Merealisasikan Melaka sebagai hab fesyen - Utusan Malaysia

Merealisasikan Melaka sebagai hab fesyen

Leong Sir Ley (tengah baju hitam berbunga merah) bergambar bersama 25 pereka terbabit dalam Met Gala Malaysia (MGM) 2021 berlangsung di Hotel Ames, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Banyak acara fesyen dianjurkan dalam dan luar negara. Namun nasib pereka tempatan khususnya yang baru bertatih dalam industri masih samar.

Kemasyhuran dan menjana ekonomi sama pentingnya untuk mencipta nama dalam dunia glamor ini. Cuma, di mana tapaknya dalam berdepan situasi pandemik seperti hari ini.

Permasalahan itu menjadi perhatian Ketua Penasihat, Straits Designer Gallery, Bill Keith hingga membawa kepada pembukaan galeri fesyen itu di Metrasquare, Ayer Keroh, Melaka.

Menurut Bill, kebanyakan pereka khususnya yang baru melakar nama agak sukar menembusi pasaran luar kerana mereka bergerak sendiri. Namun dengan adanya galeri berkenaan, ia boleh menjadi tapak kepada mereka dikenali pada peringkat antarabanngsa.

“Saya menyifatkan galeri fesyen ini sebagai platform kepada pereka tempatan memperkenalkan kreativiti dan jenama pada pengunjung ke sini.

“Saya yakin ia mampu menjadi batu loncatan untuk mereka lebih terkenal pada peringkat antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui dalam sesi lawatan ke galeri berkenaan baru-baru.

Antara buah tangan pereka di Straits Designer Gallery.

Bill berkata, orang ramai, pelancong dan pembeli fesyen boleh berkunjung ke situ mencari buah tangan tempatan yang berkualiti atau menjalin rangkaian perniagaan dalam bidang berkaitan.

Galeri fesyen itu menempatkan koleksi pereka baharu dan lama antaranya jenama Bill Keith, Kalai, Tinta Baqo dan Carlson.

Kata Bill, idea pembukaan galeri berkenaan dicetuskan Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley, pada pertengahan tahun ini.

“Sebelum ini ramai pelancong yang menginap di Hotel Ames akan ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan busana pereka. Namun dengan adanya galeri ini, ia memudahkan pelancong berbelanja tanpa perlu ke ibu kota,” katanya.

Metrasquare terletak berhadapan Hotel Ames.

Mengulas mengenai peranan dimainkan, kata Bill, selain sebagai penasihat beliau turut bertindak sebagai pemantau dan pelatih kepada pereka di situ.

Ini bagi memastikan rekaan ditampilkan berkualiti dan mampu melangkah lebih jauh dalam industri.

“Saya yakin dengan kebolehan pereka tempatan. Mereka sebenarnya kreatif dan memiliki idea yang hebat, cumanya apabila tidak ada platform, mereka sukar dikenali.

“Saya berharap buah tangan pereka tempatan bukan setakat dapat dijual tetapi diterima baik oleh pembeli fesyen jenama antarabangsa sebagaimana berlaku pada minggu fesyen antarabangsa,” katanya.

LIMA PEREKA MENANG ANUGERAH

Lima pereka muda muncul sebagai rekaan terbaik pada Met Gala Malaysia (MGM) 2021 berlangsung di Hotel Ames, Ayer Keroh Melaka, baru-baru ini.

Melvin Ashley Shah, Noranis Che Aziz, Nurliyana Ahmad Nasri, Arun & Saiful dan Huda Hassan memperoleh plak kemenangan yang disampaikan Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, (STI) Datuk Leong Sir Ley.

Bill Keith (kanan) dan Leong Sir Ley dalam pelancaran MGM 2021 baru-baru ini.

Leong berkata, MGM diadakan sebagai usaha berterusan menjadikan Melaka pusat kecemerlangan fesyen tanah air, khususnya di Straits Designer Gallery, Metrasquare. Hingga kini, maklum balas yang diterima amat memberangsangkan.

Straits Designer Gallery, Metrasquare pula dijadual dibuka pada suku pertama 2022.

“Galeri kedua akan dibuka di The Sail Melaka. Ia sebahagian daripada komitmen kami mengangkat Melaka menjadi ibu kota fesyen seperti Milan.

“Malah menerusi perkongsian STI dengan FashionTV dari Paris, saya yakin akan ada lebih banyak peluang untuk bakat tempatan sama ada model, pempengaruh atau pereka fesyen bersinar di arena antarabangsa,” katanya.

Koleksi masterpiece Azuein Sariono di MGM 2021.

Metrasquare adalah pembangunan komersial seluas 2.42 hektar merangkumi komponen kediaman Metrasquare Serviced Suites, hotel premium tiga bintang iaitu Hotel Metrasquare dilengkapi kedai-kedai runcit, fasiliti mesyuarat dan persidangan, kemudahan F&B, galeri sejarah Melaka dan ruang sosial seni.

Turut ada sebuah hotel bertaraf lima bintang, Hotel Ames.

Terletak lima minit pemanduan dari tol Ayer Keroh melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, Metraquare juga hampir dengan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Taman Burung Melaka, Taman Tema Wonderland Planetarium Melaka dan Muzium Lebah Dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×