PUTRAJAYA: Pelbagai kaedah mitigasi banjir boleh diguna pakai untuk mengelak bencana alam itu daripada memusnahkan penempatan penduduk dengan mengenal pasti mana-mana lokaliti bersifat kawasan rendah.
Untuk itu, Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu melihat tindakan secara lebih efektif dan komprehensif jika berlaku bencana seumpamanya dalam situasi luar jangka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kejuruteraan, Ariffahmi Ab. Rahman berkata, pembinaan benteng selain sistem pam air yang lebih efektif adalah antara kaedah kos rendah dan bersifat drastik bagi menyelesaikan masalah banjir dalam kadar segera berbanding pembinaan terowong yang memakan masa panjang dan memerlukan perbelanjaan tinggi.
Melihat kepada situasi banjir di Shah Alam, Hulu Langat dan Mentakab, kata beliau, ketiga-tiga kawasan itu sudah dikenal pasti sebagai kawasan rendah, maka pihak berwajib sepatutnya sudah mempunyai pelan mitigasi jika berlaku bencana itu.
“Pelbagai kaedah mitigasi banjir boleh digunakan seperti pembinaan benteng, selain sistem pam efektif yang mana apabila berlaku banjir terus pam keluar air dari kawasan tersebut pergi ke sungai yang mempunyai paras air tidak tinggi supaya air tidak tergenang dalam tempoh lama.
“Apabila air bertakung, ke mana nak dipam air itu, perlu ada salurannya, tidak semestinya membina terowong. Pengurusan kegunaan tanah juga perlu diambil kira di kawasan berdekatan. Saya fikir ini sudah ada dalam perancangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi mungkin tidak diselaraskan,” katanya di sini semalam.
Negara boleh mencontohi Jepun seperti sistem kawalan banjir di Tokyo dalam menangani air di kawasan bandar yang berkembang pesat iaitu Terowong Pelepasan Bawah Tanah Luar Kawasan Metropolitan atau dikenali Projek G-Cans sekali gus membantu mengurangkan kerosakan akibat air di kawasan berhampiran kira-kira 90 peratus.
Selain itu, di Tokyo juga mempunyai 10 takungan bawah tanah lain dan tiga terowong banjir dan takungan Kasukabe sedang dibina di Osaka dengan kos lebih RM13 bilion.
Di Kota London pula sedang membina Terowong Thames Tideway sepanjang 25 kilometer yang dikorek pada kedalaman 75 meter, sebahagian besar di bawah Sungai Thames.
Ariffahmi yang juga Pengerusi Ikatan Eksekutif dan Teknokrat Malaysia berkata, punca lain mengakibatkan banjir juga perlu dilihat kenapa ia berlaku secara mendadak yang dipercayai kegiatan pembalakan haram apabila melihat struktur air yang turun dari bukit membawa bersama kayu kayan dan sampah sarap.
Pada masa sama, beliau berkata, command centre juga perlu diwujudkan dan diselaraskan semula untuk mengambil tindakan segera jika berlaku bencana itu sebagai tindakan penyelesaian drastik.
Katanya, pihak agensi yang terlibat sepatutnya sudah merencana apa tindakan yang perlu dibuat dan mengatur gerak segala aset dan pasukan untuk bertindak jika berlaku banjir.
“Command centre ini perlu diwujudkan, siapa yang akan berkuasa, siapa yang akan keluarkan arahan kerana kita lihat tindakan amat lambat dan tidak teratur.
“Contohnya apabila ada amaran banjir besar dan hujan lebat, sepatutnya agensi terlibat bermesyuarat sebulan sebelumnya untuk merencana tindakan, perkara ini tidak diselaras dengan betul dan menyebabkan kemusnahan lebih dahsyat,” katanya.
Banjir luar biasa di Selangor terutama di Hulu Langat dan Taman Sri Muda di Shah Alam pada 18 Disember lalu patut dijadikan iktibar bahawa Malaysia memerlukan badan koordinasi yang bukan setakat mampu mengendalikan bah besar tetapi bencana-bencana lain termasuk kebakaran, tanah runtuh atau kemarau buruk.
Ketiadaan agensi penyelaras antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua pasukan penyelamat menyebabkan situasi banjir di Selangor kelam-kabut.
Justeru, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza,) Prof. Madya Dr. Mohd Khairul Amri Kamarudin berpendapat, daripada pengalaman itu, kerajaan wajar ada persediaan bagi berdepan dengan semua jenis bencana selepas ini.
Menurut beliau, kerajaan tidak boleh lagi menunggu bencana berlaku baru mahu bertindak kerana situasi tersebut akan mencetuskan kritikan terhadap agensi-agensi kerajaan terbabit.- UTUSAN











