekstremis Luar di Cawangan Khas?
RIDZUAN: Ia salah satu daripada sembilan bahagian dalam Cawangan Khas. Kami tertumpu kepada pengurusan keselamatan dari luar negara, terutama dari aspek penyuluhan (espionage) dan perisikan (intelligence), jadi kami mengkhusus kepada operasi penyuluhan-balas dan perisikan-balas (CECI). Kami juga melakukan operasi memintas ancaman-ancaman daripada luar negara yang mempunyai potensi menjejaskan keselamatan negara.
Jadi kami lebih fokus kepada luar negara dan isu-isu yang boleh memberi impak kepada keselamatan. Maka bolehlah kami ini diibaratkan umpama MI6 di Britain atau Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Amerika Syarikat (AS).
Wujudkah gerakan-gerakan penyuluhan dan perisikan pihak luar terhadap Malaysia, yang menjejaskan keselamatan kita?
Perkara ini memang berlaku di mana-mana negara. Ia lazimnya melibatkan kegiatan agensi-agensi perisikan asing atau pihak kedutaan asing sendiri di negara-negara yang mereka bertugas. Kita tak nafikan perkara ini memang berlaku setiap hari di depan mata kita. Terutama di Malaysia, saya yakin penyuluhan dan perisikan asing ini memang sangat aktif, kerana Malaysia negara yang strategik dan amat penting kepada dunia.
MALAYSIA JADI SASARAN
Strategik dari sudut apa?
Dari segi terutama lokasi, yang mana kita ini tempat pertemuan Timur dan Barat, jadi ini menjadikan kita sangat strategik.
Adakah bermaksud, ada campur tangan asing dalam sistem politik Malaysia, sebab sumber memberitahu ada agen perisikan asing yang berkhidmat di sebuah kedutaan di Kuala Lumpur, sering merapati beberapa tokoh politik muda-mudi yang liberal dan karismatik?
Saya mahu kata setuju pun tidak, tapi tak setuju pun tidak. Perkara ini memang berlaku dengan sangat aktif, membabitkan beberapa entiti perisikan asing di Malaysia, yang mana sangat berminat dengan perkembangan politik Malaysia. Pada mereka, politik dan ekonomi Malaysia yang stabil adalah pemangkin kepada keselamatan di rantau ini, terutama dengan sebuah negara jiran. Ini kerana sifat kebergantungan mereka yang sangat tinggi kepada Malaysia, memerlukan Malaysia menjadi negara yang lebih stabil. Sebab itu mereka amat sensitif dan prihatin terhadap perkembangan politik dan keselamatan Malaysia.
Jika memang wujud campur tangan pihak luar, apa bentuk dan modus operandi?
Sekarang ini, campur tangan asing lebih kepada kerjasama antara negara dengan negara (G2G) terutama dari segi pelaburan asing serta kerjasama pasca-Covid-19 seperti bantuan Covid-19 yang disalurkan banyak negara seperti China, AS, Arab Saudi dan lain-lain. Kita lihat selepas pandemik ini, persekitaran keselamatan dunia sudah berubah. Memburukkan keadaan di pihak kita, kerana kita tiada perundangan untuk mengekang campur tangan asing membabitkan aktiviti penyuluhan dan perisikan.
MALAYSIA TIADA DATA PELARIAN
Baru-baru ini, heboh kes Long Tiger penjenayah Rohingya. Apakah wujud kelemahan dalam sistem pengurusan pelarian, sampai kegiatan jenayah babitkan pelarian boleh berlaku?
Apa yang bahagian saya hadapi adalah, saya akui kerajaan tiada data pelarian yang lengkap. Malah kita tiada mekanisme untuk penataan pelarian. Data pelarian yang Cawangan Khas peroleh hanyalah daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), iaitu badan antarabangsa yang bertanggungjawab menguruskan pelarian di seluruh dunia. Hanya itu saja data yang reliable dan credible kepada kami.
Maksudnya?
Data-data lain yang kita ada, hanya berdasarkan tangkapan pihak polis, tangkapan pihak imigresen dan agensi lain, dan kami yakin ia bukan data yang lengkap. Ini kerana data terkini yang kami peroleh daripada UNHCR mendedahkan seramai lebih kurang 180,000 pelarian berada di Malaysia, dan hampir 70 peratus dari Myanmar.
Untuk makluman juga, sekarang kerajaan dalam proses perkongsian data dengan pihak UNHCR. Ada beberapa siri mesyuarat berkaitan telah berlangsung, dan saya yakin tahun depan kita akan dapat satu data yang lengkap tentang pelarian.
Daripada 180,00 data UNHCR, berapa data lengkap babitkan pelarian yang ada dalam simpanan data Cawangan Khas?
Data lengkap disimpan oleh pihak UNHCR. Kami cuma ada data dari segi jumlah sahaja.
Maksudnya, Cawangan Khas cuma ada angka pelarian, dan langsung tiada maklumat latar belakang mereka?
Itu pihak UNHCR sahaja yang ada, pihak Cawangan Khas tiada.
Apa kesan bila tiada data lengkap pelarian?
Ini akan timbulkan pelbagai kesan. Antaranya kita tiada data tentang pelarian, kita tiada biometrik, jadi dari segi pengenalan diri, ini mendatangkan banyak masalah kepada siasatan polis dan agensi-agensi penguat kuasa lain, sebab kita tiada data. Yang kita ada hanya angka sahaja yang dikongsikan oleh UNHCR.
Tuan sebut ketiadaan data pelarian mengundang banyak masalah. Boleh beri contoh?
Pertama masalah ekonomi gelap, bermaksud yang tiada rekod seperti keluar masuk duit, apa bentuk produk yang dijual beli serta siapa penjual dan pembeli. Itulah yang dipanggil ‘black money’.
Kedua, mereka tak bayar cukai kepada kerajaan. Black money dari ekonomi gelap ini mewakili hampir separuh daripada keseluruhan kitaran ekonomi negara.
Kedua, kerana kita tiada data pelarian dan kita tidak menguruskan mereka dengan sewajarnya, sepatutnya pelarian tidak boleh bekerja. Tapi memandangkan atas tuntutan survival, mereka terpaksa bekerja. Mungkin kerja yang tiada penyata gaji. Maka pendapatan yang mereka terima, mereka terpaksa simpan sendiri di rumah, sebab mereka tiada akaun bank dan tiada dokumen. Jadi potensi untuk berlakunya ekonomi gelap ini sangat besar.
Apa contoh aktiviti ekonomi gelap yang dilakukan kumpulan pelarian di Malaysia?
Antara aktiviti yang berpotensi wujud daripada sistem sebegini, termasuk pemerdagangan manusia, perjudian, hawalah iaitu peminjaman wang secara haram (ah long), malah ada potensi terlibat dalam pengedaran dadah. Kerana mereka perlukan survival untuk hidup.
Apa langkah kerajaan perkasakan isu ini?
Baru-baru ini, MKN23 telah diwartakan, yang mana antara kandungannya ialah memberi peluang kepada pelarian untuk bekerja. Ini memberi kelebihan kepada kerajaan kerana apabila kita beri peluang kepada pelarian untuk bekerja, maka kita perlu rekodkan data peribadi. Bila bekerja, mereka akan menerima gaji, dan mereka dibenarkan membuka akaun bank. Jadi kita akan mengawal data mereka. Jadi itu antara pendekatan kerajaan yang saya puji di bawah MKN23.
LONG TIGER
Dalam isu Long Tiger, apa mendorong pelarian melakukan aktiviti jenayah di negara hos yang menerima mereka, iaitu Malaysia?
