Anwar belum tentu jadi PM lepas jumpa Agong - Utusan Malaysia

Anwar belum tentu jadi PM lepas jumpa Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim belum tentu dapat membentuk kerajaan meskipun membawa senarai nama ahli parlimen majoriti yang didakwa menyokongnya.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman berkata, pembentukan kerajaan perlu melalui beberapa proses termasuk tertakluk kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kata beliau, terdapat dua keadaan mungkin berlaku pada 13 Oktober ini iaitu Yang di-Pertuan Agong akan memanggil setiap ahli parlimen yang didakwa menyokong Anwar untuk mendapatkan pengesahan selaras dengan demokrasi sistem berperlembagaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dari sudut Perlembagaan, Mohd. Zainul berkata, membawa jumlah ahli parlimen yang menyokong Anwar tidak mencerminkan Presiden PKR tersebut perlu diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Anwar boleh mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, jika percaya dan yakin maka Seri Paduka boleh memanggil semua ahli parlimen yang menyokongnya.

“Kemudian baginda akan membawa perkara itu kepada Peguam Negara dengan merujuk peruntukan Perlembagaan negara. Nasihat Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong penting dalam perkara ini kerana ia membolehkan Seri Paduka membuat keputusan,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia semalam.

Dalam satu lagi keadaan, ulas Mohd. Zainul, Yang di-Pertuan Agong boleh menitahkan perkara ini dibawa ke Parlimen untuk diputuskan menerusi undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Seri Paduka juga mungkin boleh memanggil Speaker Parlimen untuk mengizinkan usul ini dibawa ke Dewan Rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, Yang di-Pertuan Agong juga boleh memanggil Muhyiddin sebagai ketua negara untuk memberi pendapat dan keputusan berhubung tindakan Anwar.

“Di sini ia tertakluk kepada dua keadaan, iaitu sama ada Muhyiddin meletak jawatan dan menyerahkan pentadbiran kepada Anwar, atau membubarkan Parlimen,” jelasnya.

Anwar sebelum ini mendakwa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk beliau menghadap pada Selasa ini.
Dalam pertemuan tersebut, Anwar berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli parlimen yang kukuh dan meyakinkan sepertimana yang pernah disebutkan pada 23 September lalu. – ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini