PERTAMA kali dalam tempoh 50 tahun itu yang diceritakan rata-rata penduduk Selangor yang tidak pernah berhadapan banjir. Mereka panik, waktu malam pada Sabtu, 18 Disember lalu, bertalu-talu mesej masuk menerusi aplikasi WhatsApp terutama dalam grup antara wartawan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor apabila pemberita menyampaikan pesanan daripada kenalan yang terjejas banjir.
Bagaimanapun, banjir bukanlah bermula pada Sabtu tetapi sejak Jumaat lagi apabila JBPM melaporkan kejadian itu pada waktu petang di Taman Jaromas, Kampung Jenjarom selepas hujan sejak awal pagi. Itulah laporan rasmi banjir pertama diterima Utusan Malaysia di negeri ini.
Masih teringat pada malam itu, semua agensi akhbar menghadiri Majlis Penghargaan Media anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) dekat sebuah hotel di Bukit Tinggi, Klang dan ketika itu juga hujan sangat lebat.
Pada waktu itu juga, makluman-makluman kawasan banjir mula diterima di Pelabuhan Klang, Bandar Baru Bukit Raja, Bandar Sultan Suleiman dan Meru. Ketika itu langsung tidak terfikir Taman Sri Muda, Seksyen 25 akan menjadi lokasi dilanda banjir terburuk.
Pada Sabtu, bermulalah episod laporan banjir satu demi satu diterima media. Ketika itu, Pelabuhan Klang keadaannya begitu teruk apabila tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Azmizam Zaman Huri dihubungi untuk mendapatkan gambaran jelas situasi di sana. Menurutnya, kawasan seperti Telok Gong teruk dilanda banjir apabila air menenggelamkan kelima-lima kampung tradisi di sana.
Sebelum itu, satu kejadian kemalangan dilaporkan di Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) yang mengorbankan 10 nyawa. Seorang suami kehilangan isteri dan lapan anak sekelip mata.
Kejadian tersebut berlaku di lorong kecemasan dekat laluan arah Shah Alam berhampiran Rehat dan Rawat (R&R) USJ. Maka, berkampung juga pemberita dari pelbagai agensi di Jabatan Forensik, Hospital Shah Alam.
Kemudian banjir mula merebak di kawasan perumahan di Kapar, malah Kampung Tok Muda yang tidak pernah ditenggelami air turut dilanda bencana tersebut selepas hujan sangat lebat berterusan masuk hari kedua.
Pada Ahad pula, hujan mula reda di beberapa kawasan seperti Shah Alam dan Klang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan lawatan di bahagian barat Selangor dengan melawat PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia dan SK Telok Gong. Ketika itu, lebih 3,000 penduduk negeri ini sudah berpindah ke 17 PPS. Ismail Sabri menamatkan lawatannya dengan mengadakan mesyuarat pengurusan bencana bersama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan di Pejabat Tanah dan Daerah Klang. Dalam sidang akhbar selepas itu, beliau mengumumkan gerak kerja bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir di seluruh negara.
Kemudian, mesej-mesej mengenai penduduk di Taman Sri Muda mula tular dalam media sosial apabila ramai memaklumkan bekalan elektrik diputuskan sejak Sabtu dan penduduk mula mengalami gangguan liputan telekomunikasi. Tanpa membuang masa, pada Ahad malam itu juga sekumpulan pemberita pergi ke sana dan melihat situasi terburuk berlaku apabila penduduk di 4,400 rumah terjejas.
TSUNAMI
Tiada kediaman yang selamat kecuali rumah pangsa atau kondominium dan penduduk memaklumkan paras air lebih 12 kaki (3.7 meter) menenggelamkan papan tanda dan hentian bas di Persiaran Budiman, iaitu jalan utama di Taman Sri Muda.
Ketika itu, pelbagai agensi kerajaan sudah pun berada di sana seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan JBPM yang membuka Pos Kawalan Operasi Bomba.
Pada Isnin, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengadakan sidang akhbar di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor memaklumkan kerajaan negeri bersedia berhadapan bencana tetapi bukan pada tahap banjir yang teruk dan beliau memaklumkan situasi itu belum pernah dihadapi Selangor. Beliau memaklumkan, lapan daerah terjejas iaitu Petaling, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat, Kuala Selangor, Gombak dan Hulu Selangor.
Tetapi paling teruk adalah Taman Sri Muda kerana banjir di sana memasuki hari ketiga ketika Amirudin mengumumkan bantuan RM1,000 kepada mangsa dan RM10,000 kepada waris kehilangan ahli keluarga.
Tumpuan kemudian terarah ke kawasan berkenaan selepas kedua-dua kerajaan mendapat kritikan mengenai bantuan yang lambat malah penduduk di sana memberitahu, bantuan pertama tiba adalah daripada individu persendirian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Muka hadapan Utusan Malaysia pada hari Selasa melaporkan banjir di Selangor Ibarat dibadai ‘tsunami’, Rabu pula ‘Rakyat jaga rakyat’.
Tuding menuding terus berlaku dengan pelbagai tuduhan diberikan termasuk kepada anggota Kabinet. Keadaan itu menyebabkan Perdana Menteri mengarahkan sidang akhbar harian diadakan dan pada Khamis, empat agensi mengadakan sidang akhbar selang dua jam bermula pukul 10 pagi di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dekat atas pembahagi jalan belakang Restoran Pizza Hut di Persiaran Kemuning Prima.
Sidang akhbar itu disampaikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Aminuddin Hassim. Sidang akhbar tersebut dilakukan selepas banjir di Taman Sri Muda surut sepenuhnya sejak Rabu malam apabila kira-kira 17 pam air diletakkan di sana bagi menyedut takungan keluar ke Sungai Klang selepas kunci air di sana rosak.
Kemudian, pada Sabtu, 25 Disember, sidang akhbar keempat-empat agensi kerajaan diadakan bagi memaklumkan perkembangan terkini situasi banjir dan memaklumkan fasa pasca melibatkan proses pemulihan dan pembersihan mula digerakkan sejak Rabu lalu di beberapa kawasan.
Proses tersebut turut disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencemar duli melawat PPS di Institut Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Seksyen 19 dan pembersihan Masjid Taman Sri Muda.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Selangor.