Pada saya, itu bukan kes yang besar, cuma satu kes bersifat minat ramai (human interest) yang cuba untuk melarikan perhatian pembaca kepada satu berita yang sebenarnya pada saya, menjejaskan imej agensi penguatkuasa itu sendiri. Antara kesan kepada ketiadaan data pelarian juga, itulah yang mendorong isu-isu seperti Long Tiger ini. Ini kerana kita tidak boleh kawal pelarian-pelarian ini. Kita tiada data, tak tahu di mana mereka duduk, malah perkahwinan mereka pun tidak direkodkan.
Apa isunya dengan perkahwinan mereka?
Masalahnya kalau mereka berkahwin dengan warga tempatan. Ini sangat bermasalah, terutama di Sabah dan Semenanjung, yang mana cukup banyak kes perkahwinan antara warga tempatan dengan pelarian terutama dari Rohingya.
Apa boleh disimpulkan melalui kes Long Tiger?
Banyak aktiviti jenayah oleh pelarian ini, tidak melibatkan warga tempatan, maksudnya kesan kepada warga tempatan sangat kecil peratusannya. Sebaliknya kesannya hanya kepada kalangan komuniti pelarian itu sendiri, termasuklah kes Long Tiger ini. Namun pada saya kes Long Tiger ini adalah manifestasi kegagalan kita menguruskan pelarian di Malaysia. Kerana yang menguruskan pelarian hanya UNHCR, yang mana keberadaan mereka masih lagi tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Kita masih tak meratifikasi UNHCR. Tapi pada masa sama, UNHCR yang menolong kita menguruskan pelarian ini.
Mungkin kita tak iktiraf sebab ratifikasi sebegitu berpotensi menjejaskan kedaulatan negara?
Masalahnya, pelarian sudah ada di sini, 187,000 orang yang UNHCR sudah uruskan sejak 1975. Kenapa kerajaan tidak iktiraf? Tidak semestinya mengiktiraf UNHCR akan mengakibatkan kita terpaksa iktiraf piagam-piagam antarabangsa lain yang berpotensi memberi kesan kepada kedaulatan, tidak semestinya sebegitu. Ada mekanisme untuk kerajaan iktiraf UNHCR, tanpa perlu menggadaikan kedaulatan kita. Sebab kita hanya memberi hak-hak tertentu kepada UNHCR untuk mereka beroperasi di sini, yang mengikut Konvensyen Vienna.
Selain soal data pelarian, apa lagi yang tuan boleh rumuskan melalui isu Long Tiger?
Pada saya, ini isu pengurusan atau SOP. Jika anggota dan pegawai terlibat masa kejadian itu mematuhi SOP yang sepatutnya, kejadian ini (meloloskan diri) tidak berlaku. Dan kita jangan lari daripada isu pokok, iaitu mereka tiada pematuhan SOP dalam mengiringi banduan atau tahanan. Ini bukan isu Long Tiger lari atau tak, isunya mereka gagal patuhi SOP.
‘Mereka’ itu, tuan maksudkan anggota polis?
Ya, itu saja yang saya boleh komen. Kalau mereka patuhi SOP yang sepatutnya, Long Tiger tidak akan boleh lari, betul?
SAJAT
Ada pihak persoalkan, pihak polis dapat tangkap Long Tiger, tapi tak dapat tangkap jutawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat. Apa reaksi Cawangan Khas?
Saya tak boleh komen, sebab perkara ini di luar saya punya pengetahuan untuk menjawab. Jadi kita serah kepada pihak yang terlibat, bagaimana strategi untuk mengesan, menangkap atau membawa balik sasaran ini pulang ke Malaysia. Kita tidak terlibat secara langsung kes Sajat, kita cuma memfasilitasi agensi-agensi yang memohon bantuan daripada kami. Ini termasuk Jabatan Siasatan Jenayah, imigresen dan sebagainya.
JHO LOW
Macam mana perkembangan kes Low Taek Jho atau Jho Low?
Kami di bahagian ini tidak terlibat secara langsung tetapi kami sebagai pemudah cara antara Polis Diraja Malaysia dengan negara-negara di mana suspek ini berlindung, seperti di Macau, di China, di Thailand atau AS. Jadi, kami hanya memfasilitasi saja, tidak lebih daripada itu.
Di mana dia sekarang, apa rutin dia sejak dalam pelarian dan kenapa tak ekstradisi ke Malaysia? Apa yang mengekang pihak polis bawa dia ke Malaysia untuk didakwa?
Kekakangan mungkin dari segi perundangan negara-negara yang melindungi Jho Low, dan saya tak boleh komen negara mana sebab saya bukan pegawai penyiasat. Kemudian kedua, adakah kita ada sebarang perjanjian ekstradisi dengan negara-negara yang dipercayai memberi perlindungan?
Kenapa ada negara-negara yang memberi perlindungan kepada Jho Low, sedangkan dia antara karakter yang terlibat mencetuskan persepsi dalam kempen menjatuhkan kerajaan sewaktu PRU14 kerana kaitannya dengan 1MDB?
Pandangan saya sangat mudah. Ini bergantung kepada sejauh mana hubungan pemimpin negara tersebut dengan pemimpin kita. Sejauh mana tahap hubungan negara berkenaan dengan Malaysia. Saya berpandangan, Jho Low hanyalah satu elemen daripada penyiasatan.
Sedangkan isu utamanya adalah kredibiliti dan juga integriti kerajaan pada waktu itu dalam pengurusan dana serta perkara-perkara membabitkan kewangan, sumbangan dan sebagainya. Jho Low itu hanyalah elemen yang melengkapkan siasatan, dan isu besarnya adalah integriti mereka yang menguruskan dana negara pada waktu itu.
Maksudnya, Datuk Seri Najib Razak?
Sebab beban itu terletak kepada beliau. Ini pandangan saya, iaitu isu Jho Low ini hanya satu cerminan kepada satu perkara lebih besar, iaitu integriti mereka yang menguruskan dana 1MDB ketika itu.
SIRUL
Boleh ulas perkembangan kes Sirul Azhar Umar yang dijatuhi hukuman mati dalam kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu?
Seperti kita maklum, pihak mahkamah pun sudah buat keputusan kes itu, Sirul sekarang berada di Australia, sebuah negara yang begitu serius dalam soal hak asasi. Jadi kita sekarang berhadapan isu undang-undang dan Perlembagaan negara tersebut dalam menangani isu Sirul ini.
Jadi apa pihak berkuasa mampu buat?
Apa yang kita mampu buat, kita menghormati segala keputusan mahkamah dan bagaimana isu ini diuruskan oleh pihak kerajaan. Dan kita kena faham pendirian Australia. Di sana, mana-mana kes yang membabitkan hukuman mati, mereka memang tak kompromi. Dan sebab kes Sirul ini memperuntukkan hukuman mati, maka Australia pada pandangan saya tidak akan berkompromi. Tetapi, jika Malaysia boleh memperbaiki hubungan dua hala dengan Australia secara lebih akrab, mungkin isu ini boleh ditangani di peringkat diplomatik. Jadi ia bergantung kepada tahap hubungan baik kedua-dua negara.
PENARAFAN RENDAH AGENSI PERISIKAN NEGARA
Komen tuan berhubung laporan Utusan Malaysia sebelum ini, bertajuk ‘Perisikan Malaysia dapat markah sifar’ yang merujuk kepada penarafan rendah terhadap Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO)?
Saya tak mahu komen lebih-lebih isu dalaman MEIO ini. Namun, manifestasi daripada isu itu adalah kredibiliti dan integriti MEIO itu sendiri. Maksudnya, tiada kredibiliti. Ketua Pengarah MEIO sendiri boleh ditumbangkan (selepas PRU14), sedangkan Cawangan Khas tak tumbang. Dan untuk makluman Mingguan Malaysia, di negara ini, hanya Cawangan Khas diberi mandat sebagai agensi perisikan. Hanya kami diberi mandat di bawah Piagam Cawangan Khas oleh kerajaan. – Mingguan Malaysia










